Pandu Uji

MERCEDES BENZ GLB 200 PROGRESSIVE LINE, SUV 7 TEMPAT DUDUK KOMPAK & MEWAH

Mercedes Benz menawarkan banyak varian SUV/crossover dalam barisan model keluaran mereka bermula daripada model GLA, GLC, GLE malah varian ini turut ditawarkan dalam varian bentuk badan coupe (bumbung belakang rendah) yang lebih sporti.

Tapi jika anda mahukan sebuah SUV dengan 7 tempat duduk, Mercedes hanya menawarkan model GLS dengan enjin sebesar 3000cc dengan harga permulaan RM 899,888. Harga ini agak keras bagi mana-mana pasaran global yang mahukan sebuah crossover kompak yang lebih besar daripada penawaran GLA, GLC dan GLE

Maka pada tahun 2019, model GLB dilahirkan dan diposisikan antara GLA dan GLC. Berbeza dengan GLA dan GLC, GLB dihasilkan dengan rekaan yang berkotak atau secara tepatnya rekaan 2 kotak bagi memaksimakan ruang. Ketika dilancarkan, ada 2 varian yang ditawarkan samaada 200 Progressive Line atau 250 4Matic AMG Line

Tekaan kami ialah maksud angka 200 Progressive Line menunjukkan kuasa kuda yang dihasilkan oleh enjin 1332cc yang digunakan ini menghasilkan kurang daripada 200 kuasa kuda. Satu angka yang menakjubkan bagi sebuah enjin 4 silinder dengan turbo yang dikenali sebagai enjin M282

GL pula merupakan singakatan kepada Geländewagen (offroad vehicle) dalam bahasa Jerman, dan huruf B pula mewakili model. Perbezaan besar antara GLB dengan GLA serta GLC selain rekaan ialah kemampuan GLB membawa 7 penumpang dalam satu masa, tapi kami lebih pasti 2 kusyen di belakang adalah untuk kegunaan kanak-kanak sahaja

Dengan harga sekitar RM 281,888 dengan unit diimport sepenuhnya, GLB menawarkan pilihan kenderaan SUV yang lebih luas dan praktikal dengan keupayaan membawa 7 penumpang. Tapi rekaan luar GLB tidaklah berkotak sangat seperti Land Rover dengan bahagian bumbung diberikan sedikit garisan melengkung dan bahagian cermin selepas tiang C dihasilkan dengan corak melengkung ke atas

Dari segi saiz, GLB dihasilkan dengan panjang sekitar 4634mm, lebar 1834mm serta tinggi 1633mm. Saiz GLB lebih kurang sama dengan Honda CRV, melainkankan jarak antara roda Mercedes Benz GLB lebih panjang dengan 2829mm bagi memuatkan 3 baris tempat duduk.

Jika dipandang dari arah depan, rekaan GLB persis dengan GLS yang menampilkan unsur 2 bar hoizontal pada logo 3 bintang di bahagian jeriji atas. Namun untuk jeriji bawah, ia menggunakan rekaan jeriji yang hampir sama dengan GLA, GLA dan GLE.

Unik pada GLB ialah penggunaan skid plate dengan unsur krom berkilat bagi menghasilkan rekaan yang ranggi. Imej ranggi ini diteruskan dengan pemasangan rel bumbung dengan kapasiti muatan 68kg, rim 5 bilah aloi dengan saiz 18 inci dan dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion Verde.

Sama seperti rekaan di bahagian depan, kemasan bahagian bawah bampar belakang diberikan sentuhan kemasa krom berkilat dan sepasang lubang ekzos yang palsu sama seperti janji ahli politik hari ini. Untuk kekal bersaing seperti SUV moden yang lain, pintu ruang kargo belakang diberikan bantuan kuasa elektrik

Sebaik sahaja dibuka, ia akan memberikan akses kepada ruang kargo sebesar 130 liter jika semua tempat duduk digunakan ataupun 764 liter apabila kusyen barisan ke tiga dilipat. Berbeza dengan jenama lain, Mercedes menawarkan banyak ciri pada tempat duduk ke 3 seperti 2 poin USB untuk mengecas telefon, 2 poin ISOFIX dan 2 tempat meletak cawan di bahagian tengah.

Temoat duduk barisan kedua boleh dilipat dalam ratio 60:40 bagi memberikan ruang kargo sebesar 1755 liter. Selain itu, ruang barisan kedua diberikan corong penyaman udara du bahagian tengah, tempat meletak botol minuman di pintu kereta, 1 poin USB dan 2 poin ISOFIX menjadikan 4 ruang untuk memasang kerusi bayi

Menjengah ke ruang depan iatu ruang pemandu, anda akan dapati papan pemuka dihasilkan dengan menurut citarasa orang muda. Terdapat dua unit paparan meter dan sistem infohibur sebesar 10.25 inci yang dinamakan sebagai Free Standing Wide Screen Cockpit. Satu paparan digunakan sebagai bentangan paparan meter untuk pemandu

Satu lagi digunakan untuk mengawal sistem Mercedes Benz User Experience, iaitu sistem multimedia lengkap dengan sambungan Apple Car Play/ Android Auto lengkap dengan pad sesentuh pada bahagian konsol tengah dan butang panggilan kecemasan

Apa yang menjadikan kabin GLB lebih muda ialah penggunaan lamu LED sebagai lampu kabin yang menjadikan kabin GLB lebih meriah pada waktu malam. Lampu ini diposisikan pada corong penyaman udara, di konsol tengah, pintu dan papan pemuka boleh menukar warna mengikut kemahuan pemandu.

Malah pemandu dan penumpang depan diberikan kusyen bantuan kuasa elektrik, 2 tetapan memori, 2 poin USB jenis C di dalam perehat tangan dan satu unit pengecas tanpa wayar di bahagian depan. Jika dikira dengan sambungan pada unit multimedia, maka GLB ada 7 poin untuk mengecas telefion pintar.

Mercedes Benz GLB dikuasakan dengan enjin 4 silinder 1332cc yang menjana 161 kuasa kuda dan 240Nm tork. Enjin ini pada asalnya dibangunkan oleh Renault bagi kegunaan sekutu mereka iaitu Nissan dan Mitsubishi ini dipadankan dengan transmisi 7 kelajuan klac berkembar yang dibekalkan oleh Getrag.

Ketika pedal minyak ditekan, GLB langsung tiada masalah untuk memecut walaupun berat SUV ini mencecah sehingga 1555kg. Kuasa yang dihasilkan cukup untuk menampung 7 penumpang dan dipandu deras di lebuh raya lorong kanan. Tapi kombinasi enjin dan transmisi ini terasa kurang lancar jika dipandu secara perlahan di taman perumahan

Jika dibandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac basah milik Volkswagen, ia lebih terasa kurang lancar. Anda boleh memilih mode Dynamic, Eco atau Normal bagi pemanduan yang akan menala kekerasan stering, respon gear dan enjin. Oh ya, tombol gear berada di sebelah kanan roda stering terasa agak kekok digunakan buat kali pertama. Tapi anda akan menggunakannya untuk menukar gear kepada D, R atau N sahaja.

Jika anda memilih untuk mengawal gear, gunakan sahaja penukar gear di belakang roda stering untuk pemanduan agresif. Cesi GLB ini ditampung dengan suspensi topang McPherson di bahagian depan dan suspensi MultiLink di bahagian belakang serta menggunakan penyerap hentak yang fokus pada keselesaan.

Walaupun suspensi GLB terasa melekat ketika melalui selekoh, namun pergerakan cesi ketika malalui jalan yang beralun terasa kurang selesa. Seperti terasa daya yang dihasilkan oleh spring gagal diserap oleh penyerap hentak. Jika anda melalui jalan yang berombak atau tidak rata dengan laju, GLB akan menyebabkan anda seperti melambung dan terasa geli di bahagian perut.

Tapi jika dipandu di jalan lurus pada halaju tinggi, ia akan bersifat seperti kenderaan buatan Jerman. Ia sangat stabil pada halaju tinggi walaupun melalui kawasan yang berangin. Dengan padanan 4 brek cakera pada semua roda, anda boleh mengharapkan kuasa membrek yang dihasilkan oleh GLB

Ia dibekalkan dengan sistem Active Distance Distronic, Active Brake Assist, Pre Safe System, Active Lane Keep Assist, Blind Spot Assist, Brek kecemasan automatik ketika mengundur, anti tow system, anti theft, bantuan parkir Parktronic dan juga Active High Beam. Hampir semua ciri termaju disediakan kecuali sistem pemanduan automatik yang pasif, bukannya dari jenis Adaptive Cruise Control

Dalam halaju malar di lebuh raya dengan kelajuan tetap antara 110-120km/jam, Mercedes Benz GLB boleh memerikan bacaan purata sekitar 16.88km bagi setiap liter petrol. Angka ini tidak jauh daripada 16.95km/liter petrol iaitu bacaan rasmi yang dihasilkan oleh Mercedes.

Salah satu teknologi yang dimasukkan dalam enjin ialah keupayaan enjin ini beroperasi dengan 2 silinder sahaja dalam keadaan pemanduan santai. Cuma jika anda tekan melebihi 140km/jam, jangan harap anda dapat pulangan penjimatan sebegini.

Tambahan pula jika anda memandu dengan halaju 110km/jam, kadar kebisingan dalam kabin adalah sekitar 58dB sahaja di atas lebuh raya. Memang seronok pandu GLB ini, melainkan anda terpaksa meletakkan penumpang dewasa di barisan ketiga.

Selain daripada ruang kaki yang terhad, penumpang juga agak sukar untuk mengakses masuk ke barisan ke tiga kerana bukaan kusyen yang terhad pada barisan kedua. Jadi solusi yang bagus ialah, barisan ke 3 ini khusus untuk kanak-kanak sahaja atau lipat terus bagi menghasilkan ruang kargo yang lebih besar

Pada hemat penulis, GLB adalah percubaan yang bagus daripada Mercedes bagi menghasilkan sebuah SUV kompak 7 tempat duduk bagi memberikan penawaran produk yang lebih banyak. Tapi ia menunjukkan Mercedes masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam menghasilkan produk kompak tapi ruang dalaman yang luas

Pada harga RM 281,888 ia sebenarnya merupakan alternatif kepada BMW 2 Series Gran Tourer iaitu MPV 7 tempat duduk dan juga Volkswagen Tiguan. Sekurang-kurangnya ia masih menawarkan 7 tempat duduk dengan harga yang lebih kompetitif iaitu RM 281,888 berbanding dengan Mercedes Benz GLS yang jauh lebih mahal.

Google ads
Back to top button