Buletin

NISSAN JUKE 2018 – ADA LAGI DAN DAH MASUK TAHAP LEGENDA!

Kalau dulu jika disebut tentang Nissan Juke, boleh jadi kepala berpusing-pusing nak hadamkan rekabentuknya yang lari daripada kebiasaan.

Tidak kurang juga yang membahan. Jika Proton keluarkan kereta sebegini boleh jadi lebih ramai yang membahan. Lihatlah apa yang terjadi pada Proton Juara.

Suatu yang berbeza daripada kebiasaan itulah yang ditiru. Lihat SUV kompak yang ada sekarang ini. Boleh dikatakan masing-masinh mempunyai rekabentuk tersendiri. Honda HR-V, Toyota C-HR, Hyundai KONA.

Terima kasih kepada Nissan, selain hadir dengan jentera hebat seperti GT-R, syarikat ini juga tidak melupakan pasaran kenderaan funky seperti Juke.

Diikutkan Nissan sudah pun mempunyai sebuah SUV kompak baharu yang dikenali sebagai Nissan Kicks. Di Amerika Syarikat, Juke sudah diganti dengan Kicks manakala di Eropah Juke masih dikeluarkan dan dijual.  

Hendak tahu apa yang lebih handal? Juke secara rasminya diperkenalkan pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva 2010 dan Nissan sekali lagi menayangkannya pada tahun ini di Geneva dalam versi facelift.

Sudah berusia lapan tahun dan masih lagi dipamerkan pada acara berprestij adalah sesuatu yang handal. Ini adalah indikator lambat lagi Kicks hendak dipasarkan di Eropah.

Juke tahun 2018 tampil dengan beberapa perubahan. Nissan telah menaik taraf ciri-ciri yang ada selain perubahan dalaman dan luaran.

Berikut ialah perubahan pada Nissan Juke 2018 Eropah:

  • Gril baharu Nissan dengan gayaan V-Motion
  • Lampu utama dengan kelongsong gelap
  • Lampu isyarat LED gelap pada cermin sisi
  • Lampu kabus LED untuk varian Acenta
  • Roda aloi 16 inci
  • Jejari roda aloi 18 inci varian Tekna boleh dihiasi dengan warna pilihan peribadi
  • Beberapa bahagian Juke seperti kemasan bampar depan, belakang dan cermin sisi juga boleh dipilih mengikut warna peribadi
  • Varian BOSE Personal Edition didatangkan standard dengan kemasan pilihan peribadi manakala varian Tekna pula sebagai opsyen pembelian
  • Dua warna baharu – Vivid Blue dan Chestnut Bronze
  • Dua warna pilihan interior – Energy Orange dan Power Blue

Menurut Naib Presiden Kanan Jualan dan Pemasaran Nissan Eropah, Ken Ramirez, Nissan Juke ini sebenarnya adalah pelopor kepada crossover segmen B dan merupakan di antara model Nissan yang digemari pelanggan.

Memandangkan ia kegemaran ramai, perubahan baharu ini akan dapat memberi lebih pilihan kepada pelanggan selain terus mengekalkan identiti unik Juke.

Jika diikutkan sejarah automotif pengeluar Jepun, Juke bukanlah yang pertama seumpamanya kerana sebelum itu Toyota sudah hadir dengan RAV-4 dan HR-V yang juga tampil dengan bentuk tersendiri.

Tidak kisah lah apa pun, yang pasti Juke berjaya mengenengahkan SUV segmen B dengan berjaya dan sebelum itu Juke bukan merujuk kepada Joke tetapi bermaksud hendak menari atau mengubah haluan bagi mempamerkan kelincahan.

Juke juga mempunyai dua varian prestasi iaitu Juke NISMO dan NISMO RS yang dikeluarkan pada tahun 2013. Kedua-dua varian itu masing-masing berkuasa 197 hp dan 215 hp.

Pada tahun yang sama juga Nissan mengeluarkan varian paling berkuasa Juke R yang menggunakan enjin Nissan GT-R dalam jumlah terhad.

Ia, Juke yang dikuasakan oleh enjin Nissan GT-R!!

 

 

Google ads
Back to top button