
SYM LANCAR SKUTER TERBARU MMBCU. 150CC, REKAAN FUTURISTIK DAN SPORTY
Tidak dinafikan bahawa skuter sememangnya menguasai jalan raya di kebanyakan negara Asia berikutan harga minyak yang semakin mahal dan jalan raya kian sesak. Skuter juga murah untuk dikendalikan dan diselenggara.
Bercakap mengenai skuter, sebenarnya ada dua aliran pemikiran. Pertama adalah bergaya, seperti Vespa, manakala yang kedua adalah futuristik dan sporty. MMBCU, produk terbaru dari SYM, sesuai berada dalam kumpulan kedua ini.
Nama MMBCU memang kedengaran pelik, tetapi skuter terbaharu SYM itu sememangnya mempunyai penampilan yang unik. Malah ada yang membandingkannya dengan Kawasaki H2. SYM MMBCU hadir dengan reka bentuk tersendiri dan panel badan bersudut yang memberikan penampilan futuristik.
Rekaan lampu utama LED yang tajam, manakala panel sisi yang lurus dan tempat duduk tunggal itu menyerlahkan penampilannya yang atletik.
Skuter ini didatangkan dengan pelbagai ciri seperti enjin yang senyap, enjin melahu, port pengecasan USB dan paparan instrumen LCD digital sepenuhnya. Ruang penyimpanan barang seluas 28 liter di bawah tempat duduk cukup untuk memuatkan topi keledar muka penuh.

MMBCU dikuasakan oleh enjin 150.8cc, empat injap dengan sistem penyejukan cecair. SYM bagaimanapun masih belum mendedahkan maklumat mengenai output kuasa dan tork. Sistem suspensi MMBCU terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock belakang dengan pelarasan pramuatan.
Untuk keselamatan tambahan, ia dilengkapi sistem kawalan cengkaman, ABS dwi saluran dan brek cakera. MMBCU yang dipasang dengan rim aloi 13 inci itu seberat kira-kira 136 kilogram.
MMBCU kini dipasarkan secara eksklusif di China dan Taiwan, tetapi kemungkinan besar ia akan tersedia di negara Asia lain tidak lama lagi. SYM masih belum mendedahkan harga rasmi model tersebut, namun dijangka mampu menyaingi prestasi Honda ADV150.