
MCLAREN 750S, SUPERCAR TERAKHIR MCLAREN DENGAN ENJIN PEMBAKARAN DALAM
McLaren 720S adalah sebuah supercar yang memberi definasi baru tentang pemilikan, prestasi dan juga kualiti pemanduan sebuah supercar moden. Tapi dengan dunia bergerak ke elektrifikasi, McLaren juga telah memulakan langkah yang sewajarnya dalam menghasilkan model supercar elektrik.
Tapi sebelum model 720S ini ditamatkan jualannya, McLaren menghasilkan model ultimatum yang dikenali dengan nama 750S. Dari segi penampilan luaran, 750S nampak sama seperti 720S tapi McLaren menegaskan bahawa 30% komponen baru telah dihasilkan walaupun tiada komponen hibrid digunakan seperti McLaren Artura atau Ferrari 296
Berat maksimum 750S hanyalah 1389kg sahaja ataupun 30kg lebih ringan berbanding dengan varian 720S bagi varian yang paling ringan. Semua ini dicapai dengan penggunaan cesi gentian karbon berbanding dengan cesi asal.

Disebabkan aspek ini, 750S berupaya memect 0-100km/jam dalam masa 2.7 saat sahaja ataupun 0-200km/jam dalam masa 7.2 saat. Bagi varian 750S Spyder dengan berat tambahan 49kg, angka ini menjadi 2.8 saat dan 7.3 saat
Selain daripada pengurangan berat, angka pecutan yang baik ini turut disumbangkan oleh beberapa modifikasi tambahan pada enjin dan juga unit transmisi. Enjin V8 4000cc turbo berkembar ini menjana 740 kuasa kuda dan 800Nm tork dengan peningkatan boost turbo, sistem penghantaran bahan api baru dan gasket 3 lapis di bahagian head gasket.
Sama seperti model 765LT, model 750S menerima sistem transmisi klac berkembar 7 kelajuan dengan 15% lebih pendek pada final ratio bagi meningkatkan pecutan jentera. Hasilnya sistem transmisi ini berupaya menukar gear 10% lebih pantas berbanding model 720S.

Transmisi ini juga menerima ciri baru dikenali sebagai “limit downshift”, yang akan menghalang pemandu daripada menurunkan gear terlalu banyak ketika berlumba dan akan menyebabkan kerosakan pada enjin. Sistem ekzos juga ditukar kepada sistem ekzos sport yang menghasilkan bunyi unik untuk 750S dan juga lebih ringan.
Subframe depan atau kerangka juga dihasilkan dengan gabungan gentian karbon serta aluminium. Sistem gantungan pula dipilih daripada rekaan double wishbone untuk roda depan dan belakang yang disambung kepada ProActive Chassis Control System. Ia direka tanpa anti roll bar, sebaliknya menggunakan sistem hidraulik yang konsepnya dipopularkan oleh Citroen satu ketika dulu
Sistem ini akan mengawal pergerakan cesi (pitch, yaw dan roll) dengan baik, memberikan kualiti pengendalian yang mewah dan selesa serta pada masa yang sama menawarkan kawalan yang jitu semasa mengambil selekoh tajam pada halaju tinggi.

Spring untuk sistem penyerap hentak ditukar pada unit yang lebih ringan, dengan bahagian depan lebih lembut sebanyak 3% dan spring di bahagian belakang dikeraskan sebanyak 4%. Sistem stering pula dikemaskan dengan ratio yang lebih baik serta tayar 6mm lebih lebar memberikan respon stering dan cesi yang lebih bagus di selekoh.
Ada 2 pilihan tayar yang akan digunakan samaada Pirelli P-Zero Corsa untuk kegunaan harian ataupun Pirelli P-Zero Trofeo Rs bagi kegunaan litar perlumbaan. Rim 10 bilah rekaan baru dihasilkan dengan kaedah tempaan membantu mengurangkan berat sebanyak 13.8kg. Manakla sistem brek diberikan brek seramik sebagai peralatan standard.
Semua ini membantu mengurangkan rolling resistance dan mengurangkan unsprung weight kenderaan. Bagi pakej perlumbaan, 750S akan diberikan pilihan rotor dan angkup brek dari model McLaren Senna yang diberikan ciri penyejukan cecair terbina dalam

Kemasan rekaan luar dibuat bagi meningkatkan downforce dan mengimbangkan downforce antara bahagian depan dan belakang. Rear air brake 750S yang lebih besar digunakan berbanding dengan model 720S. Bentangan meter pula diambil daripada model Artura yang lebih moden dan kawalan suis cesi dan unit trenkuasa yang lebih baik.
Pelanggan boleh memilih untuk memasang kusyen gentian karbon dari model Senna yang lebih ringan sebanyak 17.5kg. Akhir sekali bagi memenuhi kehendak pemanduan moden, sistem multimedia menyediakan sambungan Apple Car Play dan juga Android Auto