Buletin

MAHU BELI TOYOTA GR SUPRA? MAAF DAH HABIS

Toyota Supra A90 sudah pun selamat dilancarkan pada Januari 2019 selepas hampir 17 tahun Supra A80 dihentikan tanpa pengganti.

Satu perkara kritikal yang sering disuarakan warga net tentang Supra A90 ialah persamaannya dengan BMW Z4.

Namun adakah ia menghalang pembeli untuk memilikinya? Tidak untuk Toyota Supra GR.

Toyota bakal mengadakan pelancaran perdana Toyota Supra GR pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva (GIMS) 2019 pada Mac ini namun kesemua unit untuk tahun 2019 sudah habis ditempah.

Toyota mula menawarkan platform tempahan khas mengikut negara pada Oktober 2018 dan kesemua 900 unit untuk tahun 2019 bagi benua Eropah sudah mempunyai pemilik masing-masing.

Permintaan untuk Toyota GR Supra memang tinggi dan mencecah ribuan unit dan tempahan baharu hanya akan dihantar kepada pembeli pada tahun 2020.

Toyota GR Supra 2019 ditawarkan dalam dua varian iaitu Active dan Premium.

Kedua-dua varian ini ditawarkan dengan enjin 3.0 L 6 silinder dengan pengecas turbo twin-scroll. Enjin ini berkuasa 340 DIN hp dan daya kilas 500 Nm.

Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dengan nisbah singkat untuk gear rendah.

Berikut ialah ciri-ciri umum Toyota Supra GR spesifikasi Eropah untuk tahun 2019:

  • Fungi kawalan mula (Launch Control) dengan cengkaman maksimum untuk pecutan lebih baik. Pecutan dari 0 – 100 km/j mengambil masa 4.3 saat
  • Bunyi dan respon enjin, corak penukaran gear, larasan suspensi, kawalan stereng dan active differential ditentukan mengikut mod pilihan pemandu seperti Sport dan Normal
  • Kawalan Penstabian Kenderaan (VSC) mempunyai tetapan ‘track’ yang mengurangkan penglibatan elektronik seterusnya memberi lebih kawalan kepada pemandu

Berikut pula ialah ciri-ciri Toyota Supra GR 2019 Eropah mengikut varian:

Toyota Supra GR Active:

  • Harga ‘paling mesra’ untuk pengguna
  • Dilengkapi Active differential, Adaptive Variable Suspension roda forged 19 inci dan pakej brek berprestasi tinggi
  • Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi henti dan mula, sistem entri pintar dan butang penghidup enjin
  • Meter kombinasi digital
  • Teknologi LED untuk lampu adaptif depan, lampu belakang dan lampu pencahayaan siang
  • Penggilap cermin dengan sensor hujan dan kamera undur
  • Kerusi sport balutan hitam Alcantara dengan larasan elektrik
  • Sistem infohibur dengan sepuluh pembesar suara dan skrin 8.8 inci
  • Sistem keselamatan Supra Safety + Package, (Blind Spot Monitor, Lane Change Departure Alert, Rear-Cross Traffic Alert, Rear-end Collision Alert, Intelligent parking sensors with automatic braking).
  • Fungsi E-Call yang akan menghantar lokasi secara automatik ke pusat kecemasan apabila berlaku kemalangan serius

Tambahan Untuk Toyota Supra GR Premium:

  • Kerusi balutan kulit berwarna hitam
  • 12 Pembesar suara JBL premium
  • Paparan head-up, pengecas telefon tanpa wayar

Bagi meraikan minat mendalam 900 pemilik terawal Supra GR di Eropah, Toyota akan menawarkan program pengalaman eksklusif dan beberapa lagi ganjaran istimewa yang sukar diganti dengan wang ringgit.

Kesemua unit Toyota Supra GR akan dikeluarkan di Graz, Austria.

BACA: INI TAKTIK BIJAK STAF TOYOTA DAPATKAN KELULUSAN SUPRA BAHARU

BACA: UMW TOYOTA SAH AKAN LANCAR SUPRA TAHUN INI!

BACA: SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KE 25 – TOYOTA SUPRA JZA80

Google ads
Back to top button