
MERCEDES-MAYBACH GLS 600 2023, SUV SUPER MEWAH DALAM PAKEJ 557 HP, 730NM!
Mercedes-Maybach, satu nama yang mengangkat jenama Mercedes-Benz ke peringkat lebih tinggi. Jika kenderaan Mercedes-Benz mudah ditemui di jalan raya, Maybach pula begitu eksklusif dan lebih mudah untuk ditemui di laman web automotif atau media sosial berbanding jalan raya.
Model terbaru yang ditawarkan ialah Mercedes-Maybach GLS sempena pengenalan model rupa baru (facelift) Mercedes-Benz GLS 2023.
Identiti model ini jelas dilihat pada warna badan dua tona, gril krom menegak dan tulisan Maybach pada bahagian atas. Dari tepi terpampang rim 23 inci dalam reka bentuk yang sinonim dengan Maybach.
Penutup bolt ditawarkan sebagai pilihan dan rasanya tiada masalah jika pelanggan mahu menambah ke dalam senarai aksesori.
Pada bahagian dalam, warna putih membangkitkan lagi aura super mewah dan terasa luar biasa selain corak bentuk berlian pada bahagian tengah kerusi yang menaikkan tekstur di tengah dominasi tema putih.
Lampu suasana dijadikan kelengkapan standard dengan pancaran animasi corak Mercedes‑Maybach.
Eksklusif untuk Mercedes‑Maybach, pembeli boleh memesan kombinasi warna MANUFAKTUR iaitu crystal white dan silver grey pearl atau MANUFAKTUR mahogany brown dan macchiato beige.
Lagi komponen baharu ialah stereng dengan kawalan sentuh dan bantuan suara boleh diaktifkan dengan panggilan Hey Mercedes.
Senarai pilihan yang ditawarkan terdiri daripada sistem MBUX Multi-Seat Entertainment dan sehingga tiga skrin sentuh.
Turut ditawarkan dua slot USB dengan output 100 W pada bahagian belakang konsol tengah.
Mercedes-Maybach GLS digerakkan enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar yang menghasilkan 557 kuasa kuda (hp) dan tork 730Nm dari 2,500 rpm hingga 5,000 rpm.
Enjin itu mempunyai sistem mild-hybrid 48 volt dengan penghidup penjana bersepadu (ISG) dan membekalkan lonjaka kuasa 22 hp dan tork 250Nm.
Dipadan bersama enjin ialah transmisi automatik dan pacuan semua roda.
SUV super mewah ini boleh memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam 4.2 saat manakala kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.
BACA: INI CARA UNTUK MENGENALI MODEL MERCEDES BENZ BERDASARKAN KOD NAMA
BACA: MERCEDES BENZ EQA 250, KUASA ELEKTRIK JENAMA PREMIUM
BACA: MERCEDES BENZ GLB 200 PROGRESSIVE LINE, SUV 7 TEMPAT DUDUK KOMPAK & MEWAH















