Buletin

MARC MARQUEZ DAPAT BMW M4 CS PERCUMA! 5 KALI DAH MENANG HADIAH DARIPADA BMW

Tahukah anda BMW ada pertandingan dan anugerah tersendiri untuk MotoGP? Lebih menarik Marc Marquez dah menang lima kali sejak tahun 2013. Pertandingan yang dimaksudkan ialah Anugerah BMW M (BMW M Award) Fastest Qualifier dan tahun ini Marc Marquez menang kereta BMW M4 CS baru.

Marquez memenangi Anugerah BMW M musim ini dengan jumlah 343 mata dan kelebihan 86 mata berbanding pesaing terdekat iaitu Maverick Viñales.

Upacara penyampaian rasmi berlangsung pada hari Sabtu sebagai sebahagian daripada final MotoGP di Valencia, Sepanyol. Hadiah BMW M4 CS telah disampaikan kepada Márquez oleh Carmelo Ezpeleta, Ketua Pegawai Eksekutif Promoter MotoGP Dorna Sports, dan Frank van Meel, Presiden BMW M GmbH.

Marquez memang bertuah. Pada tahun 2013, beliau menjadi pelumba rookie pertama memenangi pertandingan berprestij ini. Márquez mengulangi kejayaan pada tahun 2014 dan pada 2015 menjadi penunggang pertama untuk memenangi tiga Anugerah BMW M.

Tahun 2016 juga dimiliki Marquez dan tahun ini menang sekali lagi. Maka jadilah beliau pemenang tunggal dengan kejayaan lima kali berturut-turut.

Sama seperti sistem mata untuk perlumbaan, penunggang pada setiap perlumbaan diberikan mata mengikut kedudukan mereka dalam sesi kelayakan (qualifying). Penunggang dengan mata paling banyak pada akhir musim akan dipilih sebagai pemenang Anugerah BMW M dengan hadiah sebuah kereta BMW M yang eksklusif.

Marc Márquez adalah pemegang rekod dengan lima kemenangan berturut-turut. Pelumba handalan lain seperti Valentino Rossi dan Casey Stoner telah memenangi tiga Anugerah BMW M. Jorge Lorenzo menang dua kali manakala Sete Gibernau dan mendiang Nicky Hayden menang sekali.

BMW M4 CS dengan warna San Marino Blue Metallic yang dimenangi Marquez dikuasakan oleh enjin enam silinder M TwinPower Turbo, dengan output 460 hp dan 600 Nm tork.

Kereta ini dilengkapi dengan pelbagai komponen prestasi tinggi seperti Active M differential dan transmisi klac berkembar M dengan Drivelogic. Ciri-ciri utama lain ialah roda aloi eksklusif yang diilhamkan dari sukan permotoran dan lampu belakang OLED. Bahagian interior dilengkapi kerusi sport M yang ringan dengan balutan Alcantara dan stereng M serta pelbagai lagi perincian istimewa.

Kemenangan Marquez buat kali kelima berturut-turut ini menyerlahkan lagi motivasi beliau untuk merangkul hadiah keenam berturut-turut pada musim depan pula!

Tahniah Marquez, kau memang power!

Google ads
Back to top button