
myTUKAR TERIMA PERSIJILAN ISO 9001:2015
Platform dagangan kenderaan terpakai atas talian yang pesat berkembang myTukar Sdn. Bhd. (myTukar) baru-baru ini mengumumkan bahawa ia menjadi syarikat pasaran kenderaan terpakai pertama di Malaysia yang dianugerahkan persijilan ISO 9001:2015 untuk Sistem Pengurusan Kualiti.
Persijilan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan myTukar dalam memastikan dagangan kenderaan berteknologi inovatif ini berada di tahap terbaik dari segi kualiti, keyakinan dan ketelusan di semua peringkat agar seiring dengan pengembangannya yang pesat.
“Pembukaan lebih banyak cawangan di seluruh negara selari dengan fokus kami terhadap kualiti demi mencapai kepuasan pelanggan.
“Persijilan ISO 9001:2015 memang tepat pada waktunya dalam memastikan myTukar mampu berpegang kepada komitmen sebagai platform jualan kenderaan atas talian yang diyakini, telus, efektif dan efisien,” kata Ketua Pengarah Eksekutif myTukar, Fong Hon Sum.

ISO 9001:2015 ialah piawaian Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) yang dibangun dan dikeluarkan oleh Organisasi Piawaian Antarabangsa. Piawaian ini berdasarkan kepada beberapa prinsip pengurusan kualiti.
Ini termasuklah kaedah process-based yang telah digariskan, fokus kepada pelanggan dan penglibatan pihak pengurusan atasan syarikat.
Organisasi di seluruh dunia menggunakan piawaian ini untuk memperlihat kemampuan dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang memenuhi permintaan pelanggan dan keperluan agensi regulator secara konsisten.
Sijil ISO 9001:2015 myTukar dikeluarkan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. Skop persijilan myTukar meliputi bidang pemeriksaan kenderaan terpakai melalui platform lelongan atas talian, penilaian, transaksi dan perdagangan kenderaan terpakai di ibu pejabat myTukar dan cawangannya di Glenmarie.

Proses persijilan ISO myTukar bermula pada Februari 2020 dan secara rasminya diberi kelulusan pada November 2020. Audit tahunan diperlukan untuk mengekalkan persijilan tersebut.
Sebagai badan yang telah medapat persijilan ISO 9001:2015, myTukar telah membuktikan prosedur dan amalan kawalan kualiti di peringkat global dalam aspek berikut :
- Membina kepatuhan tanggungjawab dan autoriti dengan jelas
- Memastikan kualiti dagangan kenderaan sebelum diserahkan kepada pelanggan
- Mengenal pasti ketidakpatuhan kualiti
- Bagi tindakan pembetulan, memastikan tindakan yang diambil dilaksanakan sebaiknya dan didokumenkan
- Mengekalkan prosedur untuk memastikan permintaan kualiti dipenuhi di semua peringkat organisasi, termasuk oleh pembekal
- Peningkatan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 myTukar secara berterusan
Sehingga kini, myTukar memiliki sehingga 2,000 rangkaian pengedar dengan jumlah transaksi melebihi 23,000 unit kenderaan dengan nilai anggaran RM750 juta. Pencapaian pensijilan ini menjadi kenyataan hasil dedikasi dan komitmen kakitangan operasi dan pembekal myTukar.