Artikel Pilihan

NIKI LAUDA (THE COMPUTER BRAIN) – JUARA 3 KALI FORMULA 1

Niki Lauda merupakan satu nama yang masih menjadi sebutan walaupun sudah lama bersara dari dunia perlumbaan Formula 1. Dia bersara buat kali pertama pada tahun 1978 dan membina 3 syarikat penerbangan tambang murah sendiri iaitu Lauda, Niki dan Lauda Air. Namun Lauda terjun semula ke dunia perlumbaan F1 pada tahun 1982 dan menjadi juara dunia buat kali ke tiga pada tahun 1984. Lauda merupakan satu-satunya pemandu F1 yang pernah menjadi juara untuk 2 pasukan yang bersaing hebat di litar iaitu McLaren dan juga Ferrari. Lauda pernah mencatatkan masa di bawah 7 minit untuk satu pusingan lengkap di Litar Nurburgring sebanyak 2 kali dengan menggunakan jentera Ferrari.

Latar Belakang

Andreas Nikolous Lauda merupakan nama sebenar Lauda. Pelumba kelahiran Austria ini berasal dari keluarga yang menjalankan perniagaan berasaskan perindustrian. Datuk Lauda iaitu Hans Lauda merupakan seorang ahli perniagaan dan politik yang amat berpengaruh di Vienna. Namun ahli keluarganya menentang keras usahanya untuk menjadi pelumba sepenuh masa. Lauda memulakan karier perlumbaan dengan kereta Mini Cooper dan seterusnya ke Formula Vee yang popular di benua Eropah ketika itu.

Melihat masa depannya yang kabur dan tersekat, Lauda mengambil langkah drastik dengan mengambil pinjaman berjumlah 30,000 pound dan membeli saham pasukan perlumbaan March. Pembelian tersebut menyaksikan beliau berpeluang untuk menjadi pemandu Formula 2 bagi pasukan March. Namun ternyata keputusan tersebut adalah salah kerana kegagalan pasukan tersebut untuk menyediakan jentera perlumbaan yang cukup lasak.

Sekali lagi Lauda terpaksa membuat pinjaman bank dan pada kali ini dia membeli saham pasukan BRM (British Racing Motors) pada tahun 1973. Namun peluang untuk Lauda sebenarnya datang apabila rakan sepasukan BRM iaitu Clay Regazzoni meninggalkan BRM dan menyertai Ferrari. Atas saranan Clay, Enzo Ferrari menawarkan kontrak sebagai pemandu F1 pada tahun 1974 dengan bayaran yang cukup untuk Lauda melunaskan segala pinjaman.

Persaingan dengan James Hunt (Hunt The Shunt)

Lauda berjaya membuktikan dia adalah seorang pemandu yang boleh diharap apabila berjaya mendapat tempat kedua pada perlumbaan pembukaan musim 1974 di Grand Prix Argentina dan seterusnya menjadi juara untuk Grand Prix Sepanyol dan juga Grand Prix Belanda. Namun jentera 312B3 yang dipandu oleh Lauda sering ditimpa masalah mekanikal ternyata membataskan penguasaan beliau. Pada tahun 1974 Lauda hanya menduduki tempat ke empat dari segi kedudukan pemandu walaupun berjaya menduduki 6 kali tempat pertama semasa sesi ujian masa.

4 perlumbaan pertama bagi musim 1975 bukanlah permulaan yang bagus untuk Lauda dan kemenangan terbaik hanyalah tempat ke lima sahaja. Kebangkitan pasukan Ferari hanya bermula dengan Grand Prix Itali apabila rakan sepasukannya Clay mendapat tempat pertama dan Lauda mendapat tempat ke tiga. Lauda membuktikan kehebatan pemanduannya apabila menyapu bersih 5 kemenangan perlumbaan Grand Prix yang seterusnya dan akhirnya dinobatkan sebagai Juara Pelumba Formula 1 pada tahun 1975. Musuh tradisinya iaitu James Hunt dari pasukan Hesketh Racing hanya mendapat tempat ke empat.

Pada tahun 1976 berikutan pasukan Hesketh Racing menfailkan kebangkrapan, James Hunt telah dipelawa untuk menyertai McLaren bersama sama dengan Emmerson Fittipaldi iaitu juara dunia pada tahun 1972 dan 1974. Namun nasib menyebelahi Lauda untuk musim 1976 kerana dia memenangi 4 daripada 6 perlumbaan Grand Prix yang telah berlangsung. Manakala 2 perlumbaan lagi Lauda mendapat tempat kedua dan ia merupakan permulaan yang bagus bagi Lauda untuk merebut kejuaraan untuk kali ke dua.

Mazda CX30

Pada ketika ini, Lauda telah mengumpul mata dua kali ganda lebih banyak daripada Hunt dan juga Jody Scheckter yang juga merupakan rakan sepasukannya. Lauda begitu yakin dia dapat mempertahan kejuaraan untuk kali kedua pada tahun 1976.

Pada Grand Prix Sepanyol James Hunt berjaya memenangi perlumbaan tersebut sekaligus membuktikan dia masih berbisa untuk memberi cabaran kepada Lauda. Tapi sebagai pasukan yang berpengalaman, Ferrari membantah kemenangan tersebut dengan memberi alasan jentera McLaren terlalu lebar berbanding dengan spesifikasi FIA dan memberikan Hunt kelebihan aerodinamik. Perkara ini amat menjengkelkan Hunt kerana ia menafikan mata terkumpul bagi memburu kejuaraan dunia.

Grand Prix Jerman

Walaupun memegang rekod kelajuan di bawah masa 7 minit di Litar Nurburgring, Lauda telah meminta pelumba yang lain untuk memboikot perlumbaan kali ini disebabkan faktor keselamatan. Litar sepanjang 23km ini memang memerlukan fokus yang lebih dan Lauda mendesak agar isu keselamatan diberi perhatian oleh penganjur perlumbaan. Kekurangan Marshall Kebakaran, alat kawalan kebakaran, alat keselamatan, dan juga isu “Safety Car” menyebabkan Lauda mendesak satu referendum diadakan untuk membatalkan perlumbaan. Namun majoriti pelumba memilih untuk meneruskan perlumbaan di dalam cuaca basah dan litar yang basah.

“Setiap kali saya memulakan perlumbaan, terdapat 20% kemungkinan yang saya akan mati. Saya boleh terima risiko 20% tersebut tetapi ianya tidak boleh lebih dari nilai itu. Dengan keadaan hujan dan litar yang basah, risiko ini akan melebihi 20%” hujah Lauda. Hunt dan beberapa pelumba yang lain membantah referendum tersebut dengan alasan ia merupakan helah Lauda bagi menafikan peluang untuk pemandu lain mengumpul mata.

Pada hari perlumbaan 1 Ogos 1976, malang menimpa Lauda ketika di pusingan kedua perlumbaan. Kejadian ini berlaku berhampiran selekoh laju Bergwerk di mana jentera Ferrari milik Lauda mengalami masalah mekanikal, mengalami “understeer”, dan merempuh penghadang keselamatan pada bahagian kiri ketika keretanya berpusing. Sebaik sahaja rempuhan berlaku letupan telah berlaku dan memulakan kebakaran sebelum Lauda dirempuh oleh 2 lagi kereta yang tidak sempat mengelak. Lauda terperangkap di dalam kebakaran tanpa perlindungan topi keledar.

Sebelum pemandu Arturo Merzario berjaya menariknya keluar daripada jentera, Lauda mengalami kecederaan akibat terbakar pada bahagian muka, telinga kanan, kepala, kening dan juga kelopak mata kanan. Lauda juga tersedut asap beracun daripada kebakaran sehingga merosakkan paru-parunya. Dia dikejarkan ke hospital dengan menggunakan helikopter dan mengambil masa 6 minggu untuk menerima rawatan pemulihan secara ekstensif. Malah ada sesi rawatan yang melibatkan proses menyedut paru-paru Lauda dengan menggunakan penyedut vakum untuk membuang tisu yang rosak akibat gas beracun.

Kembali Berlumba

Lauda memutuskan untuk meminimakan pembedahan plastik rekonstruktif bagi membetulkan mukanya yang rosak akibat terbakar. Sebaliknya Lauda memutuskan untuk memakai topi dan menggunakan topi tersebut untuk meletakkan logo syarikat yang menjadi penajanya. Berang dengan keputusan pengurusan Ferrari yang menggantikannya dengan Carloss Reuteman, Lauda membuat kemunculan di sidang media Grand Prix Monza dan memulakan latihan pemanduan dengan segera. Topi keselematan yang dipakai terpaksa diubah agar ia dapat memuatkan kepalanya yang masih berbalut dan berdarah.

Amat mengejutkan semua pihak kerana Lauda masih mampu sampai ke garisan penamat pada kedudukan ke empat. Manakala pasukan McLaren dan Hunt pula didakwa atas kesalahan menggunakan petrol yang tidak sah untuk perlumbaan. Hunt yang memulakan perlumbaan dari tempat terakhir gagal menyudahkan perlumbaan. Manakala Reuteman yang diwar-warkan sebagai pengganti Lauda hanya mendapat tempat ke sembilan.

Sebelum perlumbaan terakhir di Grand Prix Jepun, hanya 3 markah perbezaan antara Hunt dengan Lauda setelah Lauda ketinggalan 2 perlumbaan sewaktu mendapat rawatan. Sewaktu sesi ujian masa Lauda berjaya mendapat kedudukan ke 3 manakala Hunt pada kedudukan kedua untuk memulakan perlumbaan. Namun pada hari perlumbaan hujan yang sangat lebat telah melanda kawasan sekitar litar dan Lauda mengalami kesukaran untuk melihat lebih lebih lagi selepas kelopak matanya tidak boleh berkelip. Lauda mengambil keputusan untuk menghentikan perlumbaan selepas mengambil kira risiko yang dihadapinya terlalu besar walaupun dia mengekori rapat Hunt.

Hunt pula walaupun berjaya mendahului pada kedudukan pertama pada pusingan pertama namun ia bukanlah kemenangan mudah buatnya. Walaupun mengalami 2 kerosakan tayar Hunt memaksa jenteranya memasuki pit untuk penukaran tayar dan tombol gearnya pula tercabut. Proses penukaran tayar memaksa Hunt untuk berlumba semula pada kedudukan ke enam dengan berbaki 4 pusingan untuk dihabiskan. Namun selepas berjaya memotong 1 pemandu dan 2 pemandu terbabas, Hunt berjaya mendapat tempat ke tiga, cukup mata untuknya muncul Juara pada tahun 1976 dengan 69 mata manakala Lauda 68 mata.

Musim 1977

Ia merupakan musim yang bagus buat Lauda apabila dia berjaya merebut semula gelaran juara dunia daripada Hunt. Lauda memungut 72 mata dari perlumbaan walaupun hanya memenangi 3 perlumbaan dari 17 perlumbaan Grand Prix. Keputusan Niki untuk menarik diri dari Grand Prix Jepun menyebabkan hubungan dengan pasukan Ferrari bertambah renggang dan Niki mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui kontraknya dengan Ferrari. Tambahan pula Lauda tidak berapa menyukai rakan sepasukannya yang baru iaitu Reuteman.

Persaraan Pertama 1978

Penghijrahan Lauda ke pasukan Brabham walaupun dibayar dengan gaji yang mahal merupakan satu kesilapan strategik. Brabham BT46B merupakan satu rekabentuk yang penuh kontreversi apabila rekaan kipasnya untuk mendapat kesan aerodinamik ditentang hebat oleh pasukan lain manakala enjin Alfa 12 silinder yang digunakan oleh jentera tersebut terlalu lebar sehingga menjejaskan aerodinamik kereta. Kecewa dengan prestasi kereta yang gagal memberikan prestasi yang baik, Lauda membuat keputusan untuk bersara buat kali pertama dan menubuhkan syarikat penerbangan sewa khas Lauda Air dan kembali ke Austria.

Kembali Berlumba 1982-1984

Lauda kembali ke arena perlumbaan dengan pasukan McLaren pada tahun 1982 dengan gaji 3 kali ganda lebih mahal daripada musim 1978. Namun ia bukanlah musim yang mudah bagi Lauda kerana hanya mampu 30 mata pada musim 1982. Musim seterusnya hanya menyaksikan Lauda hanya mengutip 12 mata dengan McLaren masih bergelut dengan masalah enjin baru V6 turbo yang dibekalkan oleh Porsche.

Musim 1984 barulah menyaksikan Lauda dan McLaren mendapat rentak perlumbaan dengan memenangi 12 daripada 16 perlumbaan Grand Prix. Lauda dinobatkan juara dunia buat kali ke tiga pada tahun 1984 dengan perbezaan masa setengah markah berbanding rakan sepasukan Alain Prost. Lauda mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 1985 setelah mengalami kegagalan teknikal yang berpanjangan.

Kembali ke Formula 1

Selepas kembali ke Austria, Lauda telah dilantik sebagai konsultan untuk pasukan Ferrari oleh Montezemolo sebagai salah satu usaha mengembalikan kegemilangan pasukan tersebut. Selepas menjual syarikat Lauda Air kepada Austrian Air pada tahun 1999, dia dilantik sebagai pengurus pasukan Jaguar Formula 1 bermula dari tahun 2001-2002. Pada tahun 2003 dia memulakan satu lagi syarikat penerbangan baru iaitu Niki dan akhir sekali pada tahun 2012 dia dilantik sebagai Pengerusi Tidak Eksekutif bagi pasukan Mercedes AMG Petronas F1 Team dan terlibat dalam proses kontrak Lewis Hemilton sebagai pemandu pasukan.

Kematian

Lauda meninggal dunia 20 May 2019 sewaktu tidur menjalani rawatan dialisis di Hospital Universiti Zurich pada umur 70 tahun. Dia meninggalkan 2 orang anak iaitu Lukas dan Mattia Lauda yang merupakan anak dari perkahwinan pertamanya bersama Marlene Knaus. Niki Lauda memberi pengajaran sekiranya anda seorang yang berdisiplin dan konsisten, peluang untuk berjaya terbuka luas samaada dalam dunia perlumbaan, penerbangan, perniagaan dan juga sebagai penasihat teknikal.

Malah penulis berasa kagum apabila mengetahui, pihak penaja sanggup membayar sehingga 1.2 juta Euro untuk meletakkan logo di topi yang sentiasa dipakai oleh Lauda. Tukarkan sahaja pengalaman anda menjadi duit.

Google ads
Back to top button