
PANDU UJI RINGKAS PROTON X70 – INI SUV YANG MERIANGKAN!
Nama Proton mungkin tidak asing dengan kita, tapi saya bukanlah peminat Proton selain dari model Perdana Alfa Romeo, Wira 1.8 Special Edition dan juga Satria Gti 1.8. Proton ibarat kapal layar yang besar, sangat sukar untuk mengubah haluan mengikut arus teknologi masa kini.
Ketika jenama lain bertungkus lumus membangunkan pelbagai teknologi enjin bermula dengan VVT, VVTi, VTEC, enjin pancitan terus bahan api dengan turbo, menaiktaraf sistem keselamatan, keselesaan dan sebagainya, Proton gagal bertindak pantas lalu ketinggalan dalam arus teknologi.
Apabila gagal berlumba, maka produk-produk Proton akan kelihatan lapuk, dan hanya dipandang sebagai produk pilihan terakhir pengguna. Ketika pesaing Proton berlumba-lumba menghasilkan kenderaan pelbagai guna bermula tahun 2006, seperti Toyota Avanza yang menerima sambutan hangat, Proton masih lagi gagal membaca kehendak pasaran dan hanya menghasilkan Exora 3 tahun kemudian.
Better late than never kata Mat Saleh. Mutakhir ini, kenderaan jenis SUV dan Crossover pula menjadi trend pasaran seluruh dunia dan kali ini Proton bertindak pantas selepas belajar dari kesilapan dulu.
Sport Utility Vehicle atau Kenderaan Utiliti Sport adalah satu kenderaan dengan sifat berikut
- Rekabentuk wagon (rekabentuk 2 kotak, berbentuk seperti hatchback namun mempunyai dengan bahagian belakang yang lebih panjang bagi ruang maksima)
- Jarak kelegaan bumi yang tinggi
- Mempunyai sistem pacuan semua roda (All wheel drive)
Masih ingat pada Mitsubishi Pajero? yang biasa Polis dan Jabatan Kesihatan pakai dulu, yang dibina berdasarkan chasis kerangka tetangga (ladder frame), mempunyai ketegaran tinggi bagi kegunaan di permukaan lasak seperti laluan berbatu, laluan hutan, kawasan pembinaan ataupun laluan berbatu kuari.
BACA: PANDU UJI PERODUA ARUZ
Namun sayangnya, kebanyakan masa SUV ini akan menghabiskan masa melepak di jalan raya berturap cantik, di lebuh raya dan hanya sesekali mencemarkan tayar menjejaki laluan kebun atau ke tepi pantai
Oh, menggunakan rangka tetangga ini bukan tak bagus, cuma berat. Berat ini akan mempengaruhi penggunaan bahan api dan seterusnya menghasilkan asap yang lebih dan mencemarkan.
Jadi pengeluar satu spesis baru kenderaan SUV dengan menggunakan chassis monocoque, jarak kelegaan yang tinggi dan pacuan semua roda. Maka lahirlah Toyota RAV4, Hyundai Santa Fe, Kia Sportage, Nissan Xtrail, Subaru XV, Mazda CX dan Honda CRV. Kelebihan Chassis monocoque ini lebih ringan dan lebih menjimatkan
Jadi kenapa SUV semakin popular?
- Rekabentuk SUV – bumbung tinggi, lantai rendah, bentuk wagon, memberikan ruang kaki, ruang kepala dan bagasi yang luas. Sesetengah SUV mampu memuatkan basikal lasak untuk kegunaan riadah
- SUV berada lebih tinggi dari sedan, memberikan kelebihan sudut pandangan yang lebih baik berbanding sedan dan hatchback. Sekurang kurangnya kita boleh melihat kesesakan jalan raya dengan lebih jelas kan?
- Sistem suspensi SUV memiliki rekabentuk yang membenarkan absorber dan spring bergerak dengan lebih panjang, memberikan keselesaan pada penumpang apabila melalui permukaan jalan yang tak rata, ataupun lubang yang sinonim dengan jalan Malaysia
- Sistem pacuan semua roda dan sistem kawalan elektronik yang bertindak sebagai peralatan magis membantu SUV melalui jalan berselekoh dengan tenang.
- Pemandu dan penumpang dalam SUV mempunyai risiko yang lebih rendah untuk cedera sekiranya berlaku kemalangan dengan kenderaan lain yang lebih kecil, dan kajian ini diterbitkan oleh IIHS Institut Insurance Highway Safety Amerika
Maka tak hairan la untuk suku pertama tahun 2017, SUV menguasai 36.8% untuk jualan seluruh dunia.
SUV dan Crossover juga adalah satu strategi laut biru bagi Proton untuk bangkit semula menguasai pasaran automotif Malaysia dan juga global.
Semuanya bermula apabila Proton memulakan usaha menjual kepentingan saham pada syarikat otomotif Geely pada 23 Jun 2017. Dengan memeterai perjanjian ini Proton mendapat akses kepada teknologi, platform dan juga produk Geely, dan pada 12 Disember 2018 Proton X70 dilancarkan.

Walaupun usaha ini dipandang sebagai “menjual negara kepada China”, dari segi kerjasama antarabangsa Geely bukanlah calang – calang syarikat. Geely turut membeli dan memiliki Volvo iaitu syarikat otomotif Sweden secara mutlak.
Proton X70 adalah manifestasi dan keupayaan Proton menghasilkan satu produk yang cukup bagus, dengan kos yang rendah, dan pantas melalui pemindahan teknologi.
ENJIN DAN TRANSMISI
Proton X70 dibekalkan dengan enjin 1800cc konfigurasi DOHC, lengkap dengan sistem pancitan bahan api terus (Direct Injection) dan juga sistem turbo.

Enjin ini menghasilkan 135kW kuasa dan juga 285Nm meter tork. Cukup berkuasa bagi kelas 1800cc. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear 6 kelajuan otomatik bersama dengan torque converter.
Ujian pandu ringkas bagi varian 2WD yang dibuat mendapati, kuasa yang dihasilkan dan dihantar pada roda depan beroperasi dengan lancar. Tork yang dihasilkan oleh enjin ini juga membuatkan penukaran gear terasa lembut dan tiada “jerking” atau sentapan yang berlaku.
Bayangkan anda pernah membawa kereta empat kelajuan yang terbaik yang pernah anda bawa, tambahkan 2 gear ratio, mode manual dan ia sangat mendengar kata.
Sesetengah pengeluar lain apabila memperkenalkan kotak gear 6 kelajuan dalam produk mereka, kotak gear tersebut terasa bagai dikahwin secara paksa dengan enjin, dan kuasa enjin tenggelam dalam kotak gear.
Operasi kotak gear terasa kasar, gear tercari-cari ratio sesuai untuk memecut dan respon yang sangat lambat. Bagi X70, kotak gear beroperasi dengan sangat lancar dan respon yang diterima sangat pantas.
Tiada lagi fenomena enjin terasa “lag” seperti operasi enjin dan kotak gear Proton Exora Turbo. Enjin dan kotak gear X70 boleh dilaraskan mengikut 3 tetapan, iaitu Eco, Normal dan juga Sport.
Bagi pemanduan Eco, kuasa yang dihasilkan dan dihantar pada roda terasa sedikit lembut berbanding pemandua Normal, dan tujuan utama ialah penjimatan bahan api.
Berbeza dengan pemanduan Sport, kuasa dihantar secara agresif dan sesuai untuk pemanduan bersemangat. Respon pedal minyak terasa sensitif, memudahkan pemandu untuk memotong di laluan mendaki, berselekoh dan juga memotong kereta yang perlahan.
Kotak gear juga diberi pilihan untuk beroperasi secara manual pada semua mod pemanduan, hanya tolak tombol gear ke kiri pada ruang D, dan anda boleh mengawal operasi gear secara manual.
Setiap kali mode pemanduan diubah, meter akan berubah warna berdasarkan mode yang dipilih oleh pemandu. Warna perak untuk pemanduan model Normal, Biru unruk mode Eco dan juga merah untuk mode Sport.
Paparan meter yang digunakan adalah dari unit LCD sepenuhnya. Tiada lagi jarum penunjuk mekanikal seperti kelaziman. Penggayaan meter dengan LCD ini sangat sedap dipandang, sangat jelas untuk dilihat sekali imbas walaupun beroperasi dibawah panas terik dan tidak menyilaukan mata.
Cuma dari segi ergonomik, sudut kedudukan meter agak ke bawah, lagi bagus kalau meter tersebut tinggi sedikit.
SUSPENSI
Proton X70 menggunakan sistem gantungan bebas pada semua roda iaitu tetapan McPherson Strut pada roda hadapan dan sistem Multi-Link (dengan stabiliser) pada roda belakang.
Suka saya ingatkan disini, tetapan sebegini biasa digunakan oleh jenama mewah dari Jerman. Disebabkan uji pandu saya agak ringkas, hanya sedikit pemerhatian saya boleh buat.
Apabila melalui lubang atau jalan yang tak rata, chassis hanya bunyi “thud” yang kedengaran dan sedikit gangguan pada kabin. Segala kecacatan permukaan jalan berjaya diserap oleh sistem suspensi dan ucapan tahniah wajar diberikan kepada pihak MIRA UK yang menala sistem suspensi X70
Apabila melalui bonggol jalan, sistem suspensi terutama bahagian belakang memberikan ayunan yang lembut, selesa dan meniru gerakan kereta mahal dua kali ganda dari X70. Lembut dan selesa, tapi bukan membuai ya.
Namun dari segi keselesaan, pada pandangan saya Nissan Xtrail lebih lembut dan selesa kalau dibandingkan dengan X70. Pada kelajuan rendah, cabin Proton X70 mencatatkan bunyi sekitar 5odB, bunyi di dalam pejabat semasa anda curi-curi membaca posting ini. Sekiranya hanya enjin dihidupkan dalam keadaan statik, bunyi dalam kabin sekitar 35dB sahaja
EGRONOMIK
Suka saya ingatkan, ergonomik adalah kelemahan terbesar Proton, failed miserably, bagi model lama. Kusyen keras dan kesalahan rekabentuk perehat belakang adalah salah satu punca.
Pada sesiapa yang memiliki Proton Saga FLX, anda pasti bersetuju dengan saya. Namun bagi Proton X70, ceritanya adalah jauh berbeza, mungkin jalan ceritanya sama dengan Avengers Endgame.
Rekabentuk kerusi hadapan, perehat belakang, tempat duduk direka dengan teliti dengan balutan kulit Nappa (untuk varian Premium), menjadikan tempat duduk sangat selesa, memungkinkan perjalanan 7-8 jam tanpa berhenti rehat.
Kewujudan bolster tepi pada bahagian kusyen dan tempat rehat belakang seolah-olah memeluk pemandu dengan kemas, dan span kusyen yang lembut memang satu kombinasi sangat serasi.
Bantuan seat berkuasa yang membolehkan pemandu mengubahsuai kedudukan pada 6 konfigurasi menambahkan lagi rasa selesa. Pada bahagian belakang, ruang kaki dan bahu cukup selesa untuk 3 penumpang dewasa saiz sederhana. Tapi sekiranya sudut condong perehat kerusi belakang boleh dilaraskan ke belakang agar tidak terlalu tegak adalah lebih baik.
KABIN PENUMPANG
Identiti panel instrument Proton yang monokrom dengan tema hitam/kelabu biasanya sangat membosankan digantikan dengan rekabentuk “vibrant”, kombinasi warna titanium metal sebagai titik tumpuan, disulami dengan plastik berwarna hitam dan kemasan kulit Nappa.

Masih lagi mengekalkan tema konservatif “waterfall design” skrin 8 inchi mendominasi instrumen panel Proton X70, dimana semua fungsi istimewa X70 boleh diakses.
Suka saya laporkan yang operasi sistem yang digunakan sangat lancar, mimik IOS iphone. Tempat simpanan barang di bahagian tengah boleh memuatkan telefon pintar, minuman bertin atau ditutup sekiranya tidak digunakan. USB point turut disimpan di storan tengah. Unit simpanan tengah turut memiliki penyaman udara dan pembersih udara ionizer
Fungsi – fungsi penting seperti butang Eco Mode, Sport Mode, Hill Decent Control (ciri yang sama seperti Land Rover), Auto Hold dan Parking Brake disusun kemas di tepi tombol gear.
Penyaman udara lengkap dengan ciri dual mode, bahagian pemandu dan penumpang hadapan boleh mempunyai suhu yang berbeza. Fungsi 360 Camera adalah satu fungsi yang boleh dipuji, menerima suapan dari 5 kamera yang disusun secara strategik termasuklah fungsi blind spot detection
Semua sentuhan yang dilakukan pada butang akan terasa mahal termasuklah butang parkir, kemasan dan kualiti pemasangan adalah setara dengan jenama luar yang lebih mahal.

Bahagian kemasan pintu terasa kedap dan pastinya tiada lagi kritikan dan jenaka yang boleh dibuat terhadap kualiti plastik Proton. Sewaktu lagu dipasang dengan kuat, 9 speaker Kenwood yang dipasang menghasilkan kualiti bunyi bass yang boleh dibanggakan.
Proton X70 juga didatangkan dengan ciri panaromic dan skodeng roof, boleh diakses dengan arahan suara dan juga butang sentuh di atas kepala. Sekiranya anda hanya ingin menikmati cahaya matahari, hanya buka sunshade di atas kepala.

Sekiranya anda bersiar siar di Cameron Highland atau Genting Highland, apa salahnya buka sekali sunroof. Lebih bagus sekiranya sunshade yang digunakan berwarna lebih gelap atau cermin sunroof diwarnakan dengan sedikit gelap, bagus untuk waktu tengahari.
Unique Selling Point (USP) Proton X70
- Advanced Driver Assistance System – dengan menggunakan 9 sensor dan 5 kamera, sistem ini menggabungkan beberapa siri fitur seperti Autonomous Emergency Braking, Forward Collision Warning, Adaptive Cruise Control, Blind Spot Information System dan Lane Departure Warning System. Saya nak tekankan disini ialah Forward ColLision Warning System dan Adaptive Cruise Control, sangat – sangat membantu ketika perjalanan dalam bandar dan juga di lebuh raya. Fitur ini hanya ditawarkan untuk jenama lain pada harga yang lebih mahal
- Kamera 360 darjah dan Parking Sensor – Dengan bantuan 5 kamera, anda boleh mengintai di sekeliling kereta, sesuai untuk bantuan parkir. Sistem ini boleh diakses dari skrin sesentuh di hadapan
- Penyaman Udara Belakang dan Pembersih Udara (Ionizer) – membersihkan udara dari hadapan dengan cas ion.
- Panaromic roof yang boleh diakses dengan butang ataupun kawalan suara. Hanya sebutkan “hi proton” dan system akan bertindakbalas dengan membuka tirai ataupun sunroof.
- Chauffeur Button – sekiranya perlu, kereta ini boleh digunakan oleh syarikat Limo. Kehadiran Boss Button pada bahagian kerusi kanan membolehkan kerusi penumpang hadapan ditolak ke depan dengan butang.
- Kesemua Cermin sisi Proton X70 akan terbuka sedikit apabila diparkir di bawah cahaya terik bagi membantu pengudaraan dan menyejukkan kabin. Sensor hujan akan mengesan hujan dan akan menutup cermin apabila hujan.
- Ciri Hill Decent Control – pada asalnya dibuat oleh Land Rover, dipasang pada semua varian. Ciri ini akan membantu pemandu mengawal kenderaan sewaktu menuruni bukit ketika offroad kebun durian.

Sesetengah orang berpendapat Proton X70 ini sesuai untuk dibawa bergusti dengan lawan dari Merz, BMW ataupun Audi. Bagi saya, apabila seseorang mampu membeli ketiga-tiga jenama di atas, individu terbabit suka mengaitkan diri mereka dengan jenama yang eksklusif, dan jenama Proton bukanlah satu jenama mewah.
Tetapi kehadiran model X70 ini ialah untuk menarik perhatian pembeli dari golongan M40 yang mencari kenderaan untuk dinaiktaraf dari sedan ataupun kenderaan pelbagai guna kepada segmen SUV yang padat dengan ciri-ciri mewah pada harga yang sangat kompetitif.
Ada orang berkata, Proton X70 terasa seperti kenderaan Continental, tapi pendapat saya Proton X70 sangat “Volvoish” and “Sweedish” berbanding negara asalnya – China.
GALERI