Buletin

MALANG TIDAK BERBAU, PEKERJA MAUT ‘DISEDUT’ ENJIN PESAWAT

Malang tidak berbau, mungkin itu pepatah sesuai digunakan apabila seorang pekerja syarikat penerbangan maut selepas ‘disedut’ enjin pesawat dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa San Antonio di Texas.

Menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa), kejadian berlaku ketika sebuah pesawat dari Los Angeles baru sahaja mendarat pada kira-kira 10.30 malam hari Jumaat.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) menyatakan bahawa pesawat itu adalah milik Delta Air Lines dan pihaknya sedang berhubung dengan syarikat penerbangan berkenaan untuk menjalankan siasatan.

Untuk rekod, pekerja itu merupakan kakitangan Unifi yang mempunyai kontrak dengan Delta.

Sementara itu, Unifi Aviation dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa insiden itu tidak berkaitan dengan proses operasi, prosedur keselamatan serta polisi Unifi.

“Doa kami buat waris mangsa dan kami akan terus memberikan sokongan kepada pekerja kami di lapangan serta memastikan mereka dalam keadaan baik pada masa ini,” respon syarikat itu.

Pihak lapangan terbang akan memberikan apa jua maklumat diperlukan sebaik memperoleh maklumat lanjut berhubung insiden itu.

“Kami amat sedih dengan kejadian itu dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa.” – Sinar Harian

Google ads
Back to top button