
NETA GULUNG TIKAR? SYARIKAT INDUK EV CHINA ISYTIHAR MUFLIS!
Zhejiang Hozon New Energy Automobile, syarikat induk kepada jenama kenderaan elektrik (EV) Neta, kini berdepan prosiding kebankrapan rasmi, menurut laporan media China.
Prosiding tersebut dilaporkan bermula pada 19 Jun, mencerminkan krisis kewangan serius yang sedang membelenggu syarikat berkenaan.
Beberapa bilik pameran Neta di Shanghai turut dikatakan telah menutup operasi, memburukkan lagi keadaan.
Rekod di platform pendedahan kebankrapan nasional China menunjukkan bahawa tindakan ini dimulakan oleh pemiutang sejak bulan lalu. Syarikat pengiklanan Shanghai Yuxing telah memfailkan petisyen terhadap Hozon pada 13 Jun berhubung tunggakan bayaran berkaitan perkhidmatan pameran.

Mahkamah telah menerima kes ini dan melantik pentadbir untuk mengendalikan proses penyusunan semula syarikat.
Portal pelaburan China, Bamboo Works, melaporkan bahawa Hozon kini berada dalam fasa penstrukturan korporat secara formal sebagai usaha menyelamatkan operasi perniagaan.
Kenyataan rasmi dari laman Facebook Neta Thailand pada 12 Jun pula mendakwa langkah ini adalah sebahagian daripada pelan pemulihan di bawah pemantauan mahkamah yang disokong kerajaan.
Bagaimanapun, maklumat bercanggah muncul dari Thailand apabila seorang pembekal tempatan mendakwa seluruh pasukan operasi Neta telah diberhentikan hujung Mei, manakala pengedar dan pembekal mengalami kerugian besar.
Di peringkat dalaman, masalah kewangan Neta bukan perkara baharu. Laporan menyebut gaji pekerja telah tertunggak sejak separuh kedua tahun lalu, sekali gus menjejaskan pengeluaran dan mengakibatkan pemberhentian besar-besaran.
Zhang Yong telah meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada Disember lalu dan digantikan oleh Pengerusi Fang Yunzhou, yang berjanji untuk melaksanakan pembaharuan dan meningkatkan margin keuntungan. Namun, prestasi operasi syarikat masih belum menunjukkan tanda pemulihan.
Malah, pada awal bulan ini, sekumpulan pekerja dilaporkan telah bertindak menuntut pembayaran gaji mereka secara terus kepada CEO.
Beban hutang Hozon kini dianggarkan mencecah hampir 10 bilion yuan (sekitar RM910 juta), dan usaha untuk menyusun semula pinjaman serta menarik pelabur baharu dilihat belum membuahkan hasil yang meyakinkan.