PRESIDEN BAHARU GAZOO RACING IMPI HIDUPKAN SEMULA TOYOTA STARLET
Presiden baharu Gazoo Racing, Tomoya Takahashi, mendedahkan dalam satu wawancara bersama BestCar, mengimpikan untuk menghidupkan semula Toyota Starlet.
Menerusi wawancara itu, beliau juga berkongsi bahawa Akio Toyoda sempat berpesan kepadanya, “tolong buat kereta yang akan membuatkan saya tersenyum.”
Takahashi dilahirkan di Sapporo, Hokkaido, di utara Jepun dan beliau sangat meminati kereta, tetapi memiliki Starlet ketika waktu remaja menentukan hala tuju kerjayanya.
Cerita Takahashi, beliau suka memandu Toyota Starlet dalam keadaan bersalji termasuk melakukan pandu uji ke litar lebih kecil di wilayah asalnya. Tetapi apabila EK9 Civic Type R keluar, beliau terkejut melihat betapa bagusnya hot hatch berkenaan.
Jelasnya lagi, menghidupkan semula Toyota Starlet hanyalah keinginan peribadinya, sama seperti bekas presiden Gazoo Racing, Koji Sato, berkeinginan memberi semula nyawa kepada AE86.
Ketertarikannya dengan Starlet adalah gambaran kepada falsafah semasa mengambil alih tampuk kepimpinan di GR. Untuk rekod, Takahashi memiliki tiga Starlet turbo, Starlet chuuki EP82, Starlet EP82 kouki serta EP91.
Seperti dijelaskan Takahashi dalam temu bual, beliau sangat percaya bahawa membuat kereta yang ringan merupakan aspek penting bagi memastikan ia boleh mengambil selekoh dengan laju.
“Jika anda mahukan kereta yang laju digaris lurus, anda boleh letak enjin bersaiz besar tetapi ia akan menjadi beban sekali gus tidak memberikan pemanduan menyeronokkan,” kata Takahashi.
“Kereta ringan adalah yang terbaik, jadi kami sangat mementingkan pembuatan kereta ringan.”
“Walaupun dalam keadaan semasa sukar menjadikan kereta lebih ringan disebabkan oleh keselamatan namun bagi pembuat kereta, membuat kereta ringan adalah cara terbaik untuk menunjukkan keupayaan kami,” Tambah Takahashi.
Dalam pada masa yang sama, Takahashi tidak mahu menghadkan elemen keringanan pada kereta sport sahaja, sebaliknya mahu memastikan kereta GR mempunyai pengendalian lebih baik bukan sahaja pada kelajuan tertinggi tetapi juga pada kelajuan rendah.
Sejak diperkenalkan pada 1973, model berkenaan hadir sebagai varian lebih tinggi bagi model Toyota Publica yang dihasilkan dalam versi sedan dan coupe sebelum digelar menjadi Toyota Starlet.
Toyota Scarlet dihasilkan dalam versi hatchback dan pacuan roda belakang pada 1978 dikuasakan oleh enjin 4K 1.3 liter dan 5K 1.5 liter. Sementara, Starlet generasi seterusnya diubah menjadi hatchback pacuan hadapan.
Setelah itu, Toyota memilih untuk memperkenalkan model Starlet Turbo, dipacu oleh enjin 1,295cc 12-injap dengan pengecas turbo, berupaya menghamburkan 104hp dan 150Nm tork.
Toyota terus memproduksi model Starlet GT Turbo EP82 untuk generasi kelima pada 1990, di mana ia dijana oleh nadi 1,331cc 16-injap 4E-FTE, menghasilkan 133hp, 157Nm tork.
Selain itu, model generasi kelima Starlet Glanza V juga dipadankan dengan enjin 4E-FTE tetapi memberikan kuasa lebih padu, menghasilkan 138hp.
- BACA: PRINSIPAL TOYOTA GAZOO RACING TERBUKA SEKIRANYA SEBASTIAN OGIER MAHU TERUS BERLUMBA LAGI
- BACA: TIM HYUNDAI MOTORSPORT & TOYOTA GAZOO RACING TAYANG JENTERA RALLY1 BAHARU MEREKA
- BACA: TOYOTA GAZOO RACING FESTIVAL KEMBALI ‘BUKA PINTU’ KEPADA KHALAYAK UMUM PADA 25-26 JUN INI
- BACA: SEGALANYA TENTANG TOYOTA GAZOO RACING