Artikel Pilihan

KENAPA MARUTI SUZUKI SANGAT DOMINAN DI INDIA

Kejayaan Maruti Suzuki di India memang sangat menakjubkan. Syarikat subsidiari kepada Suzuki dari Jepun itu menguasai hampir 52 peratus pasaran dalam negara yang mempunyai populasi melebihi 1 billion rakyat. Patutlah mereka pernah menyatakan untuk menbina ruang pameran dalam jarak 25 kilometer setiap satu.

Ia bukannya sesuatu yang mustahil kerana mereka sudahpun mempunyai lebih 3,000 pengedar di seluruh India dan ada sesetengahnya melakukan servis kepada lebih 250 unit kereta setiap hari. Mereka juga dianggarkan mengeluarkan kereta setiap 16 saat untuk pasaran.

Kejayaan ini memang jauh berbeza dengan pencapaian mereka di Eropah di mana pasaran dikuasai oleh Volkswagen Group dan anak syarikat mereka dengan hampir 30 peratus (sebelum skandal disel tempohari).

Macam mana Maruti Suzuki yang cuma menguasai 1.3 peratus pasaran Eropah boleh begitu berjaya di India? Ini kerana pada peringkat awal, pengeluaran kereta secara besar-besaran di India hanya terhad kepada beberapa syarikat tempatan tetapi pada sekitar tahun 80-an syarikat asing mula dibenarkan melabur dalam pasaran India sekali gus pakatan Maruti India dan Suzuki Jepun di wujudkan.

Maruti merupakan syarikat multinational dan syarikat kereta pertama India dan mereka cukup berjaya sehinggalah India mula meliberalisasikan pasaran automotif pada tahun 1991 dan menyebabkan ia menghadapi saingan daripada jenama luar.

BACA: YAMAHA INDIA PANGGIL SEMULA R3 (R25) KERANA MASALAH HOS RADIATOR

Tapi dengan gabungan Maruti dan Suzuki mereka sudahpun bertapak cukup baik dengan kereta seperti Maruti 800 mendominasi pasaran keseluruhan. Sebabnya mudah sahaja sehingga menyebabkan mereka popular sehingga sekarang. Ia kerana mereka mempunyai barisan model yang sangat sesuai dengan kehendak pasaran.

Suzuki mungkin mensasarkan model-model seperti Vitara dan SX-4 untuk pasaran luar tetapi di India mereka tetap fokus untuk menghasilkan kereta-kereta hatchback yang murah, kecil dan menyeronokkan. Tapi ia bukan bermaksud tiada model lebih premium ditawarkan di sana.

Antara model-model yang ditawarkan dan pernah ditawarkan ialah Swift, Celerio, Wagon R, Alto, Kizashi, Baleno, Ignis, Ertiga (sama macam Proton Ertiga), dan Ciaz. Mereka juga mempunyai kelebihan dengan undang-undang cukai kenderaan India yang menyatakan kereta dengan panjang keseluruhan melebihi 4 meter akan dikenakan cukai tambahan.

Ini kerana kebanyakan kereta keluaran mereka mempunyai rekaan yang kompak. Malah ia juga dihasilkan di dalam negara sekali gus terkecuali dari cukai import. Satu lagi ialah kehendak pasaran sendiri yang mahukan kenderaan pemasangan tempatan berbanding unit import (beza betul dengan orang Malaysia kan? Faktor ekonomi mungkin?).

Tapi faktor terbesar semestinya ialah harga yang murah berbanding pesaing. Murah sahaja memang tidak mencukupi tetapi Maruti Suzuki mempunyai reputasi perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang dan sememangnya itulah yang dikehendaki oleh pengguna. Jangan sampai pengguna terpaksa memandu hampir 100 kilometer untuk ke pusat servis. Itu belu termasuk harga alat ganti yang murah, itulah juga salah satu kelebihan mereka di India.

 

Google ads
Back to top button