Motosikal

NAK MODENAS KRISS MR3? SOLAT SUBUH DAN ISYAK BERJEMAAH SELAMA 40 HARI DI MASJID INI

Masjid Nur As-Sa’adah, Kampung Pengkalan Batu di Melaka sekali lagi mencuri tumpuan apabila menawarkan hadiah motosikal pula dalam usaha mengimarahkan masjid.

Sebelum ini, menerusi Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari, masjid terbabit menghadiahkan 40 basikal berharga RM20,000 kepada anak kariah.

Pengerusi masjid, Datuk Amzah Osman berkata, sebanyak empat Modenas Kriss MR3 berharga RM16,000 akan menjadi milik jemaah yang layak.

Katanya, syaratnya jemaah terpilih perlu memenangi empat kategori dipertandingkan pada Program Istiqamah Subuh dan Isyak Berjemaah 40 Hari bermula 1 Mac hingga 9 April depan.

“Kategori pertama bagi program mengimarah masjid ini khusus anak kariah, kedua kategori terbuka kepada penduduk luar manakala kategori tiga dan empat adalah untuk pegawai syarak, jawatankuasa dan pekerja masjid serta kaum wanita.

“Biarpun belum dimulakan setakat ini kita sudah mendapat lebih 30 penyertaan bagi keempat-empat kategori yang terbuka kepada semua umat Islam berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen motosikal,” katanya dihubungi di sini hari ini.

Menerusi program itu peserta diwajibkan berjemaah Subuh dan Isyak di masjid selama 40 hari berturut-turut.

“Selain itu mereka juga boleh mendapatkan mata tambahan jika berjemaah untuk semua waktu atau program lain anjuran masjid yang akan meningkatkan peluang kemenangan mereka,” katanya.

Amzah berkata, beliau teruja apabila semakin hari ramai ahli kariah hadir mengimarahkan masjid untuk solat fardu.

“Niat saya bersama-sama ahli jawatankuasa masjid hanyalah untuk penuhkan masjid. Alhamdulillah semakin hari semakin ramai orang kampung yang berjemaah di masjid.

“Mereka datang bukan sebab motosikal kerana bukan semua akan dapat dan program juga baru diuar-uarkan,” katanya.

Sementara itu katanya, empat motosikal setiap satu berharga RM4,000 itu disumbangkan individu dermawan dan tidak menggunakan sebarang dana tabung masjid.

“Harapan kami mudah-mudahan institusi masjid ini akan jadi mesra kanak-kanak dan remaja kerana mereka inilah bakal pelapis dalam mengimarahkan rumah Allah ini pada masa depan,” katanya. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button