
YAMAHA MT-09 BAKAL HADIR DENGAN GEAR AUTOMATIK Y-AMT PADA 2025
Sekitar bulan Jun lalu, Yamaha dengan rasminya mengumumkan sistem gear baharu yang dinamakan sebagai Y-AMT (Yamaha Automated Manual Transmission).

Y-AMT merupakan sistem yang membenarkan penunggang menukar gear tanpa penggunaan klac. Menurut Yamaha, operasi pertukaran gear akan dikendalikan oleh dua aktuator elektrik bagi menggantikan fungsi klac dan gear kaki. Yamaha mendakwa aktuator tersebut hanya seberat 2.8kg.
Dalam perkembangan terbaru, motosikal ‘naked’ popular, Yamaha MT-09 antara yang akan mengguna pakai sistem Y-AMT terbaru berkenaan berdasarkan paten terkini yang difailkan di Jepun.

Bagaimanapun, paten sebelum ini mendedahkan sistem Y-AMT tersebut diguna pakai pada platform CP2 yang merangkumi MT-07, R7 dan Tenere 700. Ini bermakna Y-AMT tidak terhad kepada model CP3 sahaja.


Menurut Yamaha, Y-AMT menawarkan tiga mod berbeza:
- MT (mod manual) – tukar gear dengan menekan butang (+) atau (-) yang terletak di sebelah kiri ‘handlebar’.
- D (automatik) – menggerakkan jentera secara automatik tanpa perlu menukar gear.
- D+ (automatik +) – pertukaran gear lebih agresif dan menyokong gaya menunggang yang lebih sporti.
Selain MT-09, sistem Y-AMT ini juga akan diterapkan pada Tracer 9 GT dan dijangka diperkenalkan pada 2025.