Buletin

WANG TUNAI RM353,799 DITEMUI BAWAH SEAT HONDA AIR BLADE, DUA LELAKI DITAHAN

Pasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) pada 7 malam semalam telah menahan dua orang lelaki selepas menemui wang tunai berjumlah RM343,700 di bawah tempat duduk skuter Honda Air Blade di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan.  

Pegawai Pemerintah PGA8 Superintendan Muhammad Shamsuddin memberitahu, anggotanya mengesan suspek selepas tinjauan di hadapan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Sebuah treler berwarna biru keluar dari pintu utama ICQS dalam keadaan mencurigakan. Pemandu treler berusia 62 tahun itu kemudian berhenti di kawasan stesen minyak terbabit. Kurang 15 minit selepas itu, seorang lelaki yang menunggang skuter berhenti berhampiran treler berkenaan.

“Penunggang berusia 43 tahun dilihat berbual dengan pemandu treler sebelum dia didapati memasukkan plastik hitam di bawah tempat duduk skuter dipercayai miliknya.

“Anggota kemudian membuat serbuan dan menangkap kedua-dua lelaki itu. Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan mendapati terdapat sejumlah wang di dalam beg plastik itu yang dipercayai duit haram,” katanya.

Menurut Muhammad, suspek dan wang dirampas diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyem 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“PGA8 menzahirkan penghargaan kepada agensi penguatkuasaan yang terbabit dalam membantu operasi Benteng Covid-19 selain masyarakat yang menyalurkan maklumat.

“Kami akan terus memperketatkan kawalan di sempadan khususnya pangkalan haram sepanjang Sungai Golok,” katanya lagi. – Harian Metro

Google ads
Back to top button