Buletin

NMSB BINA KILANG PEMBUATAN DAN PEMASANGAN KHUSUS KENDERAAN TENAGA BAHARU (NEV) – BEROPERASI TAHUN DEPAN

NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB), syarikat usaha sama di antara Kumpulan Careplus Berhad dan Kumpulan Go Auto, akan memulakan pembinaan kilang pertama di dalam negara yang dikhususkan kepada pembuatan dan pemasangan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

Menurutnya, ia adalah termasuk pembuatan serta pemasangan kenderaan elektrik dan bakal memulakan operasi pada awal suku pertama tahun 2025.

Tambahnya lagi, ia akan menjana peluang pekerjaan dan pelaburan baharu di Negeri Sembilan serta kawasan-kawasan berhampiran.

Kilang ini mempunyai kapasiti permulaan sebanyak 30,000 unit setahun, di mana satu pertiga adalah model-model NETA melalui usaha sama di antara Careplus dan Intro Synergy Sdn Bhd, anak syarikat GoAuto.

Kilang ini tidak hanya memasang kenderaan berjenama NETA, malahan terbuka kepada jenama NEV yang ingin melakukan pemasangan CKD (Completely Knocked Down) bagi kenderaan EV jenis penumpang, perdagangan ataupun motosikal.

Fasa pertama projek ini merangkumi pembangunan kilang pemasangan, yang dijangka bermula pada suku pertama tahun 2024.

Sementara itu, fasa kedua dan ketiga bakal bermula pada tahun 2026 dan 2028, bagi meluaskan kapasiti pengeluaran kepada 50,000 unit setahun.

Untuk rekod, jumlah pelaburan bagi pembangunan kilang ini adalah sekitar RM600,000,000.

Selain itu, fasa ini mewujudkan lebih 600 pekerjaan mahir dan separa mahir dengan pengkhususan pembuatan EV, terutamanya dalam penggunaan teknologi pembuatan pintar, termasuk automasi, integrasi sistem (system integration), robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, IoT industri dan teknologi-teknologi lain seiring Revolusi Industri Ke-empat.

Memandangkan operasi akan bermula pada awal 2025, proses pengambilan dan latihan tenaga kerja bagi kilang ini akan bermula seawal bulan Ogos 2024.

Selari pembuatan kenderaan hijau, kilang ini menggunakan penyelesaian mesra alam, seperti teknologi pelepasan air sisa sifar, pencemaran bunyi sifar, dan sisa pepejal diproses melalui pusat kitar semula yang terletak di dalam kawasan kilang.

Sebahagian besar tenaga digunakan di kilang ini dikuasakan oleh panel solar yang dipasang di bumbung kilang.

Selain Intro Synergy Sdn Bhd, pengedar tunggal jenama NETA, jenama-jenama HIGER dan YUTONG (diedarkan oleh GVT Sdn. Bhd., usaha sama di antara W&R Resources Sdn Bhd dan Kumpulan Careplus Berhad) akan bekerjasama dengan NMSB bagi memasang kesemua model yang dipasang secara tempatan di bawah jenama-jenama ini.

Perkembangan berkaitan, Intro Synergy dan Hozon New Energy Automobile Co. Ltd turut membuat pertukaran perjanjian CKD, sebagai kolaborasi bagi operasi CKD di Malaysia.

Dalam pada itu, NMSB pula menukar Persefahaman bersama Qingdao Huayue Guotai New Energy Car Co. Ltd. bagi meneroka peluang baharu bagi Kenderaan Tenaga Baharu di Malaysia dan ASEAN.

NMSB telah memperoleh Lesen Pengilangan sementara dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Oktober 2023.

NMSB baru-baru ini juga menerima Kebenaran Merancang bagi memulakan pembinaan kilang pembuatan ini dari Majlis Daerah Rembau.

Google ads
Back to top button