
ŠKODA DAN SEJARAHNYA YANG PANJANG
Brader Karrager menulis perihal sejarah lagi. Kali ini Brader Karrager suka untuk berkongsi tentang alkisah Škoda Auto, pengeluar kenderaan dari Republik Czec ini. Sejarahnya yang cukup panjang kalau nak sembang di kedai kopi.
BACA : ŠKODA HASILKAN 15 JUTA KENDERAAN SEJAK BEKERJASAMA DENGAN VW
BACA : SKODA VISION S
Skoda ini sebetulnya telah diasaskan pada tahun 1895 dan dikenali dengan nama Laurin & Klement, sebuah organisasi khusus membuat kereta, motosikal dan juga basikal di awal penubuhannya. Ianya bermula apabila Václav Klement gagal mendapatkan alat ganti basikalnya, lalu memberikan ilhan kepada beliau bahawa ini adalah peluang perniagaan yang besar potensinya dikala itu.
Hanya pada tahun 1905, barulah rekaan kereta Laurin & Klement Type A dihasilkan. Dan selepas itu, mereka terus aktif menghasilkan kereta bagi kegunaan golongan bangsawan di Kingdom of Bohemia dan muncul sebagai pengeluar kereta terbesar.
Namun pada 1925, Emil Škoda telah melamar untuk meminang Laurin & Klement, yang mana ketika itu syarikatnya Škoda Works merupakan konglomerat perindustrian terbesar yang telah wujud sejak tahun 1859 lagi. Dan sejak dari itu, wujudlah Škoda Auto sehingga ke hari ini.
Seperti mana-mana pengeluar dunia, Perang Dunia seringkali menggangu gugat operasi pengeluaran. Škoda juga tidak terkecuali. Mengeluarkan alat ganti untuk kegunaan kenderaan tentera adalah prioriti ketika itu. Bila kilang dah kena bom, pekerja pula ramai yang terkorban. Termenunglah sekejap.
Pasca Perang Dunia Kedua, barulah Skoda bangkit semula setelah kilang yang musnah dibina kembali. Beberapa model seperti Škoda 440 Spartak, 445 Octavia, Felicia dan Škoda 1000 MB mula diperkenalkan.
Sebagai sebuah negara komunis suatu ketika dahulu, Czechoslovakia segala urusan perniagaan Škoda Auto sudah tentulah di bawah kawalan kerajaan. Namun pada 1991, keadaan mula berubah apabila 30% saham syarikat yang dipegang pemerintah dilepaskan kepada Kumpulan Volkswagen untuk memastikan Škoda kekal relevan dan untung di masa hadapan. Dan sehingga kini, Kumpulan Volkswagen memegang sebanyak 70% kepentingan di dalam Škoda Auto.
Dan selepas itu, jenama ini terus utuh di mana sejumlah 1.13 juta kereta telah berjaya dijual serata dunia melalui beberapa model moden seperti Fabia, Octavia, Yeti dan tidak lupa model SUV Kodiaq. Selain daripada kilang utama yang beroperasi di Mladá Boleslav, Škoda turut mempunyai beberapa kilang di Rusia, Slovakia serta India. Malah di China mereka turut mempunyai empat buah kilang yang diuruskan oleh Shanghai-Volkswagen Automotive Company, Ltd.
Terbukti bahawa jika duduk di bawah naungan yang kukuh serta efisyen, sebenarnya tidak perlu rasa khuatir. Segala kemahiran dapat dikongsi dan segala kekurangan dalam dilitupi. Mana-mana yang tak habis-habis kutuk kata kenapalah syarikat kita nak kena jual kepada negara lain, bertaubatlah sebelum terlewat. Cuba baca bahan berilmiah sikit, macam Mekanika ni kan?