Buletin

MAZDA FLAIR CROSSOVER DIBERI NAFAS BAHARU, HARGA BERMULA BAWAH RM43,000

Mazda memperkenalkan versi terkini Flair Crossover di Jepun dengan beberapa pembaharuan dari segi rekaan, teknologi dan ciri keselamatan bagi memastikan model kompak itu terus relevan dalam segmen kei car negara tersebut.

Bagi pasaran Jepun, Mazda Flair Crossover sebenarnya merupakan model kembar kepada Suzuki Hustler yang dijenamakan semula.

Sebelum ini, Suzuki turut memperkenalkan versi kemas kini Hustler, menjadikan kedua-dua model kini berkongsi perubahan hampir sama.

Dari segi saiz, Flair Crossover tampil sangat kompak dengan panjang hanya 3,395mm, sekali gus lebih pendek berbanding Mazda MX-5 Miata yang mempunyai ukuran 3,915mm. Lebarnya pula 1,475mm dengan ketinggian 1,680mm serta jarak roda 2,460mm, memenuhi syarat kategori kei car di Jepun.

Perubahan paling ketara dapat dilihat pada bahagian hadapan khususnya bagi varian XG, XS dan XT yang menerima gril lebih besar bersama logo Mazda bersaiz lebih menonjol. Rekaan bampar turut dikemaskini dengan kemasan baharu di sekitar lampu kabus dan pelindung fender plastik.

Bagi varian lebih lasak seperti ZS dan ZT, Mazda mengekalkan rekaan gril lebih kecil serta bampar plastik tidak dicat bersama kemasan ala aluminium seperti model terdahulu. Namun, logo Mazda kini lebih kecil dipercayai bagi memberi ruang kepada sensor sistem bantuan pemandu (ADAS).

Pilihan warna baharu Woodland Khaki Metallic turut diperkenalkan selain gabungan tona dua warna baharu. Pelanggan juga boleh memilih bumbung coklat atau hitam bergantung kepada varian.

Di ruang kabin, perubahan utama tertumpu kepada sistem keselamatan. Flair Crossover kini dilengkapi sistem Suzuki Dual Sensor Brake Support II yang menggabungkan kamera monokular dan radar gelombang milimeter bagi meningkatkan pengesanan pejalan kaki serta motosikal terutama di persimpangan sibuk.

Antara ciri keselamatan lain termasuk bantuan membrek kelajuan rendah, sensor parkir hadapan, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta serta kawalan jelajah adaptif dengan fungsi stop-hold untuk kesesakan trafik.

Mazda turut menambah cermin sisi lipat automatik dengan lampu LED, brek parkir elektronik bersama fungsi auto-hold dan port USB-C.

Selain varian asas XG, semua model menerima skrin infotainmen 9 inci lengkap dengan navigasi.

Model ini masih menggunakan enjin mild-hybrid tiga silinder 660cc bersama transmisi CVT dengan pilihan pacuan dua roda atau empat roda. Versi aspirasi normal menghasilkan 48hp manakala versi turbo menawarkan 63hp.

Di Jepun, harga Mazda Flair Crossover bermula sekitar AS$9,950 (RM40,522) bagi varian XG pacuan dua roda dan meningkat sehingga AS$14,050 (RM57,220) untuk varian turbo ZT pacuan empat roda.

Dengan tanda harga tersebut, Flair Crossover kini menjadi SUV atau crossover paling murah dalam barisan model Mazda di Jepun.

Google ads
Back to top button