Artikel Pilihan

NAMPAK GANAS, NAMPAK MOTORSPORT, TAPI GIMIK SAJA LEBIH

Berapa laju maksima anda berani buat ketika menuruni bukit? 110 atau 120 km/j? Penulis pernah merembat sehingga ke 190km/j dengan yakin sehinggalah penulis menekan brek. Apa yang jadi ialah pedal brek kereta penulis menjadi bergetar menandakan rotor brek kereta sudahpun menjadi bengkok ketika brek dalam keadaan ekstrim.

Ya la brek kereta tersebut bukan dibuat untuk pemanduan lasak melainkan penulis memandu kereta dengan logo Type R (ori ya bukan tampal sendiri), Toyota Supra Gazoo Racing atau Hyundai i30N. Selain daripada enjin yang lebih berkuasa, anda akan dapat sistem brek, suspensi dan stering yang jauh lebih baik. Ia direka untuk kepuasan pemanduan sebenar.

Ia bukan direka untuk budak-budak muda yang acah ricer, memandu dengan seluar ketat, wallet berbentuk beg tangan perempuan dan ditemani dengan vape berperisa tempoyak. Ini menerangkan mengapa ia direka dengan transmisi manual sahaja seperti Hyundai i30N dan juga Civic Type R. Namun ada juga kereta sport ditawarkan dengan transmisi automatik sahaja seperti Supra Gazoo Racing.

Namun tahukah anda julat harga kereta ini sebenarnya di luar kemampuan rakyat biasa melainkan anda dilahirkan dalam kluster kayangan. Supra ditawarkan dengan harga RM 568 ribu, Civic Type R RM 330 ribu, Hyundai i30N RM 298 ribu, Toyota GT 86 RM 264 ribu, Golf R dan BMW M4 dengan harga RM 778 ribu. Memang mahal tuan – tuan.

Ini disebabkan kebanyakan komponen mekanikal yang dibina untuk kereta sport ini dihasilkan daripada bahan yang lebih tahan lasak, lebih kuat dan tidak akan jahanam ketika dibedal. Jadi ia lebih mahal untuk dijual. Satu ketika dahulu kebanyakan pengeluar perlu mematuhi peraturan homologasi di mana setiap kereta yang digunakan di litar mestilah di jual kepada pasaran.

Peraturan ini dibuat untuk mengelakkan pengeluar yang banyak duit menghasilkan jentera khusus untuk perlumbaan dan ia tidak adil kepada pasukan kecil yang perlu membina kereta mereka berdasarkan kereta yag ada di pasaran. Maksud penulis kereta tersebut merupakan kereta penumpang dan diubah untuk menjadi kereta lumba.

Sebaik sahaja kereta homologasi ini dijual kepada pasaran, ia sangat laku kerana ia merupakan siri produksi yang terhad dan istimewa. Namun bagi jabatan jualan, ia adalah satu perkara yang bagus. Ambil model biasa, sumbat skirting, rim besar, pelekat dan letak nama ala-ala racing mesti laku rabak. Jadi hari ini kita akan kupas berkenaan kereta yang nampak laju tapi sebenarnya gimik sahaja. Enjin semua hampir sama.

Nissan telah melakukan gimik ini pada pada kebanyakan model yang dijual di Malayasia. Beberapa tahun lepas anda boleh membeli Grand Livina Impul, Serena Impul dan Almera Impul. Almera mungkin penulis boleh maafkan kerana ia akan membezakan bahagian depan dan belakang. Tapi memasang logo Impul pada MPV 7 tempat duduk agak keterlaluan.

Kebanyakan pembeli menggunakan MPV untuk ruang yang besar, bukan untuk dipandu laju. Malahan dengan harga yang lebih mahal anda masih mendapat enjin yang sama dan kuasa kuda yang sama namun dengan penampilan yang berbeza. Selain daripada Nissan, anda jangan terkejut jika BMW pun turut melakukan perkara yang sama.

BMW turut menghasilkan beberapa model flagship yang memakai lencana M (Motorsport) iaitu model yang telah ditala dengan baik sekali. Sebagai contoh BMW 5 Series biasa dikuasakan dengan enjin 2000cc menghasilkan kuasa 181 kuasa kuda. Jika anda ada duit lebih RM 10 ribu mungkin anda boleh memilih 530e M Sport dengan penampilan sporti tapi masih menghasilkan kuasa enjin yang sama.

Manakala dengan tambahan RM 34 ribu anda boleh memilih 530i M Sport yang menghasilkan 252 kuasa kuda. Tapi tahukah anda model M yang sebenar menggunakan enjin 4400cc V8 yang menghasilkan 592 kuasa kuda. BMW M5 yang asli ini berharga RM 1 juta. Anda boleh memilih untuk menaik taraf brek kepada seramik dengan harga RM 95 ribu. Ini lah BMW M yang sebenar tuan, bukan M Sport.

M Sport ini banyak menggunakan aksesori sebenar yang dipasang pada model biasa. Jangan terkejut terdapat beberapa kit M Sport turut dihasilkan daripada gentian untuk dipasang pada SUV X7 gril depan, gril tepi, diffuser belakang. Tak cukup dengan itu anda boleh memasang side mirror cap. Ia menjadikan SUV nampak ganas tanpa peningkatan kuasa enjin.

Ini M3 bukan M Sport

Jadi jika anda ditakdirkan untuk berjaya satu hari nanti, jangan buang duit dengan membeli varian M Sport, simpan duit anda untuk beli varian M yang asli. Dalam kes ini, Mercedes Benz juga turut terlibat dalam menghasilkan varian campuran yang dihasilkan dari varian biasa namun dengan beberapa naik taraf yang dikenali dengan nama AMG-Line.

Sebagai contoh model paling murah yang dihasilkan oleh Mercedes ialah model A Class yang dihasilkan dalam bentuk sedan dan juga kompak. Varian biasa dikenali dengan nama Progressive Line (RM230K) manakala varian AMG dikenali dengan nama AMG A 35 (RM349k). Namun beza harga antara 2 varian ini sangat besar.

Jadi bagi memenuhi ruang antara dua varian ini, Mercedes mewujudkan varian AMG – Line dengan harga RM 268k. Tapi berbeza dengan BMW, kewujudan varian ini pada pendapat penulis masih boleh dimaafkan. Mercedes mewujudkan perbezaan saiz dan kuasa enjin yang ketara antara semua varian.

Progressive Line menggunakan enjin 1334cc turbo dengan 163 kuasa kuda, AMG Line menggunakan enjin 2000cc yang menghasilkan 224 kuasa kuda dan varian AMG A35 menghasilkan 302 kuasa kuda dari enjin 2000cc. Ok la, mungkin bagi pelanggan yang inginkan model AMG tapi tidak perlukan sistem AWD boleh memilih varian AMG Line.

AMG Line bukan AMG A35 ye

Sebelum wujudnya jenama prestasi tinggi Gazoo Racing, Toyota Racing Development atau TRD merupakan satu nama yang sinonim dengan Toyota. Anda mungkin bayangkan yang versi TRD akan dipasang dengan brek prestasi tinggi, dan mungkin penyerap hentak yang lebih keras.

Tapi untuk menghampakan anda Toyota hanya memasang skirting depan, kiri dan kanan pada model TRD. Sebagai contoh Hilux TRD diperkenalkan pada tahun 2014 dengan bampar khas TRD pada bahagian depan, belakang, balutan kulit pada kusyen, dan rim aloi yang dicat dengan warna hitam. Ford Ranger Raptor lebih seksi jika dibandingkan antara Hilux TRD.

Tiada satu pun komponen yang dipasang mampu membuatkan Hilux ini lebih laju. Honda pun ada buat slack jugak dalam isu ini. Contoh yang terbaik adalah aksesori Mugen yang dipasang pada kereta Honda. Konsep asal Mugen adalah menjadikan kereta Honda semakin laju dan sedap dibawa.

Namun apabila CRV Mugen diperkenalkan, penulis menjadi keliru dengan pilihan kereta. Pertama Honda memilih CR-V iaitu sebuah crossover yang selesa untuk diMugenkan. Namun komponen yang dipasang ialah skirting depan, belakang, tepi dan grill Mugen. Ia disudahkan dengan logo Mugen pada bahagian belakang.

Namun perkara yang tidak boleh dimaafkan ialah Mugen tidak menggantikan rekaan panel corak kayu di bahagian dalam dengan rekaan karbon. Ia bagaikan seorang lelaki berumur 40an cuba bergaya dengan baju budak budak wechat. Ia ada masalah identiti yang serius.

Apa yang penulis nak tekankan ialah dengan nilai duit yang anda bayar, kebanyakan kereta hari ini menawarkan naik taraf kepada rekaan yang lebih sporti tanpa sebarang penambahan kuasa. Rekaan asal kereta kadangkala nampak menjadi cacat dan terlalu berat.

Crossover, MPV dan SUV adalah contoh kenderaan yang tidak sesuai untuk diletakkan dengan logo prestasi atau logo perlumbaan. Pengguna membeli kenderaan ini khusus untuk keselesaan. Melainkan pengeluar bercadang untuk menjual dan mengaut keuntungan pantas dengan pengenalan logo ini pada kereta biasa yang tidak memberi sebarang nilai kepada pengguna.

Pada pendapat penulis, ia hanya menjadikan kereta nampak cantik sahaja tanpa sebarang fungsi tambahan. Sepatutnya model yang mengenakan lencana permotoran ini dipasang dengan komponen yang lebih berkualiti, brek yang mengigit jalan, suspensi yang meyakinkan di selekoh, ECU yang menghasilkan lebih kuasa kuda dan fokus pemanduan.

Google ads
Back to top button