MODEL-MODEL BMW YANG TIDAK PERNAH DISANGKA WUJUD
Sejarah model-model kereta keluaran BMW ni memang cukup panjang jika nak diceritakan satu persatu. Sejarah BMW itu sendiri sebenarnya sudah cukup lama kerana ia bermula seawal tahun 1920-an dengan model pertama yang dikenali dengan nama Dixi. Ia sebenarnya merupakan sebuah Austin 7 yang dilesenkan kepada BMW. Kereta kedua BMW dinamakan 303 dan merupakan model pertama yang menggunakan gril hadapan berbentuk buah pinggang.
BMW sebenarnya mempunyai tabiat pelik kerana selain menghasilkan model-model prototaip, mereka juga gemar menghasilkan model-model edisi terhad yang pelik-pelik. Mereka juga mempunyai prototaip yang menggunakan enjin V12 yang sememangnya tidak ekonomik untuk dipasarkan. Terdapat juga kereta-kereta mereka yang diubahsuai oleh syarikat-syarikat lain seperti Alpina, AC Schnitzer, Hamann dan G-Power.
Mari kita tengok beberapa kereta BMW edisi terhad yang sangat unik pernah dihasilkan.
BMW M3 Pikap
Idea tentang pikap M3 digunakan oleh BMW bukan hanya sekali. Model pertama BMW E30 M3 1986 dihasilkan bila BMW Motorsports Department melihat kemampuan kereta tersebut dalam menghasilkan alat ganti (mungkin nak cepat sampai kot). Tapi ia memang digunakan di dalam kilang BMW selama hampir 25 tahun sehingalah ia bersara pada tahun 2012.
Pikap kedua pula pada asalnya merupakan projek April Fool untuk peminat-peminat BMW. Malah terdapat juga spy shot di Nurburgring dan siaran akhbar tentang kereta ini. Ia masih digunakan oleh BMW di kilang mereka tetapi tidak sah digunakan di jalan raya.
BMW X5 LM
BMW X5 tahun 2000 bukannya sesuatu yang asing tetapi bila disumbat dengan enjin V12 LMR atas nama keseronokkan dan untuk tujuan promosi ia memang lain dari yang lain. Disebabkan ia bukan untuk perlumbaan, X5 ini tidak terikat dengan mana-mana peraturan perlumbaan.
Hasilnya ialah 700 hp kuasa dari enjin asal yang menghasilkan sekitar 600 hp sebelumnya. Ia turut menyertai ujian masa bersama pelumba lagenda Hans Stuck dan berjaya mencatat masa sepusingan 7 minit 50 saat. Kereta ini masih ada dalam milikan BMW dan sekali sekala ia akan dipamerkan bersama koleksi V12 mereka yang lain.
E21 BMW Baur 3 Series
Sebelum E30 muncul BMW mengeluarkan 3 Series E21. Namun versi convertible tidak pernah dikeluarkan. Sebuah syarikat coachbuilder di Stuttgart, Baur kemudiannya berjaya meyakinkan BMW bergandingan dengan mereka dalam menghasilkan sebuah model convertible yang agak pelik.
Ia mempunyai bumbung yang berbentuk Targa tetapi dengan penutup kulit pada bahagian cermin belakang. Bila diturunkan ia terlipat kemas di bahagian atas but belakang jadi ruang bagasi tidak terjejas langsung. Baur meneruskan modifikasi # Series dari generasi E30 sehinggalah E36. Bila E46 diperkenalkan, tiada lagi edisi Baur dihasilkan.
E34 M5 Winkelhock Edition 1991
Pada tahun 1991, BMW meminta dua orang pelumba membuat rekaan versi E34 M5 yang ideal mengikut fikiran mereka. Salah seorang darinya ialah Joachim Winkelhock, bekas pemandu F1 yang memenangi perlumbaan Nurburgring 24-jam dengan memandu M3 pada tahun 1990 dan 1991.
M5 ini diringankan beratnya dengan penggunaan tangki minyak dan bateri yang lebih kecil selain perhapusan beberapa peralatan lain yang dikira kurang penting. Antara yang dibuang keluar ialah material kalis bunyi, perehat kepala belakang, suis tingkap belakang dan foglight.
Ia kemudian dilengkapkan dengan tempat duduk Recaro, roda stereng M-Technic II, tayar yang lebih lebar dan macam-macam lagi. 51 unit dihasilkan dengan warna Jet Black dan trim bawah berwarna perak.
BMW 700 Sports Coupe
Ini mungkin antara kereta BMW paling penting selepas perang dunia kerana ia telah membawa BMW keluar dari masalah ekonomi sebaik ia dilancarkan. 25,000 tempahan sebaik dilancarkan merupakan angka yang besar dan ia memberikan anjakan yang mencukupi untuk BMW terus wujud sehingga ke hari ini. Ia juga mengukuhkan lagi kedudukan BMW sebagai pengeluar sedan sport sehingga ke hari ini.
BMW M3 CRT
CRT di sini bermaksud Carbon Racing Technology. BMW berjaya menyingkirkan 70 kilogram berat asal M3 E90 ini dengan menggunakan komponen-komponen yang dihasilkan daripada gentian karbon. Mungkin tidak sepadan dengan harga yang harus dibayar tetapi bagi peminat fanatik M3 ia adalah sesuatu yang sangat istimewa.
BMW 750iL V16
Pada penghujung era 80-an, model flagship BMW ini nyaris menerima enjin V16 kalau tidak kerana beberapa masalah teknikal. Enjin ini dihasilkan sewaktu Dr. Karlheinz Lange menjadi ketua pembangunan enjin BMW dan beliau dibantu oleh Adolf Fischer yang mereka enjin V12 5.0-liter sebelumnya. Enjin V16 baru itu mampu menghasilkan 408 hp kuasa dan beroperasi selembut sutera.
Sayangnya ia terlalu besar untuk dimuatkan ke dalam ruang enjin 7-Series. Terlalu banyak pegubahsuaian perlu melakukan menyebabkan mereka terpaksa mengenepikan enjin ini. hanya satu prototaip berjaya dihasilkan sebelum projek ini digantung terus.
E34 M5 Touring Elekta 1995
E34 M5 Touring memang sangat terhad bilangannya dan diburu oleh pengumpul di seluruh dunia. Hanya 891 unit dihasilkan dan kesemuanya merupakan model pemanduan di sebelah kiri. Tapi dari jumlah tersebut rupanya ada 20 unit keluaran 1995 yang super terhad bilangannya.
Ia dinamakan M5 Touring Elekta dan kesemua 20 unit merupakan model khas Itali. Ia dihasilkan dalam warna Sterling Silver dan British Racing Green dengan penambahan elemen kulit yang mewah di bahagian dalaman. Tapi sebenarnya ia bukanlah dihasilkan oleh BMW M tetapi lebih kepada pesanan peribadi dan sekumpulan pengedar BMW di Itali.
BMW Z8 Alpina
Siapa tak kenal dengan BMW Z8 yang merupakan antara model tercantik BMW. Tapi sebenarnya ramai tidak tahu yang terdapat juga Z8 versi Alpina yang lebih cantik dan mempunyai nilai yang tinggi sehingga sekarang. Kenapa tidak, maklum sahaja Alpina cuma mengeluarkan 555 unit sahaja model ini dan ia memang cukup istimewa.