Buletin

MASALAH BEKALAN VENDOR – PENGELUARAN MYVI TERPAKSA DIHENTIKAN BUAT SEMENTARA WAKTU

Pengeluaran model paling laris Perodua, Myvi baharu terpaksa dihentikan buat sementara waktu berikutan gangguan bekalan yang dihadapi oleh salah satu vendornya.

Masalah itu menyebabkan kira-kira 3,000 pelanggan tidak dapat mendaftarkan Perodua Myvi baharu mereka yang pada asalnya dijadualkan sebelum 1hb September.

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu ini. Kami sedang mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan pengeluaran dapat dimulakan semula secepat mungkin.

“Kami amat memahami dan prihatin terhadap kekecewaan pelanggan yang terlibat. Oleh itu, kami sedang berusaha untuk memberikan pampasan yang sesuai dan akan menghubungi para pelanggan menerusi cawangan-cawangan Perodua di seluruh negara tidak lama lagi,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

Biarpun begitu, pengeluaran model Perodua yang lain tetap beroperasi seperti biasa. Malah penghantaran model Axia, Bezza dan Alza berjalan seperti yang dijadualkan.

Perodua menyaksikan peningkatan permintaan terhadap kenderaannya sejak kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikurangkan dari 6% hingga 0% berkuat kuasa 1hb Jun 2018, sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula pada 1hb September.

Setakat ini, lebih 68,000 Perodua Myvi telah diserahkan kepada pemiliknya daripada lebih 120,000 tempahan yang diterima sejak ia dilancarkan pada November 2017. Angka ini menjadikan Myvi produk terlaris Perodua dari segi jualan sepanjang tahun 2018.

Bermula Januari hingga Julai tahun ini, Perodua telah merekodkan jualan sekitar 140,000 unit kenderaan. Ini merupakan peningkatan hampir 19 peratus berbanding 118,600 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Google ads
Back to top button