Buletin

MITSUBISHI TRITON 2023 UNTUK AXCR, KOMPONEN KARBON, ENJIN 4N16 MIVEC BAHARU

Serentak dengan pelancaran Triton baharu di Thailand, Mitsubishi juga memperkenalkan Triton yang digunakan Pasukan Mitsubishi RALLIART bagi bersaing di dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2023.

Artikel mengenai pikap lumba itu pernah kami siarkan sebelum ini. Pelancaran Triton juga mendedahkan imej sebenar dan spesifikasi penuh Triton AXCR.

Pasukan Mitsubishi RALLIART menghantar tiga buah Triton yang dipandu juara AXCR 2022, Chayapon Yotha dari Thailand dan Rifat Sungkar dari Indonesia yang menduduki tempat kelima edisi 2022.

Sebuah lagi Triton dipandu pelumba handalan Jepun yang menjuarai Kehohanan Rali Asia-Pasifik (APRC) 1999 dan 2010, Katsuhiko Taguchi. Beliau juga pernah bersama pasukan Proton PERT.

Menurut Pengarah Pasukan Mitsubishi RALLIART, Hiroshi Masuoka, Triton itu telah diuji lebih 2,000 kilometer (km) di Jepun dan Thailand tanpa sebarang masalah besar.

Prestasinya juga lebih baik berbanding Triton AXCR 2022 di setiap laluan sama ada permukaan rata dengan kelajuan tinggi atau laluan berlecak dan perlahan.

Triton AXCR diubah suai dari varian double cab spesifikasi Thailand dan mengikut peraturan Federation Internationale de l’Automobile (FIA) Group T1 (kenderaan rentas negara yang diubah suai).

Ubah suai yang dibuat melibatkan pemasangan rangka keselamatan, pelindung bampar dan komponen badan seperti tukup enjin, panel pintu depan dan belakang dan bed kargo dari gentian karbon.

Sejumlah berat berjaya diturunkan yang disumbang oleh perkakasan dalaman dan berat Triton ini sama seperti Triton AXCR 2022 meskipun saiz badan model baharu lebih besar.

Dari segi pengendalian, Triton ini dipasang penyerap hentak boleh laras dari CUSCO dan pembeza gelinciran terhad (LSD) juga dari CUSCO.

Turut dilengkapi penahan hentakan bagi menyerap hentakan keras dari permukaan jalan.

Set roda asal diganti rim aluminium ringan dari WORK dan tayar nipis off-road Yokohama GEOLANDAR M/T G003 dan membantu meningkatkan pengendalian di laluan kasar seperti berlumpur.

Enjin 2.4 liter 4N16MIVEC diesel turbo yang sama seperti Triton 2023 telah ditala bagi mengurangkan kehilangan geseran dan berat. 

Pengecas turbo asal diganti baharu bagi meningkatkan kuasa merentasi julat kuasa enjin. Snorkel dipasang bagi mengharungi laluan berair.

Spesifikasi Mitsubishi Triton AXCR 2023:

  • Enjin: 2,442 cc 4N16 MIVEC diesel turbo
  • Pengecas turbo: Mitsubishi Heavy Industries
  • Kuasa: 201 hp, 470Nm
  • Transmisi: 6 kelajuan manual
  • Pacuan: Super Select 4WD-II
  • Ukuran: 5,320 mm (panjang) x 1,865 mm (lebar)
  • Jarak roda: 3,130 mm
  • Trek: 1,570 mm (depan), 1,565 mm (belakang)
  • LSD depan dan belakang CUSCO
  • Penyerap hentak: CUSCO boleh laras depan dan peredam berkembar belakang
  • Penahan hentakan (bumb stopper) hidraulik
  • Brek: Angkup 4 omboh, cakera dan pad ENDLESS. Bendalir FORTEC
  • Rim: Aloi aluminium WORK saiz 17 inci x 7J
  • Tayar: Yokohama GEOLANDAR M/T G003 (235/80R17)
  • Badan: Tukup, panel pintu depan dan belakang, bed kargo gentian karbon

BACA: MITSUBISHI OUTLANDER PASARAN CHINA, ENJIN KECIL 1.5 TURBO MILD HYBRID!

BACA: MITSUBISHI TRITON GENERASI KEENAM DIPERKENALKAN – KONSEP BEAST MODE, 4 VARIAN, 201HP

BACA: MITSUBISHI EK SPACE 2023 DIPERKENAL DI JEPUN, DARIPADA RM51.6 RIBU

Google ads
Back to top button