
MERCEDES-BENZ SPRINTER 2024 UNTUK PELBAGAI JENIS VAN PEKHEMAH
Pemilikan van pekhemah dan motorhome menjadi rancak selepas syarikat tempatan giat membawa masuk kenderaan itu dari luar.
Tidak dilupakan syarikat tempatan yang handal dalam pengubahsuaian van dan pikap untuk dijadikan ‘rumah bergerak’.
Di antara model yang sudah lama di pasaran ialah Mercedes-Benz Sprinter yang hampir tiga dekad menjadi pilihan syarikat pengubahsuai dan individu untuk dijadikan kenderaan kembara.
Mercedes-Benz Sprinter kini berada di dalam generasi ketiga selepas dilancar pada 2018 dan model yang dipertingkat termasuk versi elektrik eSprinter diperkenal pada Januari lalu.
Pada hujung Ogos bakal berlangsung Caravan Salon di Düsseldorf, Jerman dan sejumlah syarikat bakal mempamerkan van pekhemah dan motorhome yang diasaskan dari Sprinter.
Sprinter mempunyai beberapa pilihan badan seperti van panel, casis dan traction head (kepala depan) untuk digunakan.
Van panel sesuai untuk van pekhemah mewah, casis boleh diubah kepada motorhome jenis aclove (ruang atas bumbung), separa (semi) atau badan penuh (fully integrated).
Traction head pula memberi kebebasan yang tinggi untuk pengubahsuai merekabentuk ruang tamu van.
Enjin, tangki minyak dan perkakasan lain ditempatkan di depan tiang B dan membolehkan pengubahsuai memasang rangka dan gandar belakang secara berasingan dan menyambungnya dengan kepala depan.
Sama seperti jenis badan, pilihan kuasa enjin juga pelbagai. Enjin 2.0 liter OM 654 diesel turbo empat silinder ditawarkan dalam empat pilihan kuasa iaitu 114 ps, 150 ps, 170 ps dan 190 ps.
Pelanggan juga boleh memilih pacuan depan, belakang atau semua roda. Pacuan semua roda memiliki kelebihan semasa mengembara di atas permukaan licin.
Sistem akan membahagikan kuasa di antara gandar depan dan belakang mengikut keadaan dan tanpa pemandu perlu melakukan tugas tambahan.
Bergantung kepada varian, Sprinter dilengkapi teknologi canggih seperti Bantuan Brek Aktif dengan fungsi lintasan, Moving-off Information Assist dan Sideguard Assist.
Untuk varian casis tertentu, fungsi Bantuan Brek Aktif, Bantuan Pengekalan Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta, Bantuan Perhatian, Bantuan Kelajuan Pintar dan kamera undur dijadikan ciri asas.
Perkakasan dalaman tidak meninggalkan identiti sebuah Mercedes-Benz dengan sistem multimedia MBUX terkini, skrin sentuh 10.25 inci dan paparan meter berwarna untuk pemandu.
Stereng memiliki fungsi pengesanan pelepasan tangan. Turut dilengkapi fungsi bantuan suara melalui sapaan “Hey Mercedes”.
Sebagai van pekhemah saiz besar, fungsi Digital Extra menyediakan khidmat navigasi yang mengambil kira ukuran dan berat bagi mengelak laluan sempit dan tidak boleh dilalui.
Beberapa lagi fungsi turut dibangunkan khusus untuk kegunaan motorhome sebagai contoh Mod Hibernasi bagi menjimatkan tenaga bateri penghidup semasa van ditinggalkan dalam tempoh lama.




























