Buletin

MINI MALAYSIA LANCAR COOPER S COUNTRYMAN & COOPER SE COUNTRYMAN 2021. BERMULA RM244K

MINI Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model MINI Cooper S Countryman dan MINI Cooper SE Countryman ke pasaran tempatan.

MINI Countryman ialah model paling besar dan versatil dalam keluarga MINI. Ia menjadi jentera pertama yang memiliki ukuran lebih empat meter.

Model empat pintu itu menawarkan saiz pintu but yang besar, lima tempat duduk dan sistem pacuan semua roda.

Kedua-dua jentera itu menampilkan MINI ALL4 Exterior Optic. Varian baharu itu menerima bampar hadapan dan belakang rekaan terkini. Selain dipasang dengan lampu utama LED dengan ciri membelok, rel bumbung dan jalur pada bonetnya.

Bahagian belakang pula diserlahkan dengan lampu kemasan Union Jack. MINI Cooper S Countryman dilengkapi set roda 19” MINI Turnstile Spoke dengan tayar Run Flat. Sementara MINI Cooper SE Countryman menggunakan rim 19” MINI Yours British Spoke dan tayar Run Flat.

Kedua-dua varian turut menerima kemasan piano black pada perumah lampu hadapan, lampu belakang, gril radiator, ketutup sisi, hendal pintu dan emblem pada but belakang.  

Pemilik boleh menggunakan ciri Comfort Access dengan Easy Opener serta operasi pintu but automatik. Dengan bangku piknik, anda boleh berehat sebentar selepas mengharung perjalanan yang panjang.

Menjengah ke ruang kabin, jentera itu menampilkan kokpit MINI Yours Illuminated yang mengabungkan kemasan berwarna hitam, perak dan kelabu. Stereng dibalut dengan kulit MINI Yours Walknappa, pertama kali dipasang pada MINI Cooper S Countryman.

Buat pertama kalinya, kedua-dua model ini dilengkapi kluster instrumen digital bersaiz lima inci. Ia memaparkan maklumat pemanduan seperti kelajuan, takat bahan api, perbatuan, suhu dan arahan navigasi.  

Paparan skrin sentuh bersaiz  8.8 inci pula diperbaharui dengan fungsi navigasi. Di samping panel kawalan audio, butang lampu bahaya dan sistem bantuan pemandu yang diintegrasikan dengan komponen unit kawalan berbentuk bulat.

Hiburan ditawarkan dalam bentuk sistem bunyi hifi Harman Kardon dengan 12 unit pembesar suara.

MINI Cooper S Countryman dikuasakan oleh enjin TwinPower Turbo bersesaran 2.0 liter. Digabungkan dengan transmisi automatik klc berkembar, ia mampu menjana 192hp dan tork 280Nm, pecutan 0-100km/j hanya mengambil masa 7.5 saat serta  kelajuan maksimum 226km/j.

MINI Cooper SE Countryman pula menggunakan khidmat enjin TwinPower Turbo MINI 1.5 liter dan sebuah motor elektrik.

Rangkaian kuasa itu berupaya menghasilkan  224hp dan tork 385 Nm. Jentera plug-in hybrid ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat.  Kelajuan tertingginya ialah 194 km/j.

Jentera itu didatangkan dengan teknologi eDrive terkini yang merangkumi bateri lithium bervoltan tinggi berkuasa 10 kWj. Ini membolehkannya bergerak menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya sejauh 48km.

Berminat? MINI Cooper S Countryman boleh anda miliki pada harga RM244,265 seunit. Sementara MINI Cooper SE Countryman pula pula berharga RM254,461.

GALERI

Google ads
Back to top button