
MAZDA CX-90 AKAN GUNA ENJIN BARU, 3300cc 6 SILINDER PACUAN BELAKANG
SUV Flagship terbaru yang dihasilkan oleh Mazda iaitu CX-90 merupakan SUV yang sarat dengan pelbagai teknologi terkini. Terbaru Mazda mendedahkan sedikit butiran lanjut berkenaan dengan kuasa yang akan dihasilkan oleh enjin serba baru dan bakal dimuatkan pada Mazda CX-90
SUV ini akan menggunakan enjin serba baru 6 silinder sebaris dengan sesaran 3300cc. Apabila dipadankan dengan sistem turbo dan menggunakan bahan api premium untuk pasaran Amerika, enjin ini akan menjana sehingga 340 kuasa kuda dan 500Nm tork. Angka ini sebenarnya cukup tinggi untuk sebuah SUV 7 tempat duduk
Sebagai perbandingan enjin B58B30O1 yang dihasilkan oleh BMW dan digunakan oleh Toyota Supra menjana sehingga 382 kuasa kuda dan 500Nm tork. Semua kuasa ini akan dipadankan dengan sistem i-AWD yang dihasilkan oleh Mazda tapi fokus sistem ini ialah pacuan roda belakang untuk kebanyakan masa
Enjin ini juga akan ditemani dengan sistem hibrid ringan 48-Volt, dimana secara umum sistem ini boleh memanjangkan operasi sistem auto/start stop yang tidak terhad ketika kenderaan berhenti sahaja. Sistem ini akan membenarkan Mazda CX-90 untuk menghentikan operasi enjin ketika dipandu secara santai dan juga membrek bagi menjimatkan bahan api
Desas desus juga mengatakan yang CX-90 akan turut ditawarkan dalam varian plug-in hybrid PHEV bagi varian yang paling berkuasa. Setakat ini kami masih belum mendapat maklumat penuh berkenaan dengan kuasa enjin dan tork bagi varian PHEV
Untuk maklumat tambahan Mazda Australia telah menawarkan CX-60 di pasaran mereka dengan teknlogi PHEV yang dipadankan dengan bateri sebesar 17.8kWh dan juga enjin 2500cc. Ia boleh dipandu sejauh 76km dengan menggunakan elektrik sahaja. Secara keseluruhan sistem PHEV dengan enjin 2500cc menjana sehingga 323 kuasa kuda, dan secara anggaran sistem PHEV dengan enjin 3300 adalah jauh lebih berkuasa
Besar kemungkinan juga CX-90 akan dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan automatik serba baru bagi menggantikan transmisi 6 kelajuan automatik yang lama. Pertambahan 2 lagi ratio membolehkan pecutan dan juga penjimatan bahan api dicapai dengan lebih baik
Bagi Mazda CX-60 yang dijual di Australia gear ratio yang digunakan bagi transmisi 8 kelajuan automatic SkyActiv Drive bermula dengan ratio 5.258 (gear 1), 3.303 (gear 2), 2.129 (gear 3), 1.705 (gear 4), 1.3 (gear 5), 1.0 (gear 6), 0.822 (gear 7) dan 0.628 (gear 8)
Mazda juga menyatakan platrom CX-90 adalah platform khusus dan baru sepenuhnya untuk enjin pacuan roda belakang yang akan turut digunakan oleh model yang lebih kecil seperti CX-70. Teknologi terbaru Mazda iaitu Kinematic Posture Control akan ditawarkan pada semua varian CX-90
Kinematic Posture Control yang pertama kali diperkenalkan pada model MX-5 membolehkan pemandu mengawal kenderaan dengan lebih mudah. Sistem ini akan memberikan kuasa brek kepada tayar belakang di sebelah dalam sewaktu selekoh diambil bagi memberikan lebih kestabilan sewaktu dipandu laju



