Artikel Pilihan

MAHINDRA DAN SUV-NYA

Sebuat sahaja jenama Mahindra, pengeluar kenderaan dari India ini pasti ramai yang teringatkan Mahindra Scorpio, sebuah SUV dengan tujuh tempat duduk tapi langsung tak boleh nak letak bagasi. Jenis kena bawa baju simpan dalam beg plastik merah pasar malam tu.

BACA : MAHINDRA XUV AERO

BACA : MAHINDRA MAHU BELI NORTON ATAU BSA?

Mahindra and Mahindra Limited adalah sebahagian daripada Konglomerat dari India, Mahindra Group yang merupakan antara pengeluar kenderaan terbesar di India dan juga pengeluar traktor terbesar di dunia. Memulakan perniagaan berasaskan besi pada 1945 sebagai Mahindra & Mohammed yang diasaskan oleh pasangan adik beradik K.C. Mahindra dan J.C. Mahindra serta Malik Ghulam Mohammed.

Setelah India mencapai kemerdekaan, Malik Ghulam memutuskan untuk berhijrah ke Pakistan dan akhirnya menjadi Menteri Kewangan. Pasangan adik-beradik itu pula menukar nama syarikat mereka kepada Mahindra and Mahindra pada 1948 dan kekal sehingga ke hari ini.

Peluang perniagaan muncul dikala itu dengan Mahindra bertindak sebagai syarikat pemasangan bagi Willy Jeep yang kemudiannya melebarkan sayap sebagai pengeluar bagi kenderaan komersial dan juga traktor.

Disebabkan kerjasama awal kenderaan berkonsepkan SUV, maka tidak hairanlah tumpuan Mahindra lebih tertumpu kepada model SUV. Dan sudah tentulah Scorpio dianggap sebagai lagenda bagi Mahindra. Menampilkan rekabentuk kekotak dan perkasa, ianya pantas diminati oleh kaum lelaki di India. Malah, versi pikap pun turut diperkenalkan bagi menarik perhatian pembeli di India sana yang mungkin berdagang di Pasar Tani cawangan Mumbai.

Bagi yang memandang enteng tentang jenama Mahindra, tahukah bahawa Mahindra memiliki 70% kepentingan di dalam SsangYong Motor. Bukti bahawa pengeluar dari India ini juga serius untuk menakluki dunia luar. Secara kebetulan juga, SsangYong turut terkenal dengan beberapa model SUV.

Malah Mahindra juga telah membeli hak daripada Reva Electric Car Company dan menjenamakan sebagai Mahindra Electric Mobility Limited, khusus untuk mengeluarkan kenderaan elektrik kompak seperti Mahindra e2o. Ngam-ngam untuk membawa sebuah keluarga kecil pergi bersiar-siar di Kota Bangalore.

Dan yang paling penting disebalik kejayaan memiliki REVA, sudah tentulah keupayaan Mahindra beraksi di pentas Formula E melalui cabang permotoran mereka sendiri, Mahindra Racing dengan menggunakan kepakaran teknologi sendiri. Selain berlumba kereta, Mahindra Racing, turut beraksi dalam kelas Moto3 di saingan FIM MotoGP sebagai pembuat. Bukan main handal lagi Mahindra ini.

Sungguh pun terkenal dengan model SUV, Mahindra juga sebetulnya turut memiliki model sedan seperti Verito, hasil kerjasama dengan Renault. Barangkali menyedari bahawa model sedan bukanlah pasaran utama mereka. Tapi kalau sembang bab SUV, jangan buat main. Mahindra mempunyai Xylo, KUV100, TUV300, XUV500, Quanto, Bolero, dan juga Thar. Bagus juga sebenarnya sebab orang akan mudah hafal. Ingat SUV, ingat Mahindra. Kan?

Google ads

B K

Back to top button