Artikel PilihanBuletin

NISSAN LIVINA (2019) DILANCARKAN DI INDONESIA – DARI RM57K!

Setelah hampir 13 tahun di pasaran, Nissan akhirnya melancarkan MPV Livina baharu.

Pelancaran global tersebut dibuat di Jakarta, Indonesia pada 19 Februari 2019.

Livina baharu adalah model sama seperti Mitsubishi Xpander dengan beberapa perubahan kosmetik yang jelas membezakan dua model tersebut.

Perkongsian MPV ini dibuat memandangkan Nissan mempunyai pemilikan saham di dalam Mitsubishi dan kedua-dua syarikat berada dalam pakatan sama dengan Renault (Alliance).

Walaupun berbeza, Livina baharu masih menggunakan identiti Xpander seperti lampu dua bahagian iaitu tirus di bonet dan besar di bampar.

Seterusnya bahagian gril V-Motion nampak molek pada MPV tujuh tempat duduk ini.

Dari sisi, Nissan tampil dengan identiti sendiri yang lebih lembut. Bahagian fender Xpander yang keras dan berkotak dilembutkan dengan permukaan membujur.

Garis pada pintu depan yang nampak ala Honda Jazz pada Xpander kini tampil lurus tanpa bengkokan ke bawah.

Bahagian belakang juga berbeza, corak lampu LED membawa imej V dan pintu but pula lebih ringkas tanpa identiti Dynamic Shield Mitsubishi.

Turut berbeza ialah bampar dengan peresap berwarna perak.

Dari luar, jelas Nissan Livina mahu tampil dengan imej sendiri dan ia berjaya dilakukan dengan baik.

Berikut ialah ciri-ciri Nissan Livina 2019:

  • Satu jenis enjin sahaja iaitu 1.5 liter Twin VTC berkuasa 104 PS dengan tork 141 Nm (enjin sama seperti Xpander)
  • Dipadankan dengan transmisi lima kelajuan manual atau empat kelajuan automatik
  • Lima varian bermula daripada E MT (asas), EL MT, EL AT, VE AT dan VL AT (premium)
  • Kesemua varian dilengkapi dua beg udara, ABS dan EBD
  • Kelengkapan lain ialah skrin sesentuh tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kerusi balutan kulit, kamera undur, Hill Start Assist, Vehicle Dynamic Control dan Traction Control
  • Harga mengikut varian – VL AT: IDR 261.9 juta (RM 75,885), VE AT: IDR 249.9 juta (RM 72,408), EL AT: IDR 233 juta (RM 67,511), EL MT: IDR 223 juta (RM 64,614), E MT:  IDR 198.8 juta (RM 57,619)

*1 MYR = 3,451.26 IDR

Bagaimana dengan pasaran tempatan? Masih terlalu awal untuk dibuat pengesahan tambahan pula Mitsubishi masih belum melancarkan Xpander di sini.

Dari segi rupa dan reputasi, Livina mempunyai ciri yang baik tinggal lagi spesifikasi keselamatan harus ditingkatkan supaya setara dengan Perodua Aruz dan Toyota Rush.

Kredit/hakcipta foto: Nissan/Nissan Indonesia

Google ads
Back to top button