
NISSAN KELUAR PASARAN RUSIA
Untuk tempoh beberapa bulan, Nissan menghentikan sementara operasi pemasangan di Rusia disebabkan oleh serangan negara itu ke atas Ukraine.
Ia sepatutnya disambung semula pada bulan September, namun Nissan akhirnya membuat keputusan untuk keluar daripada pasaran tersebut.
Ini bermakna, segala operasi tempatan di bawah kawalan Nissan Manufacturing Russia LLC (NMGR) akan dijual kepada Central Research and Development Automobile and Engine Institute (NAMI).
Peralihan tersebut akan berkuatkuasa dalam tempoh beberapa minggu akan datang, dan pekerja yang terjejas akan diberikan pampasan bernilai 12 bulan gaji.

Dalam kontrak tersebut, Nissan juga sebenarnya diberikan pilihan untuk membeli semula pegangannya dalam tempoh enam tahun akan datang, jadi terdapat kemungkinan Nissan akan kembali semula ke pasaran tersebut kelak.
Langkah yang sama turut diambil oleh rakan sepakatannya – Renault yang menjual 67.7 peratus pegangan di dalam Avtovaz kepada NAMI pada bulan Mei lalu, dan pengeluar automotif Perancis itu juga diberikan kemungkinan untuk membeli semula pegangan tersebut dalam tempoh enam tahun.
Nissan mula memasang model-model kenderaan seperti X-Trail, Qashqai dan Murano di kilang St. Petersburg pada tahun 2009, dan fasiliti itu pernah mencatatkan rekod setinggi 56,525 unit kenderaan dipasang pada tahun 2018.