Buletin

LUFTHANSA DEDAH SUITE KELAS PERTAMA BAHARU. LENGKAP DENGAN ALMARI, KATIL, HIDANGAN KAVIAR

Suite kelas pertama Lufthansa baharu kelihatan lebih moden dan canggih dalam usaha syarikat penerbangan Jerman itu meletakkan jenama mereka berada dalam kelas tersendiri.

Dengan pelaburan hampir AS$2.5 bilion (RM11.7 bilion) dalam bentuk produk dan perkhidmatan premium, Lufthansa akan dilengkapi suite kelas pertama, suite kelas perniagaan dan tempat duduk tidur kelas ekonomi mulai tahun hadapan.

Suite kelas pertama dan kelas perniagaan dilancarkan sebagai barisan produk premium ‘Allegri’ baharu untuk laluan jarak jauh.

Buat pertama kali dalam sejarah Lufthansa, suite kelas pertama akan mempunyai pintu yang boleh ditutup dengan ketinggian hampir mencapai siling. Nampak gayanya, penumpang tidak perlu meninggalkan suite mereka untuk menukar baju tidur sebelum tidur.

Tempat duduk suite kelas pertama selebar 39 inci dan boleh ditukar menjadi katil. Setiap suite kelas pertama itu turut dilengkapi almari pakaian peribadi yang besar.

Penumpang suite kelas pertama akan menikmati hidangan makanan gaya restoran di atas meja makan yang besar di hadapan antara satu sama lain. Perkhidmatan kaviar juga disediakan sebagai sebahagian daripada tawaran menu gourmet.

Selain headphone tanpa wayar boleh disambungkan melalui Bluetooth, TV skrin besar juga tersedia untuk hiburan dalam penerbangan.

Bagi kelas perniagaan Lufthansa pula, ia akan mendapat suite barisan hadapan baharu dengan dinding yang lebih tinggi, pintu tertutup, almari pakaian peribadi dan skrin monitor 27 inci.

Pelanggan di Sleeper’s Row kelas ekonomi boleh menikmati tempat duduk baharu dengan permukaan baring yang 40 peratus lebih besar berbanding sebelumnya. Lufthansa akan menggantikan lebih 30,000 tempat duduk sebagai sebahagian daripada usaha pemodenan pesawatnya.

Google ads
Back to top button