Buletin

MENINJAU OPERASI KILANG VW DI PEKAN

Sempena sambutan ulang tahun Volkswagen Group Malaysia (VGM) yang kesembilan baru-baru ini, sekumpulan rakan media telah dibawa untuk merasai sendiri pengalaman eksklusif dengan melawat kilang jenama tersebut di Pekan, Pahang buat pertama kalinya.

Volkswagen-plant-pekan-mekanika (1)

Pengarah Urusan VGM, Armin Keller; Pengarah Pemasaran VGM, Martina Berg dan Pengurus Kilang VW Pekan, Bruno Torres mengalu-alukan kedatangan para tetamu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Hicom Automotive Manufacturer Malaysia Sdn. Bhd., Shamsuddin Mohamed Yusof.

“Kilang di Pekan adalah sebahagian daripada strategi jangka masa panjang kami untuk pertumbuhan dan pengembangan yang mapan di Malaysia. Kilang ini merupakan pencapaian utama kami kerana ia membolehkan kami menghasilkan kenderaan dengan kejuruteraan Jerman pada harga yang berpatutan buat rakyat Malaysia. Malah, kami turut menyediakan peluang pekerjaan berkelayakan tinggi di sini,” kata Keller.

Volkswagen-plant-pekan-mekanika (4)

Ditubuhkan pada tahun 2012 dengan nilai RM1.6 bilion, kilang pemasangan itu merupakan kilang pertama Volkswagen di Malaysia. Ia menggaji seramai 589  orang pekerja secara eksklusif  yang menghasilkan kira-kira 10,000 unit model Polo Hatchback, Polo Sedan, Jetta A6 dan Passat B7 pada tahun 2014.

Sepanjang lawatan pertama itu, rakan-rakan media dibawa ke kawasan produksi kilang untuk melihat sistem kimpalan lazer (Laser Welding System). Teknologi canggih ini berfungsi menyambungkan bumbung dengan bahagian tepi kenderaan secara sekali gus untuk mendapatkan kemasan yang berkualiti tinggi dan kedapan bunyi lebih baik.

Volkswagen-plant-pekan-mekanika (5)

Kilang ini juga memiliki satu-satunya saluran pemasangan automotif di dunia yang mampu memasang empat model berbeza di dalam satu saluran Body Shop dengan menggunakan peralatan VW Framer yang eksklusif.

Volkswagen-plant-pekan-mekanika (7)

“Volkswagen berada di barisan hadapan dari segi inovasi. Ia menjadi peneraju dalam membangunkan rangkaian produk dan model bertaraf dunia yang ekstensif.  Di Malaysia, kami telah menetapkan satu penanda aras yang tinggi, konsisten dengan konsep Das Auto apabila menghasilkan kereta di sini,” kata Pengurus Kilang VW Pekan, Bruno Torres.

Volkswagen-plant-pekan-mekanika (9)

Konsep Das Auto yang bermaksud ‘Kereta’ (The Car) merangkumi semua perkara mengenai kereta. Bagi Volkswagen, sebuah kereta bukan sekadar kereta. Ia adalah menifestasi kejuruteraan Jerman, inovasi, kemajuan teknologi dan pada masa yang sama mesra alam. Kini, Volkswagen menawarkan 15 kenderaan dalam portfolionya dengan empat daripadanya dipasang dalam negara.

Selain melawat kilang, rakan media turut dipelawa untuk memandu uji semua empat model pemasangan tempatan sepanjang dua hari tersebut.   

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button