Buletin

MAZDA MX-5 – RM226,000!

Roadster keluaran Mazda ini memang mempunyai portfolio yang cemerlang sejak diperkenalkan pada tahun 1989. Mazda MX-5-launch-2015-mekanika (6)

Dinamakan sebagai Mazda MX-5 Miata di pasaran Amerika Utara dan Eunos Roadster di Jepun, MX-5 menjadi model sports convertible dua tempat duduk paling laris di dunia. Buktinya, hampir sejuta unit sudah terjual sehingga Julai 2014.

Ia dilakar oleh Bob Hall, seorang wartawan pemotoran dari Amerika Syarikat (AS) ketika itu.  Jentera dengan kod nama NA itu kemudian nyata mengubah persepsi orang ramai terhadap sebuah roadster mampu milik, berenjin kecil, ringan dan berpacuan roda belakang, terutama di pasaran penting seperti AS.

Mazda MX-5-launch-2015-mekanika (9)

Memang idea untuk membangunkan model roadster sebegitu bukanlah perkara baru. Namun, banyak pengeluar kurang mengambil perhatian dari segi pratikaliti dan keselesaan untuk kegunaan harian.

Selepas sukses dengan tiga generasi sebelum ini iaitu NA, NB dan NC, MX-5 kini  melangkah ke generasi keempat (ND). Tampil dengan bahasa rekaan KODO dan pakej lengkap teknologi SKYACTIV, MX-5 sememangnya amat menggiurkan.

Mazda MX-5-launch-2015-mekanika (3)

Mengekalkan kualiti pemanduan yang disebut sebagai Jinba-Ittai iaitu pemandu dan mesin menjadi satu, roadster tersebut mempunyai nisbah pembahagian berat 50:50. Ia juga 100kg lebih ringan berbanding model terdahulu.

Terima kasih kepada penggunaan material aluminium pada bonet, but dan sayap hadapan. Malah, material sama turut digunakan pada bumbung soft-top yang cukup mudah untuk dioperasikan itu.

Mazda MX-5-launch-2015-mekanika (2)

Berbeza dengan pasaran Jepun yang hadir dengan enjin bersesaran 1.5 liter, Bermaz Motor Sdn. Bhd. (Bermaz Motor) bagaimanapun hanya menawarkan MX-5 berenjin 2.0 liter untuk pasaran tempatan. Berupaya menjana kuasa sehingga 158hp dan tork 200Nm, anda pasti puas dengan prestasi yang ditawarkannya.

“Cukai yang dikenakan ke atas varian 1.5 liter tidak jauh beza dengan 2.0 liter. Lagi pun, pengguna di Malaysia sering mengaitkan sesaran enjin dengan prestasi. Jadi, kami fikir varian 2.0 liter adalah lebih sesuai,” jelas Pengarah Urusan Bermaz Motor, Datuk Seri Ben Yeoh.

Mazda MX-5-launch-2015-mekanika (8)

Meneliti aspek konfigurasinya, MX-5 baharu ini sebenarnya lebih kompak. Biarpun begitu, aspek posisi tempat duduk yang ergonomik untuk semua ketinggian telah diambil kira. Kedudukan suis kawalan, stereng dan paddle shifter diletakkan pada posisi terbaik.

Melihat ke dalam kabin, susun atur suis dan reka bentuk papan pemukanya tidak jauh beza dengan model-model SKYACTIV yang lain. Papan pemuka dimonopoli oleh  sistem audio MZD Connet dengan skrin sentuh 7-inci yang boleh dikawal menggunakan tombol rotary. Selari dengan kualiti material kabin yang telah dipertingkatkan, roadster itu dilengkapi sistem audio Bose bersama sembilan unit pembesar suara.

Mazda MX-5-launch-2015-mekanika (1)

Bermaz Motor menawarkan empat pilihan warna iaitu merah, putih, hitam dan kelabu. MX-5 boleh menjadi milik anda pada harga RM226,376 seunit (di atas jalan).

Jika anda mahukan varian manual, perlu bersabar sedikit kerana Bermaz Motor akan membawanya masuk tidak lama lagi.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button