Buletin

MERCEDES LANCAR PROJECT ONE – KERETA F1 YANG BOLEH DIPANDU DI JALAN (DAN SUDAH HABIS DITEMPAH)

Selepas banyak khabar angin, foto intipan, spekulasi, gambar dan bayang-bayang, akhirnya Mercedes mendedahkan debut dunia Mercedes AMG Project One.

Ini adalah kereta produksi pertama di dunia dengan enjin Formula Satu yang sah digunakan di jalanraya. Ia menggunakan enjin asas dari kenderaan Mercedes F1 W08, hybrid enjin 1.6 turbo dan empat motor elektrik.

Dua motor elektrik di bahagian hadapan mampu berputar sehingga 50,000rpm, sementara motor terbaik dalam industri hari ini lazimnya terhad pada 20,000 rpm.

Motor ketiga diintegrasikan bersama dengan pengecas turbo sementara yang keempat dipadankan terus ke bahagian pembakaran enjin.

Setiap satu daripada motor ini menghasilkan 160 kuasa kuda (120kW) sementara motor elektrik di bahagian enjin mengekstrak kuasa yang sama manakala motor di bahagian turbo menghasilkan 120jp (90kw). Jumlah keseluruhan kuasa ialah “lebih 1,000 kuasa kuda”.

BACA: SAMBUTAN 50 TAHUN AMG

Mengagumkan untuk platform enjin 1.6 (boleh beli ni roadtax murah)

Mercedes AMG bukan sahaja mereka telah menyelesaikan masalah turbo lag, tetapi berjaya menghasilkan putaran enjin yang responsif. Menurut Mercedes AMG, tindakbalas pendikitnya kini lebih pendek berbanding sebuah enjin lapan selinder V8.

Ia terhasil bukan sahaja atas bantuan motor elektrik, tetapi juga sistem turbo yang dibantu oleh motor yang menukar ciri-ciri gas ekzos dan kompresor turbin supaya terpisah antara satu sama lain. Ia dipasangkan pada posisi yang optimum pada bahagian port sisi ekzos dan sisi bahagian intake yang kemudiannya disambungkan dengan shaft elektrik berkuasa 90kW.

Ya. ini bukanlah enjin hybrid biasa, ia adalah kejuruteraan canggih yang pertama kali diperkenalkan kepada dunia.

Tapi apa maksudnya? Mercedes AMG berkata, Project One berupaya memecut sehingga 350km/j dan pecutan 0-200km cuma mengambil masa 6 saat. Ya ENAM SAAT!

Antara ciri lain yang ditonjolkan ialah kebolehupayaannya bergerak dengan tenaga elektrik kendiri pada jarak 25km. Sistem ini beroperasi menggunakan kuasa 800volt berbanding 400 volt biasa.

Kemudian, kuasa dipindahkan ke permukaan jalan menerusi sistem transmisi lapan kelajuan yang dibina khusus untuk Project One. Kotak gear diaktifkan secara hidraulik bagi kedua-dua mod manual dan automatik.

Kerangkanya dibina dari bahan gentian gentian karbon monocoque. Pemasangan enjin dan transmisi pula diintegrasikan bersama fungsi beban bebola galas yang disambung terus ke bahagian sambungan suspensi belakang.

Bahagian dalamannya dilengkapi dengan paparan instrumen 10 inci dan rekaan stereng “petak” di mana bahagian bawahnya dilengkapi butang kawalan pemanduan, talaan suspensi paparan LED dan beg udara.

Walaupun bunyinya macam kereta lumba yang sofistikated, kereta ini juga dilengkapi dengan pendingin hawa, tingkap kuasa dan kamera undur (sebab ia tiada cermin belakang)

Hanya 275 unit Mercedes AMG Project One akan dibina dan hanya akan ada dalam versi pemanduan sebelah kiri. Ia diumumkan dijual pada harga USD2.7 juta (RM11.36 juta) sebuah.

Tapi nanti dulu, tempahan sudahpun ditutup dengan kesemua unit sudah ada pemiliknya.

Tapi nanti dulu. Kereta pertama yang akan diserahkan kepada pemiliknya hanya pada tahun 2019 nanti.

Orang kaya ni memang penyabar kan?

 

 

Google ads
Back to top button