
MAZDA MX-30 HIDUP SEGAN MATI TAK MAHU DI A.S – BAKAL DIHENTIKAN PENGELUARAN
Mazda MX-30 dikatakan telah mati di pasaran Amerika Syarikat kerana hanya 66 unit sahaja terjual setakat ini. Oleh itu, pembuat kereta berkenaan bakal menghentikan pengeluarannya.
Walaupun model tersebut bukan kereta yang teruk, Mazda MX-30 sebenarnya tidak pernah mampu berdaya saing terutama hanya dilengkapi pek bateri 32 kWj, jarak gerak 100 batu, manakala motor hadapan tunggal menghasilkan 143hp.
Angka tersebut menunjukkan Mazda MX-30 ketinggalan begitu jauh berbanding pesaing mereka dalam segmen EV. Faktor lain boleh diambil kira adalah harganya lebih mahal daripada Chevy Bolt yang menawarkan pelbagai variasi rangkaian.

Meskipun MX-30 dianggap gagal di A.S., Mazda bagaimanapun masih mempunyai rancangan elektrifikasi, di mana ia kini tertumpu pada pengeluaran model hibrid plug-in seperti CX-90 PHEV, CX-70 PHEV serta CX-50 PHEV.
Mazda MX-30 akan terus hidup di pasaran lain termasuk di negara kita. Di Malaysia, Mazda MX-30 boleh didapati pada harga RM198,780 dan hadir dalam dua varian iaitu Mid serta High.
Rangkaian kuasa elektrik yang digunakan ialah motor elektrik tunggal berkuasa 143hp dan tork 271Nm.
Ia dipadankan bersama kotak gear kelajuan tunggal automatik dan pek bateri lithium-ion 35.5 kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 199km dengan sekali cas.