MARUTI SUZUKI LANCAR ALTO K10 DI INDIA. 1.0L, 2 PAKEJ AKSESORI, BERMULA RM22K SAHAJA
Maruti Suzuki baru-baru ini melancarkan Alto K10 serba baharu ke pasaran India. Kereta kompak yang sesuai untuk kegunaan urban itu diposisikan di atas model Alto 800 yang bersaiz sedikit besar, serta di bawah Wagon R, Celerio, Ignis, Swift dan Baleno.
Dari segi dimensi, Maruti Suzuki Alto K10 yang mempunyai spesifikasi berbeza berbanding model Alto di Jepun adalah sepanjang 3,530mm panjang, 1,490mm lebar, 1,520mm tinggi dengan tapak roda 2,380mm. Ini menjadikannya hanya 164mm lebih pendek daripada Celerio.
Alto K10 menggunakan platform Heartect yang dipadankan dengan enjin petrol K-Series bersesaran 1.0 liter berkuasa 66hp dan tork 89Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual lima kelajuan atau automatik AGS.
Secara visual, jentera itu didatangkan dengan rekaan moden bersama lengkok dan garis badan yang semakin menarik. Bahagian hadapan diserlahkan dengan gril honeycomb besar berwarna hitam dan lampu utama halogen yang kurang agresif berbanding Hyundai I10.
Ia menggunakan rim bersaiz 13 inci yang nampak kurang sesuai dengan badannya. Bahagian belakang pula menampilkan rekaan selamat dengan lampu berbentuk empat segi dan rekaan bampar yang menyamai bampar hadapan. Jentera berkenaan ditawarkan dalam enam warna dan dua pakej aksesori. Pakej Impacto dengan kemasan berwarna-warni, manakala pakej Glinto hadir bersama kemasan krom.
Rekaan dalaman kini lebih moden walaupun menggunakan plastik keras pada seluruh kabinnya. Skrin infohibur bersaiz tujuh inci itu menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Stereng diambil daripada model Celerio, panel instrumen digital dan sistem audio dengan empat unit pembesar suara turut disediakan.
Sistem keselamatan bagaimanapun asas sahaja dengan dua unit beg udara, brek ABS, EBD, sensor parkir dan kunci automatik.
Sudah boleh ditempah, ia ditawarkan pada harga bermula 399,000 rupee (RM22,400) untuk varian paling rendah dengan transmisi manual hingga 584,000 rupee (RM32,800) bagi varian tertinggi automatik.
- BACA: MARUTI SUZUKI CELERIO 2020 – GUNA BAHAN API SERENDAH 3.7L/100 KM
- BACA: KENAPA MARUTI SUZUKI SANGAT DOMINAN DI INDIA
- BACA: TOYOTA AKAN TIRU CARA SUZUKI HASILKAN MODEL KOS RENDAH DI INDIA
- BACA: INI SEBAB KENAPA TOYOTA MAHU JALIN KOLABORASI DENGAN SUZUKI
GALERI