Buletin

NISSAN FRONTIER DESERT RUNNER, ENJIN 5.6L V8 TURBO!

Amerika Syarikat adalah pasaran popular untuk pikap dan di sebalik sambutan hangat itu Nissan tidak menawarkan Navara di sana. Nissan masih menjual Frontier (Navara D40) dan di atasnya ialah pikap saiz penuh Titan yang bersaing dengan Ford F-150, Toyota Tundra dan sebagainya.

Satu varian Frontier yang terkenal ialah Desert Runner dengan gayaan off-road dan menariknya ada pilihan 4×2 yang dijual pada harga mampu milik. Untuk SEMA 2019, Nissan telah mengubahsuai Frontier Desert Runner kepada sesuatu yang luar biasa.

Projek ini dilaksanakan oleh pakar prestasi MA Motorsports dari Glen Arm, Maryland dan Nissan Motorsport. Desert Runner yang diubahsuai ini hanya tinggal pada nama sahaja dan dizahirkan semula dalam bentuk trak perlumbaan.

Ubahsuai pikap ini dimulakan dengan menggantikan enjin asal 4.0 liter V6 kepada enjin 5.6 liter Endurance® V8 dari Nissan TITAN. Tidak hanya plug & play, enjin V8 itu dibina semula mengikut spesifikasi perlumbaan.

Di antara ubah suai yang dibuat ialah penggunaan turbo Garrett GTX3584RS, intercooler custom, aci sesondol (cam shaft), omboh dan injap Jim Wolf Technology, header turbo dan ekzos dari MA Motorsports.

Dipadankan bersama enjin ialah transmisi enam kelajuan Nissan dengan cekam dan flywheel ringan Jim Wolf Technology.

Enjin tersebut kini menghamburkan kuasa luar biasa lebih 600hp dan tork 949Nm!

Pengubahsuaian lain semestinya pada set suspensi. Kit peninggian menggunakan set jarak panjang (long travel) BTF Fabrication, suspensi depan dan belakang dari King Racing Triple Bypass dan spring dedaun dari Giant Motorsports Link Killer.

Untuk kombinasi roda, pikap ini menggunakan rim Fifteen52 TurboMac HD dengan tayar BFGoodrich Baja T/A saiz 37 inci. Rangka enjin dan kargo belakang dibuat khas oleh MA Motorsports.

Bahagian luar pula menggunakan set fender dari Fiberworx Pre Runner manakala bampar depan dan belakang dibuat baharu oleh MA Motorsports termasuk carrier tayar ganti.

Set penuh lampu off-road dari Rigid Industries manakala balutan badan pikap dari Speed Designs.


Bahagian dalam pikap ini dipasangkan palang keselamatan dan tali pinggang keledar dari Sparco termasuk kerusi dan stereng yang mempunyai quick release.

Nissan Frontier Desert Runner ini adalah projek one-off SEMA 2019 dan bukan untuk dijual kepada umum. Dengan pengubahsuaian ekstrem begini, Frontier yang asalnya sebuah pikap saiz sederhana terus kelihatan ganas dan cantik macam keluar kilang!

Kredit/sumber foto: Nissan

BACA: PADA 2010, NISSAN ELGRAND E52 DIPERKENAL DI JEPUN

BACA: NISSAN PATROL DIPERKENAL, ENJIN 4.0L V6 DAN 5.6L V8!

BACA: KISAH NISSAN “FATLADY” Z

Google ads
Back to top button