,
Artikel Pilihan

MERCEDES MULTI SPARK IGNITION, 5X PENCUCUHAN DALAM 1 MILISAAT. LEBIH JIMAT PETROL

Mercedes ada banyak barisan enjin yang dipasang pada enjin kereta mereka. Dari sekecil anak 1300cc, 3000cc sebaris dan juga 4000cc dengan susunan V8. Hari ini kita akan berbicara berkenaan enjin AMG GLC 63 turbo berkembar V8 yang datang dengan spesifikasi samaada 476 kuasa kuda ataupun versi S+ yang menghamburkan 510 kuasa kuda.

Namun disebabkan sesaran enjin yang besar sehingga mencecah 4000cc, maka Mercedes mencari pelbagai kaedah untuk menjimatkan petrol, menjadikannya semakin efisyen dan melepasi peraturan pencemaran asap dengan mudah. Mungkin jurutera Mercedes masih belum menghubungi jurutera Malaysia yang hanya meletakkan kad jimat di penutup tangki, maka mereka terpaksa menggunakan kaedah lain.

Apa yang jurutera AMG-Mercedes buat ialah dengan memastikan palam pencucuh yang digunakan dalam enjin ini boleh menghasilkan 5 percikan api dalam masa 1 milisaat sahaja. Tujuan utama mereka ialah untuk menghasilkan pembakaran yang sangat efisyen pada RPM yang rendah dan mengurangkan penggunaan petrol.

Pada RPM yang rendah, bagi mendapatkan penjimatan bahan api yang bagus, ECU akan menala enjin supaya berfungsi pada nisbah udara stoikiometrik dengan petrol serendah 14.7:1 (air fuel ratio). Pada RPM yang tinggi dan kuasa enjin diperlukan, nisbah ini akan menjadi semakin rendah dan semakin banyak petrol digunakan.

Namun halangan utama untuk mengurangkan lagi kepekatan petrol dan menjimatkan petrol ialah nisbah ini akan menjadi lebih dari 14.7:1 ialah molekul petrol tidak cukup pekat untuk disebarkan ke seluruh kebuk pembakaran. Mungkin sesetengah kawasan nisbahnya adalah setinggi 10:1 namun sesetengah kawasan lain nisbahnya menjadi 20:1.

Keadaan ini mewujudkan nisbah udara/petrol yang tidak seragam dalam kebuk pembakaran. Hasilnya ialah proses pencucuhan campuran udara dengan petrol menjadi tidak seragam dan tidak konsisten jika hanya satu sahaja proses pencucuhan dilakukan oleh palam pencucuh. Jurutera hanya berharap nisbah udara/petrol berdekatan dengan palam pencucuh agar pembakaran boleh dimulakan

Kajian yang dijalankan oleh penyelidik mendapati, jika palam pencucuh beroperasi lebih dari sekali dalam satu kitaran kuasa, ia berupaya untuk menghasilkan fireball yang lebih besar dan halaju flame propagation yang lebih pantas. Hasilnya pembakaran berlaku dengan lebih pantas dan seragam berbanding dengan kaedah satu pencucuhan sahaja.

Jadi pada enjin V8 turbo berkembar ini, palam pencucuh yang digunakan berupaya menghasilkan 5 percikan api dalam masa kurang 1 milisaat. Faedahnya ialah jurutera AMG-Mercedes boleh menggunakan nisbah udara/petrol yang lebih tinggi sehingga 23:1 namun pada masa yang sama kualiti pembakaran adalah seragam.

Dari segi masa, jurutera mendapati kaedah ini mempercepatkan proses pembakakaran sehingga 6% lebih cepat. Kecekapan mekanikal enjin meningkat sehingga 5% lebih baik. Apabila digabungkan dengan sistem suntikan bahan api tekanan tinggi, kaedah ini mampu menjimatkan bahan api sehingga 4%.

Berbeza dengan kaedah lama yang dibuat oleh enjin i-DSI milik Honda ataupun enjinTwin Spark milik Alfo Romeo yang menggunakan 2 palam pencucuh, Mercedes melakukan proses ini dengan satu palam pencucuh sahaja.

Tags
Google ads
Back to top button