Buletin

MAZDA PATENKAN ENJIN BAHARU – 2 PENGECAS TURBO, 1 UNIT SUPERCHARGER & PACUAN RODA BELAKANG

Sebelum ini, kami ada melaporkan bahawa Mazda kini sedang sibuk membangunkan enjin bercekapan tinggi yang dikenali sebagai SKYACTIV-X. 

SKYACTIV-X didakwa mampu menawarkan 30 lebih kuasa dan penjimatan berbanding enjin sekarang iaitu SKYACTIV-G. 

Kini, timbul pula laporan bahawa pengeluar kenderaan yang berpangkalan di Hiroshima, Jepun itu sudah memfailkan paten untuk enjin petrol dan diesel baharunya. Apa yang menarik perhatian ialah enjin tersebut menampilkan setup pengecas turbo berkembar dan satu unit pengecas lampau (supercharger) elektrik. 

Ia dikatakan tiada kena mengena dengan enjin SKYACTIV-X. Pemfailan itu dilaporkan dibuat pada Januari lalu di Pejabat Paten dan Tanda Dagang Amerika Syarikat, tetapi hanya disiarkan secara rasmi pada bulan ini. 

Kedua-dua enjin dan supercharger elektrik itu digunakan pada kelajuan enjin yang rendah untuk menambah baik aspek maklum balasnya. Manakala pengecas turbo hanya berfungsi pada rev lebih tinggi. Masih belum dapat dipastikan berapakah kuasa yang mampu dihasilkan dan jumlah bahan api yang digunakannya.  

Diagram enjin tersebut juga jelas menunjukkan konfigurasi pacuan roda belakang. Sekali fikir, ia sesuai untuk varian MX-5 akan datang. Tetapi harus ingat bahawa Mazda menghasilkan MX-5 sebagai sebuah jentera yang seronok dipandu dan bukannya memiliki kuasa terlalu tinggi. 

Jadi, enjin ini mungkin lebih sesuai untuk kegunaan kereta sports, sedan mewah atau SUV RWD masa depan keluaran Mazda. Apatah lagi memandangkan enjin ini boleh ditala untuk mencapai kuasa 400hp dengan sesaran hanya 2.0 liter. Biar apa pun hasilnya nanti, ramai yakin dengan keupayaan Mazda dalam menghasilkan rangkaian kuasanya sendiri. 

BACA: BENARKAH MAZDA SUDAH MENEMUI “TEKO ALADDIN” YANG DICARI-CARI OLEH PENGELUAR LAIN?

Buktinya, ketika pengeluar lain sibuk untuk membangunkan teknologi hibrid, elektrik dan sebagainya sekitar 10 tahun dahulu, Mazda sebaliknya menongkah arus dengan menambah baik teknologi enjin pembakaran dalaman (ICE). 

Tidak sabar rasanya untuk menunggu apa yang akan dihasilkan oleh Mazda dalam tempoh beberapa tahun lagi. 

Google ads
Back to top button