;
Artikel PilihanPandu Uji

MAZDA CX-3. BILA SENI, GAYA DAN TEKNOLOGI BERSATU…

Salah satu pantang larang penulisan ketika membuat laporan pandu uji kereta ialah pemandu ujian terjatuh cinta  dengan kereta ujian. Ia akan menyebabkan penulisan tersebut menjurus kepada ulasan yang sangat positif dimana pihak yang mengedarkan jenama Mazda di Malaysia tersenyum lebar dan pembaca akan menyangka saya peminat tegar Mazda.

Oh ya sebelum dikutuk hebat, lebih baik saya maklumkan bahawa saya adalah peminat jenama yang beribu pejabat di Minato, Tokyo dan kenderaan pertama saya pun ialah hasil produk syarikat tersebut.

Selepas memandu uji 3 model Mazda secara berturut turut, pandangan saya terhadap syarikat yang berasal dari Hiroshima ini berubah. Ia kekal sebagai sebuah syarikat yang memasarkan kenderaan dengan jatidiri Jepun, penggayaan seni kraf Jepun dan sebuah kenderaan yang amat fokus pada pemanduan.

Sebuah kenderaan yang baik pada definasi saya ialah ia mesti menggunakan cesi yang mantap, enjin dan kotak gear yang bagus dan dinamik pemanduan yang cemerlang.

Adalah menjadi kesalahan pada CX3 kerana ia memiliki semua ciri di atas bersama dengan rekabentuk dan penggayaan yang eksklusif, elegan dan berani membuatkan saya teringat-ingat akan kereta ini walaupun sudah dipulangkan pada pihak Bermaz.

Spesifikasi Mazda CX3

SegmenKompak SUV (Cross) Segmen B
Enjin2000cc SkyActiv. 154 kuasa kuda @ 6000RPM dan 204Nm @ 2800RPM
Kotak Gear6 Kelajuan Teknologi SkyActic dengan penukar gear di stering.
KonfigurasiPacuan roda depan
Jarak antara roda2570mm
Panjang4275mm
Lebar1765mm
Tinggi1535mm
Saiz Tayar215/50 R18
Berat1211kg
Suspensi depanTopang McPherson
Suspensi belakangTorsion Beam
Fitur KeselamatanABS, EBD, Dynamic Stability Control, Sistem Amaran Titik Buta, ISOFIX
PemasanganDiimport sepenuhnya dari Jepun

Falsafah Rekabentuk

Pengurus Projek CX3, Michio Tomiyama merupakan seorang peminat jet pejuang terutama Boeing F/A 18 Superhornet. Bagi beliau, walaupun tidak menyokong mana mana aktiviti ketenteraan, namun seni rekabentuk dan keupayaan jet tersebut membuatkan Tomiyama terpesona dengan jentera terbabit. Jadi tidak hairanlah jika CX3 kelihatan garang dan sofistikated.

Youichi Matsuda, Ketua Rekabentuk Mazda menegaskan CX3 menerapkan konsep penggayaan Mazda Shinari sebagai tema utama rekabentuk.

Mazda Shinari menggariskan beberapa konsep utama dalam menggunakan tema KODO seperti penggunaan roda berjejari besar, ruang kabin yang kecil, bahagian depan/enjin yang panjang, dan ruang “overhang” yang pendek.

Dengan mengaplikasikan tema penggayaan Shinari ke dalam Mazda CX3, Mazda berjaya menerapkan nilai sporti agresif pada rekabentuk SUV.

Dari segi cesi, Mazda CX3 menggunakan cesi yang diambil dari Mazda 2, jadi jarak antara roda bagi kedua dua model adalah sama sekitar 2570mm. Namun struktur atas atau “top hat” bagi CX3 langsung tidak mencerminkan ia dibina berasaskan cesi Mazda 2.

Bahagian depan mengekalkan grill hitam dengan logo Mazda terapung dan bahagian belakang menggunakan asas rekaan lampu signatur Mazda dan diakhiri dengan ekzos berkembar.

Dari sisi tepi, hiasan plastik hitam pada bahagian perumah tayar depan dan belakang dibuat dengan tebal menampilkan bentuk “bold” namun diserikan dengan hiasan krom pada bahagian bawah. Tiang D pula menggunakan tema hitam menampilkan rekaan “floating roof”

Lampu hadapan CX3 datang dengan teknologi LED yang cukup terang dipasang di dalam projektor bagi lampu rendah, manakala lampu tinggi menggunakan reflektor. Daytime Running Light pula dipasang di dalam perumah lampu utama dan bukannya fitur yang difikirkan selepas model ini disiapkan.

Lampu belakang CX3 menggunakan rekaan tersendiri dan tidak sama dengan Mazda 2 Hatchback ataupun Mazda CX5. Lampu kabus belakang telah diposisikan pada bahagian bampar kanan.

Jika anda rasa sudah jatuh hati dengan rekaan Mazda CX3 ini, maka anda tidak keseorangan kerana pada tahun 2015  Mazda CX3 telah memenangi anugerah Red Dot Design Award dan Japan Fashion Colour  Association dan pada tahun ia memenangi 2016 Japan Car Modelling Award untuk model produksi.

Rekaan Dalaman 

Minimalis elegen, itulah tema utama yang cuba diketengahkan oleh Mazda melalui rekabentuk keseluruhan CX3. Tidak seperti CX5 yang hadir dengan penggunaan material lembut yang dibalut dengan kulit pada bahagian panel instrument, CX3 datang dengan material yang keras.

Namun ia tetap kelihatan lebih premium dan nampak ranggi berbanding dengan CX5 apabila menggunakan kulit Suede bagi kemasan panel instrument dan juga pintu.

Corong penyaman udara pula direka dengan bentuk bulat dengan tema berwarna merah bagi menampilkan hiasan agresif dan unik. Malah ada yang mengatakan rekabentuk dan material ini sama seperti jenama mahal dari Stuttgart.

Penggunaan suede ini turut digandingkan dengan penggunaan material kulit dengan cermat pada bahagian pintu, perehat tangan di bahagian tengah, roda steering dan juga perumah konsol yang menempatkan bahagian kawalan penyaman udara jenis analog.

Seperti biasa skrin 7 inci  MZD Connect Infotainment yang mengawal fungsi cesi, audio dan dan sistem navigasi akan mendominasi ruang tengah panel instrumen. Sistem MZD boleh diakses dengan kawalan butang kawalan yang ditempatkan di belakang tombol gear

Kusyen dan Ruang Ditawarkan untuk Keselesaan

Kusyen yang ditawarkan terasa kurang selesa terutama pada bahagian bahu iaitu sekitar tulang belikat. Ia sedikit kurang selesa pada bahagian belakang seolah-olah kena menyandar lebih untuk mendapat keselesaan. Namun keselesaan pada bahagian peha dan pinggang adalah bagus kerana struktur kusyen ini menyokong tubuh.

Panel instrument yang ditawarkan menggunakan material yang sedikit keras digandingakan dengan suede dan kemasan kulit berwarna gelap dan dijahit dengan benang berwarna putih memberikan sentuhan klasik dan elegan.

Corong penyaman udara pula menggunakan tema bulat kelihatan sedikit retro dan kemasan krom menampakkan keseluruhan ruang kabin ini sedikit mahal. Ternyata gandingan suede, kulit, krom, dan diseimbangkan dengan penggunaan skrin MZD menghasilkan ruang minimalis, “rugged”, dan elegen.

Meter bahagian tengah didominasikan dengan meter RPM satu pendekatan biasa bagi sebuah kereta orientasi sport, manakala meter penunjuk halaju ditunjukkan secara digital di bahagian bawah meter RPM dan juga pada “head up display”.

Pada bahagian kiri meter ia memaparkan kedudukan gear dan odometer manakala pada bahagian kanan menunjukkan bacaan baki petrol, suhu luar kabin, jarak perjalanan yang boleh dilalui. Cermin pandang belakang didatangkan dengan cermin monokromik yang akan menghalang cahaya silau dari kereta belakang menyuluh ke dalam mata pemandu.

CX3 juga menawarkan “head up display” yang akan memberikan maklumat segera seperti kelajuan semasa, maklumat autocruise  dan pelbagai maklumat lain. Berbanding dengan Mazda 6 yang menggunakan projektor dan memancar maklumat tersebut terus pada cermin depan, CX3 menggunakan cermin khas yang akan dinaikkan sebaik sahaja enjin dihidupkan memberikan keunikan sendiri pada kokpit CX3. Cermin ini akan diturunkan sebaik sahaja enjin dimatikan.

Malangnya disebabkan rekabentuk bumbung yang kelihatan sporti, ia agak rendah di bahagian belakang yang akan menyebabkan ruang kepala akan menjadi sedikit sempit. Apabila saya cuba duduk di bahagian belakang, hanya ada beza 3 jari antara kepala dengan bumbung kereta walaupun ketinggian saya 165cm sahaja. Mujurlah masih ada ruang bawah kusyen depan dan kaki boleh diletak disitu.

Keselesaan Penumpang dan Pemandu

CX3 dibekalkan dengan 6 pembesar suara yang sedap didengar tapi Mazda 6 yang menggunakan pembesar suara BOSE mempunyai kualiti bunyi yang lebih baik.

Terdapat 2 USB port dan port bekalan kuasa 12v yang dipasang pada bahagian panel instrument pada bahagian depan dan pada pendapat penulis ia tidak mencukupi dan sepatutnya terdapat USB port untuk penumpang belakang

-Jika anda tidak menggunakan ruang tengah pada bahagian kusyen belakang, ia boleh ditarik dan dijadikan tempat perehat tangan. Ia turut menyediakan ruang simpanan cawan sekiranya diperlukan

-Penyaman udara mempunyai fungsi automatik yang akan menyelaraskan suhu kabin pada bahagian butang rotari

-Butang parkir disediakan berhampiran dengan tombol gear dan ia datang dengan fungsi “AutoHold” yang akan memberikan brek walaupun pedal brek telah dilepaskan

-Kerusi pemandu datang dengan bantuan kuasa yang boleh dilaraskan sehingga 10 pelarasan dan juga 2 butang tetapan memori untuk pemandu

-Terdapat mode pemanduan Sport yang akan mengubah cara kotak gear SkyActiv beroperasi. Sekiranya ia diaktifkan, penukaran gear akan dibuat pada RPM tinggi dan juga agresif

-Ruang kargo yang disediakan adalah lebih baik daripada Mazda 2 hatchback yang menjadi platform untuk CX3. Mazda 2 hatchback hanya menyediakan 220 liter kargo manakala CX3 menyediakan ruang sebesar 350 liter. Namun ia kecil sedikit daripada Mazda 2 Sedan yang mempunyai 410 liter ruang kargo.

-bagi memudahkan pemandu mengundurkan kereta, CX3 datang dengan “Rear Cross Traffic Alert” yang dilengkapi dengan sensor dan radar yang akan memberikan signal sekiranya anda megundurkan kereta dari kotak parking dan terdapat kereta yang bergerak dari jalan.

-sistem “passive autocruise” turut disediakan, namun ia tidaklah secanggih sistem “adaptive autocruise” yang ada pada Proton X70

-CX3 juga datang dengan ciri Pengesan Amaran Titik Buta pada cermin sisi. Ia akan menyala jika ada kereta berada di ruang tepi dan memberi amaran jika pemandu menggunakan signal untuk ke sisi.

Pengalaman Pemanduan

Cesi CX3 berasal dari Mazda 2 namun ia dilengkapkan dengan “absorber long stroke” dan ia duduk tinggi dari permukaan jalan. Cara CX3 mengambil selekoh sangat meyakinkan walupun ia hanya dilengkapkan dengan sistem suspensi torsion beam pada roda belakang.

Ia masih mengekalkan kestabilan pada halaju tinggi dan olengan cesi juga terkawal ketika selekoh. Hanya ada satu masalah kecil dengan penggunaan suspensi ini iaitu sekiranya ia terpijak lubang atau bonggol ketika selekoh dengan halaju tinggi, cesi akan terasa mudah terlempar ke bahagian luas selekoh.

Sebarang perubahan tinggi pada tayar akan menyebabkan jarak antara roda CX3 berubah dan perubahan jarak antara roda ini akan memberikan perubahan “feel” ketika selekoh. Namun ia tidak akan memberikan perubahan input kepada roda stering walaupun cesi terasa terlempar ke luar selekoh.

Stering CX3 terasa meyakinkan, padu, sedikit keras dan mendengar kata . Semasa selekoh juga sokongan yang diberikan oleh kusyen pada bahagian rusuk amat cemerlang menzahirkan rasa yakin apabila melalui jalan berselekoh dan sedang melompat.

Enjin SkyActice dan kotak gear 6 kelajuan SkyActiv beroperasi dengan lancar dan talaan ratio dibuat agar ia beroperasi dengan sedikit agresif. Namun jika dibandingkan dengan enjin CX5, ia sebenarnya agak kasar sedikit waktu mula mula dihidupkan dan jika dibandingkan dengan bunyi enjin Mazda 6 Turbodiesel, ia sedikit senyap.

Namun bunyi enjin akan dihalang daripada memasuki kabin menghasilkan kabin yang tenang dan senyap walaupun melebihi 3000RPM.

Namun sekiranya memaksa enjin beroperasi melebihi 3000RPM, bunyi tersebut akan berubah menjadi sedikit garang dengan runut bunyi sport dan seluruh karekter berubah menjadi sebuah SUV sporti klasik walaupun masih beroperasi di dalam mode pemanduan normal.  Sporti klasik pada saya bila kuasa kuda enjin berada pada RPM tinggi, enjin suka beroperasi dengan tinggi dan tork hadir dengan sekata.

Lonjakan adrenalin akan bertambah jika pemandu memilih untuk mengambil untuk mengoperasikan sendiri penukaran gear terutama menggunakan gear rendah untuk “engine braking” dan menukar ke gear 4, 5 atau 6 sebaik sahaja keluar dari selekoh. Perubahan dari gear 3, 4, 5 dan 6 samaada menukar gear ke atas atau turun ke bawah dibuat dengan lancar tanpa ada sebarang senggukan pada cesi.

Karekter sport dan enjin yang menderam nakal ketika 3000-5000RPM yang dibuat memberi isyarat kepada pemandu bahawa “CX3 ialah SUV/Cross sport” bukannya sebuah kereta untuk bersiar siar menikmati pemandangan, tapi menikmati kejituan chassis, enjin dan kotak gear yang beroperasi dalam keadaan harmoni walaupun didesak secara kasar.

Talaan brek pada CX3 juga ternyata berbeza berbanding dengan brek yang ada pada CX5 dan Mazda 6. Brek CX3 amat sensitif dengan input pemandu dan memberikan keyakinan untuk membrek secara agresif sebelum selekoh dan juga dengan sedikit “brake tap” ketika selekoh bagi membetulkan muncung CX3 ke arah yang betul.

Tayar yang dibekalkan bersama CX3 ialah tayar Toyo Proxes R40 datang bersama idea Shinari konsep, rim 18 inci yang agak besar berbanding dengan cesi CX3 dan memberikan CX3 bentuk yang berani dan prestasi ketika selekoh yang baik.

Namun ia tidak memberikan cengkaman yang bagus ketika memandu di dalam hujan dan terasa tayar gagal “membelah” air dengan efisien. Selain itu, tayar bersiri 50 ini juga walaupun memberikan komukasi yang baik kepada pemandu pada semua penjuru, namun ia sedikit keras menghasilkan lantunan ketika melalui jalan yang tidak rata termasuklah jalur kuning pada permukaan jalan.

Pujian harus diberikan pada cesi SkyActiv Mazda CX3 yang menyediakan platform yang bagus ketika pemanduan walaupun hanya digandingkan dengan sistem suspensi “Torsion Beam” semata mata tanpa ada sebarang bar anti oleng atau bar penstabil pada bahagian belakang.

Orientasi tayar yang diubahsuai untuk menambah cengkaman, penyerap hentak yang lembut dan ratio stereng yang ditambah menghasilkan tindak balas yang lincah pada CX3 selincah anak anda yang berusia 3 tahun yang berlari lari di dalam pasaraya dengan penuh keterujaan.

Malah ujian brek semasa selekoh gagal membuatkan cesi CX3 menjadi gelabah tak tentu hala seperti kelaziman yang terjadi pada kereta yang dipasang dengan suspensi “torsion beam”. Malah dalam situasi kecemasan di mana terdapat sebuah Kancil yang dipandu oleh manusia dengan mata berada di kepala lutut yang meluru masuk ke laluan saya juga, prestasi brek amat cemerlang dimana brek kecemasan dilaksanakan dengan kemas dan bahagian cesi juga tidak melibas ke kiri atau kanan walaupun di laluan berselekoh

Prestasi ketika halaju tinggi di lebuh raya juga baik dimana CX3 masih menawarkan kestabilan yang cukup tanpa bahagian ekor melakukan gerakan “pitch” ataupun “roll” sekiranya ia melalui jalan yang tidak rata. Pada pandangan saya, kestabilan ketika laluan berselekoh dan juga jalan lurus meupakan hasil penggunaan teknologi G Vectoring Control yang ditawarkan pada Mazda CX3.

Purata Penggunaan Bahan Api

Unit i-STOP yang mengawal fungsi “Start – Stop” untuk CX3 adalah sangat senang untuk dikawal. Sama seperti CX5 dan juga Mazda 6, dengan hanya mengenakan brek sedikit kuat pada pedal ia akan mematikan enjin dengan lembut. Namun sebaik sahaja pedal minyak ditekan, terdapat sedikit gegaran pada kerusi pemandu sama seperti CX5.

Untuk 258km yang pertama di mana laluan lebuh raya digunakan, CX3 hanya menggunakan sekitar suku tangki petrol walaupun ia kelajuan CX3 mencecah 170km/h. Namun ujian di laluan berbukit yang melibatkan kerahan enjin pada RPM yang tinggi sedikit sebanyak menganggu bacaan penggunaan petrol.

Secara purata CX3 boleh bergerak sejauh 13.62km per liter petrol dan penulis percaya sekiranya pemanduan berhemah dibuat, bacaan yang lebih baik akan diperolehi. Maaf sangat sukar untuk memandu secara skema dengan menggunakan CX3 ini.

Kadar Bunyi Bising, Gegaran dan Kekasaran

Berikut ialah kadar bunyi yang dikesan semasa CX3 melalui lebuh raya dengan permukaan jalan yang baik. Sekiranya anda melalui jalan kampung, terdapat sedikit perbezaan bunyi melainkan anda melalui kawasan yang akan diadakan pilihan raya.

Halaju (km/j)Bunyi (dB)
9059.2
10059.7
11062.2
12063.2

Gegaran dan kekasaran bagi model CX3 adalah tidak sebagus CX5 kerana tayar siri 50 tidak menghasilkan kesan kusyen yang selesa melainkan ia bagus untuk pengendalian. Walaupun menggunakan penyerap hentak yang lembut, kadangkala permukaan jalan yang berbonggol akan menyebabkan pemandu terasa kurang selesa. Mungkin anda boleh menukar ke tayar siri 55 apabila menukar tayar kelak.

Adalah bagus sekiranya:

-kerusi penumpang belakang dibuat dengan sudut yang lebih ke bawah kerana dalam keadaan sekarang ia sedikit menegak.

-ruang kepala ditambah bagi tempat duduk belakang

-tempat duduk belakang mempunyai corong penyaman udara sendiri dan juga port USB untuk mengecas telefon pintar

-penyerap hentakan depan dibuat sedikit keras kerana dalam sesetengah keadaan muncung depan CX3 terasa sedikit membuai

-cermin sisi berada sedikit ke belakang, adalah lebih bagus sekiranya ia berada di hadapan beberapa inci

Kenderaan Utiliti Sport Kompak Segmen B ataupun Sedan Segmen C?

Memang tidak dinafikan kereta sedan segmen B akan memberikan ruang yang lebih baik berbanding dengan SUV kompak segmen B dan sedan segmen C akan memberikan spesifikasi yang lebih baik dari segi sistem suspensi dan juga fitur. Bagi yang berfikiran konvensional, sudah pasti sedan akan menjadi pilihan.

Namun apa yang terjadi hari ini ialah permintaan terhadap SUV semakin meningkat kerana SUV menawarkan ciri ciri yang lebih baik seperti jarak kelegaan antara kenderaan dan permukaan jalan membolehkan SUV dibawa melalui jalan tidak bertar dengan lebih baik, melalui banjir kilat di bandar dengan berani dan jarak penglihatan yang lebih jelas. Dan bagi CX3, janganlah berharap supaya ia dapat meredah anak sungai dan menyertai aktiviti meredah hutan.

Ia kekal sebagai sebuah SUV bandar yang lebih bergaya daripada sedan segmen B, dengan tinggi yang lebih sedikit daripada sebuah sedan dan pengendalian seperti sebuah “hot hatch”. Ia sesuai sebagai sebuah kenderaan utama untuk keluarga kecil atau pasangan muda ataupun sebuah kereta kedua yang akan digunakan apabila anda bosan memandu MPV sebesar anak gajah.

Mazda juga turut menawarkan pakej servis percuma selama 5 tahun atau sehingga 100,00km pertama termasuk cas servis, alat ganti, dan cecair pelincir seperti yang termaktub dalam jadual penyelenggaraan.

Bagi saya ini sudah cukup bagus memandangkan harga syiling petrol RON95 bakal dihapuskan dalam masa terdekat oleh kerajaan yang prihatin.

Selain dari itu, bagi memudahkan pemilik sekitar Lembah Klang dan juga Pulau Pinang melakukan servis, Mazda juga menawarkan servis bergerak dengan menggunakan Mazda BT-50 yang akan datang ke tempat anda bagi melakukan servis berjadual termasuklah bateri, minyak pelincir enjin, minyak pelincir kotak gear, pad brek dan pengelap cermin. Cukup senang dan mudah.

Maaf teriklan pula, sebab sebelum ini saya menerima beberapa mesej berkenaan CX5 yang bertanyakan lokasi pusat servis Mazda dan juga kos penyelenggaran Mazda. Jika anda berasa rambut anda mula beruban seperti saya dan ingin kekal muda serta tidak suka minum minyak sawit untuk awet muda, cuba pandu uji CX3 ini. Mungkin ini ialah SUV untuk jiwa muda anda.

Tags
Google ads
Back to top button