
RUNDINGAN PENGGABUNGAN/PAKATAN VOLVO GEELY DISAMBUNG PADA Q1 2021
Ketua Pegawai Eksekutif Volvo, Hakan Samuelsson baru-baru ini mendedahkan bahawa rundingan untuk penggabungan atau pakatan di antara Volvo dan Geely akan disambung pada suku pertama tahun depan.
Antara sebab rundingan penggabungan itu ditangguhkan adalah kerana Geely mahu mendapatkan senaraian di Shanghai New Star Market yang tidak membenarkannua untuk membuat sebarang perubahan struktur modal.
Sejarah kerjasama kedua-dua pengeluar kenderaan itu bermula apabila Zhejiang Geely Holding Group membeli Volvo daripada Ford pda tahun 2010.
“Suku pertama tahun hadapan lebih realistik. Kami melihat kepada satu bentuk gabungan dan boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara. Misalnya, perkongsian platform dan sebagainya,” kata Samuelsson.
Sebarang bentuk penggabungan juga perlu mempunyai strategi bagi mengekalkan identiti kedua-dua jenama itu.
Volvo secara spesifiknya mahu terus melabur dalam kenderaan rendah emisi. Ia merancang untuk menjadi jenama kenderaan elektrik sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.
“Volvo dan Geely bangga dengan jenama masing-masing. Geely tidak mahu menjadi sebahagian daripada jenama Eropah.
“Geely mampu memberi akses kepada banyak pembekal yang bagus di China untuk Volvo. Tunggu sahaja yang terbaik daripada kami,” katanya lagi.