Motosikal

MODENAS LANCAR DOMINAR D400 FACELIFT. ABS 2 SALURAN, FORK USD, BERMULA RM14K

MODENAS hari ini memperkenalkan varian terbaharu jentera sports tourer Modenas Dominar D400 (Dominar D400) yang telah dinaik taraf. 

Motosikal itu menerima beberapa peningkatan teknikal, di samping dua pilihan warna baharu iaitu hijau dan hitam berbanding versi asal yang dilancarkan pada tahun 2018. Dominar D400 2021 ditawarkan pada harga RM13,997 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Antara naik taraf yang diperkenalkan ialah penyerap hadapan terbalik atau lebih dikenali sebagai fork USD yang menggantikan fork teleskopik konvensional pada model terdahulu. Bahagian belakang pula dilengkapi  penyerap hentak tunggal Nitrox yang boleh dilaras mengikut kehendak penunggang. 

Enjin DOHC berteknologi DTS-i dengan sistem penyejukan cecair bersesaran  373cc berkuasa 40PS dan tork 35Nm pula menerima sistem ekzos muncung berkembar baharu. Motosikal tersebut menjanjikan pengalaman tunggangan yang lebih berkuasa dan selesa.

Dominar D400 turut dipasang dengan cakera brek bersaiz 320mm di hadapan dan 230 mm di belakang, bersama sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran. Bagi meningkatkan lagi keterujaan ketika menunggang, ia dilengkapi sistem klac assist dan slipper. 

Tampil lebih bergaya, motosikal tersebut menerima kemasan “tankpad” bercorak carbon dan  logo Dominar pada tempat duduk belakang. Dua paparan meter LCD pula memaparkan maklumat tunggangan seperti indikasi gear, penunjuk kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm, serta penunjuk tahap minyak. 

Lampu hadapan automatik pula terdiri daripada jenis LED mosaic yang menawarkan suluhan cahaya lebih jelas pada waktu malam dan membolehkan penunggang dilihat dari jarak sejauh 1.5km.

“Modenas Dominar D400 ialah  sebuah model sports tourer premium paling mampu milik dalam segmennya. Dengan harga yang menarik dan teknologi terkini, motosikal ini pasti menjadi satu pelaburan bijak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan. 

Modenas Dominar 400 akan berada di semua wakil pengedar sah MODENAS mulai September 2021.

GALERI

Google ads
Back to top button