Buletin

MG UMUM MG4 2025 DENGAN BATERI SEMI-SOLID – JARAK GERAK 537KM, DEBUT 5 OGOS

Pada satu acara media berlangsung pada 17 Julai lalu, Pengurus Besar Bahagian Jenama MG, Chen Cui, mengesahkan bahawa MG4 versi terbaharu akan menjadi kereta elektrik bajet pertama di dunia yang menggunakan teknologi bateri semi-pepejal.

Teknologi bateri semi-pepejal merupakan satu inovasi yang sebelum ini hanya digunakan pada model konsep atau kenderaan berprestasi tinggi.

Bateri ini dibekalkan oleh QingTao Energy dan hanya mengandungi 5 peratus elektrolit cecair. Menurut MG, ia telah melepasi pelbagai ujian keselamatan termasuk ujian tembusan 360 darjah dan mampu menawarkan jarak pemanduan sejauh 537km mengikut standard CLTC.

Ketumpatan tenaganya pula berada pada paras 180Wh/kg. Tambahan lagi, dalam cuaca sejuk sekitar –7°C, bateri ini mengekalkan 13.8 peratus lebih keupayaan berbanding bateri LFP konvensional.

MG4 versi kemas kini ini dijangka ditawarkan pada harga antara 80,000 hingga 120,000 yuan (sekitar RM51,400 hingga RM77,100), menyasarkan terus pesaing utama dalam segmen EV kompak iaitu BYD Dolphin.

Chen turut menyatakan bahawa sekiranya harga MG4 setara dengan Dolphin, tiada sebab mengapa pengguna tidak akan memilih model dari MG.

Dari segi mekanikal, MG4 menggunakan pek bateri 70kWh yang memacu motor elektrik 120kW yang terletak di gandar belakang, menjadikannya model pacuan roda belakang (RWD).

Sebagai perbandingan, BYD Dolphin tampil dengan pacuan roda depan dan motor 70kW untuk varian asas, manakala varian lebih tinggi mendapat unit 150kW – meletakkan MG4 sedikit ke hadapan dari segi pemanduan serta prestasi dinamik.

MG4 baharu ini juga lebih besar daripada model terdahulu dan pesaing terdekatnya. Ia berukuran 4,395mm panjang dan 1,842mm lebar, dengan jarak antara roda sejauh 2,750mm.

Dengan dimensi tersebut, model ini memberi kelebihan dalam ruang kabin serta kapasiti kargo berbanding BYD Dolphin yang lebih pendek dan sempit.

Bahagian dalaman turut menerima peningkatan signifikan dengan pengenalan sistem kokpit MG×Oppo, hasil kerjasama MG dan Oppo, yang menyatukan fungsi telefon pintar ke dalam antaramuka kereta.

Selain itu, ia juga menyokong arahan suara, navigasi menggunakan gerakan tangan, serta penyegerakan aplikasi mudah alih.

Pengeluaran model ini telahpun dimulakan di kilang SAIC di Nanjing menjelang pelancaran rasmi pada 5 Ogos.

Google ads
Back to top button