
KISAH NISSAN “FATLADY” Z
Sejarah kereta ini sebenarnya, boleh diulas dari pelbagai sudut. Ia mempunyai kisah yang panjang serta saling berkaitan antara satu sama lain. Bagaimana cetusan ideanya bermula, peranan Yutaka Katayama (Mr. K), kemasukan ke pasaran Amerika Syarikat, penglibatan dalam sukan permotoran, dan macam-macam lagi. Secara amnya, kereta dari keluarga Z ini berjaya memberi impak yang cukup besar, serta kekal sebagai model ikonik kepada Datsun dan Nissan.
Generasi pertama dengan kod casis S30 muncul seawal tahun 1969. Bergantung kepada negara pasaran, ia sentiasa ditambah baik dengan pengenalan beberapa varian secara berperingkat. Bermula dengan Fairlady Z dengan enjin 2.0-liter untuk pasaran Jepun, diikuti dengan model 240Z, 260Z dan 280Z. Atas faktor rupa, reliabiliti dan prestasi, kesemua model ini telah diterima baik, khususnya di kalangan peminat sport coupe seluruh dunia.
Generasi kedua S130 menjengah pada tahun 1978, dengan tambahan huruf X pada namanya. Masih mengekalkan gaya yang sama, 280ZX bagaimanapun menerima casis baru yang jauh lebih besar dan tegar, sesuai dengan regulasi semasa yang semakin ketat. Namun dari sudut lain, rekaan tersebut menyebabkan ia kurang menyengat, lagi-lagi untuk model 2+2 seperti ini.
Datsun 280ZX ini dibeli Fahmi dalam keadaan hampir sempurna. Banyak yang telah disiapkan oleh pemilik asal, meliputi keseluruhan bahagian luar, enjin dan dalaman. Sebagai penyambung warisan, Fahmi hanya memperkemaskan semula usaha berkenaan untuk menghasilkan sebuah kereta pertunjukan yang sebenar.
Walaupun model S130 dibuat lebih moden, rekaan S30 generasi pertama sebenarnya lebih mendapat tempat. Ia memiliki gaya lebih sleek dan ringkas, yang menjadi klu kepada binaan kereta ini. Paling jelas penggunaan komponen 240Z di bahagian depan, termasuk rekaan kit badan Rocket Bunny secara kustom. Ia meliputi bahagian arca roda, beam bumper, lip depan, skirt sisi, serta spoiler. Untuk ruang belakang, keseluruhan bumpernya telah ditanggalkan dan diganti dengan kit difuser yang agak ekstrim.
Model 2+2 memiliki rekaan bumbung yang lebih panjang dan rata, bagi menampung keperluan tempat duduk belakang. Ia turut dilengkapi sepasang cermin sisi belakang yang agak besar, menyebabkan rupa parasnya agak kedaung. Sebagai penyelesaian, sebahagian cermin ini telah ditutup dengan lapisan fiber, menyerupai model generasi terdahulu.
Menginap di bawah arca roda adalah set rim Work Meister berukuran 18 x 11.5 inci yang dibalut pada tayar Toyo Proxes T1 Sport dari saiz berbeza. Perhatian turut diberikan kepada sistem gantungan, menerusi padanan set suspensi boleh laras dari Tein. Sementara kuasa hentian pula, kini menerima kit brek lengkap Nissan Silvia untuk depan dan belakang.
Enjin SOHC 2.8-liter jenis L28E, nampaknya tidak lagi di kedudukan asal. Ia sebaliknya digantikan dengan enjin RB20DET yang lebih mesra ubahsuai. Buat masa ini, bahagian dalam enjin belum diusik, kecuali perubahan pada sistem pendesak. Ia dimulakan dengan penempatan manifold turbo kustom, unit turbo T3/T4 AR60 dari KLS Power Spirit, wastegate Tial, serta intercooler Apexi dan paip sambungan kustom. Boost yang dihasilkan seterusnya dibawa ke manifold kemasukan Red Sun, manakala lebihan tekanan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV.
Suapan bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro, terus ke set injektor 270cc. Sistem cucuhan asal yang sudah memadai tidak berubah. Namun bagi mendapatkan talaan lebih sempurna, kotak ECU telah dihubungkan kepada unit piggyback GReddy e-Manage Ultimate.
Bahagian dalam masih mengekalkan kebanyakan komponen asal, kecuali penggunaan stereng Vertex serta gugusan meter tambahan GReddy untuk tujuan pemantauan. Bagi memberi imej lebih retro, bahagian perehat kepala pada tempat duduk depan telah ditanggalkan, sebelum keseluruhannya dibalut semula.
Usaha membina 280ZX ini sebagai kereta pertunjukan nampaknya tidak sia-sia. Ia sering mencuri tumpuan dalam mana-mana acara yang disertainya. Terbaru, ia telah memenangi anugerah Best Datsun dalam acara International Auto Modified, yang berlangsung baru-baru ini. Tahniah Fatlady Z!
SPESIFIKASI
- Pemilik – Fahmi Ramli
- Pengeluar – Datsun
- Model – 280ZX
- Enjin asal – L28E
- Modifikasi enjin – RB20DET, manifold turbo kustom, turbo T3/T4 AR60 KLS Power Spirit, wastegate Tial, intercooler Apexi, paip intercooler kustom, injap pelepas HKS SSQV, manifold kemasukan RedSun, Penapis udara Simota, pam petrol Walbro, GReddy e-Manage Ultimate, tangki perangkap minyak kustom, radiator aloi DD
- Transmisi – Manual
- Ekzos – Kustom
- Luaran – Komponen depan 240Z, kit badan Rocket Bunny kustom, difuser belakang kustom, penutup cermin sisi belakang kustom
- Suspensi – Tein
- Brek – Nissan Silvia
- Rim & Tayar – Work Meister 18 x 11.5 & Toyo Proxes T1 Sport 275/35ZR-18 (depan), 285/35ZR-18 (belakang)
- Dalaman – Stereng Vertex, meter tambahan GReddy, balutan semula tempat duduk
- Bengkel – Boone AR Ro (BAR), Bandi Sprayworks, Geng Tayar Besar, Nurr Motors, Garage R
KREDIT: KAKIKERETA.COM