Buletin

NISSAN FOKUS 3 PASARAN UTAMA AS, CHINA & JEPUN. PERLU TAWAR MODEL LEBIH MENARIK

Nissan Motor Co Ltd dilapor akan mengurangkan keberadaannya di Eropah dan beberapa pasaran lain bagi menumpukan perhatian ke atas Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun. Ini merupakan pelan hala tuju strategik baharu Nissan untuk kekal relevan.  

Pelan prestasi operasi itu dijangka diumumkan pada 28 Mei depan. Ia dilihat bukan sekadar menyelesaikan masalah berikutan rancangan pengembangan bekas ketuanya, Carlos Ghosn.  

Bagi meningkatkan perkongsian pasaran terutama di AS, Nissan kerap memberi diskaun yang banyak dan membuatkan jenama itu jadi murah.

Di bawah pelan tiga tahun yang baru, Nissan mahi menambah baik hubungan dengan para pengedar serta menawarkan rangkaian model baharu bagi memperoleh semula kuasa harga dan keuntungan.

Ini bukan sekadar pelan mengurangkan kos. Malah Nissan merasionalisasikan operasi, memberi keutamaan dan fokus kepada perniagaan demi masa depan lebih baik. Pelan itu juga bermatlamat untuk mengurangkan saingan dan meningkatkan kerjasama di antara rakan pakatan.

Nissan akan meniru teknologi kenderaan plug-in hybrid Mitsubishi di mana Mitsubishi akan mengetuai pelan untuk pasaran Jepun dan Asia. Renault SA pula akan fokus kepada teknologi kenderaan elektrik dan pasaran Eropah.

Pelan tersebut akan diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Nissan, Ashwani Gupta dan bukannya Ketua Pegawai Eksekutif, Makoto Uchida. Ia meletakkan sasaran untuk menyatukan sumber untuk pelaburan ke atas produk serta teknologi bagi pasaran AS, China dan Jepun.

“Kesannya ialah walaupun kami mengurangkan perbelanjaan R&D pada tahun ini dan membuat penjiamatan lain, kami menggunakan sumber tersebut untuk pasaran serta produk-produk penting,” jelas sumber.

Pelan itu akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi. Ketika sasaran jualan dan perolehan dilihat semakin sukar dengan pelbagai langkah diambil oleh kerajaan di seluruh dunia dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Fokus ke atas tiga pasaran penting itu tidak bermakna Nissan akan mengabaikan terus pasaran lain. Nissan cuba untuk mengekalkan keberadaannya di Eropah menerusi model Qashqai dan Juke.

Di Asia Tenggara, Nissan merancang untuk mengembangkan jualan di Thailand dan Filipina. Di samping Australia yang menyumbang 90 peratus jualan dan keuntingan di rantau berkenaan.   

Pelan itu juga menyaksikan barisan model yang lebih tersasar untuk pasaran seperti India, Indonesia, Malaysia, Afrika Selatan, Rusia, Brazil dan Mexico. Selain menawarkan SUV Patrol di Afrika dan Asia Barat.

Nissan sebelum ini meletakkan sasaran produksi global lebih 7 juta kenderaan berdasarkan kepada tiga shif bagi setiap kilang. Tetapi, pelan baharu yang hanya mempunyai dua shif dan menutup 14 buah kilang menyebabkan kapasitinya menurun kepada 5.5 juta unit kenderaan sahaja. – Reuters

Google ads
Back to top button