Buletin

NISSAN FRONTIER (NAVARA) SENTINEL, PIKAP RANGGI DENGAN INSPIRASI WARNA BURUNG

Dalam tempoh tiga minggu kebelakangan ini ada dua momen penting mengenai pikap. Pertama ialah pelancaran Ford Ranger facelift dan Ranger Raptor di pasaran tempatan dan perkara kedua ialah pelancaran perdana Mitsubishi Triton facelift.

Pelancaran kedua-dua model ini memberikan definisi semula mengenai pikap iaitu ia bukan lagi sekadar pengangkutan komersil dan telah memasuki sempadan kenderaan gaya hidup.

Segmen pikap sentiasa sengit dan pengeluar perlu tampil dengan idea-idea baharu. Pada Pameran Kenderaan São Paulo yang sedang berlangsung sekarang, Nissan tampil dengan Frontier Sentinel iaitu sebuah pikap konsep dihasilkan oleh studio penggayaan Nissan Brazil.

Pikap yang turut dikenali sebagai Navara ini dibina untuk misi penyelamat di pelbagai muka bumi Brazil.

Frontier Sentiner yang menyerlah ini dilengkapi pelbagai peralatan seperti dua pek bateri untuk kegunaan alatan elektrik dan kargo dengan pelbagai muatan.

Ruang kargo belakang telah diubah suai untuk menempatkan pek bateri dan set laci bagi menyimpan sarung tangan, lampu suluh, topi keselamatan, tali, kapak, kotak alatan dan pelbagai barangan.

Bahagian sisi kargo pula mempunyai palang untuk lebih ruang simpanan barang dan dua outlet kuasa.

Satu perkara menarik ialah bahagian atas ruang kargo mempunyai platform untuk pelancaran dan pendaratan dron. Tapak itu mempunyai logo H ala tempat pendaratan helikopter.

Bahagian luaran Frontier Sentinel dilengkapi snorkel untuk meredah air, sistem lampu di atas cermin hadapan dan paling menyerlah ialah warna Thunder Blue inspirasi dari spesis burung kakaktua hyacinth macaw yang merupakan spesis asli timur dan tengah Amerika Selatan.

Untuk roda, studio Nissan memilih rim bersaiz 16 inci dengan tayar tahan lasak GT Radial 285/75 R16 Adventuro MT.

Pada bahagian dalaman, selingan warna burung kakaktua tersebut diteruskan pada papan pemuka dan konsol tengah berwarna Electric Yellow. Warna kuning tersebut turut dikenakan pada balutan kerusi dan riasannya.

Di Brazil, Nissan Frontier dipasarkan dalam lima varian iaitu S, Attack (4×2 dan 4×4), XE and LE. Pikap ini digerakkan oleh enjin diesel 2.3 liter turbo berkembar berkuasa 160 hp atau 190 hp bergantung kepada varian. Pelanggan boleh memilih transmisi enam kelajuan manual atau tujuh kelajuan automatik.

Frontier turut dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan canggih seperti Sistem Kamera Pintar 360º Vision, VDC (Vehicle Dinamic Control), ABS dengan electronic brake control (EBD) dan brake assist (BA), (HDC) dan Ramp Start Aid (HSA), Lampu Brek LED (CHMSL), Daytime Running Lights (DRL) dan pelbagai lagi.

Memandangkan ini adalah pikap konsep, tertanya juga apakah rancangan Nissan untuk program facelift Navara. Rasanya sudah sampai untuk model facelift diperkenalkan dan paling penting apakah jawapan Nissan untuk Ford Ranger dan Mitsubishi Triton.

BACA: SEMBANG SANTAI – KENAPA BERDUKA NISSAN ELGRAND?

BACA: INGIN MEMBELI NISSAN GTR? INI FAKTA PENTING PENJAGAAN SEBUAH NISSAN GTR

Kredit foto: Nissan

Google ads
Back to top button