20 UNIT BMW R 1250 RT BAKAL JADI PENGIRING PM DAN TPM
Kenderaan yang digunakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tugasan pengiring sering menjadi perhatian di Malaysia. Ini kerana rata-rata kenderaan yang sering diguna pakai adalah model terkemuka di samping berprestasi tinggi.
Terbaru, beberapa gambar tular di media sosial yang memaparkan beberapa unit motosikal jenis BMW R 1250 RT.
Menurut perkongsian akaun Armorblaze di Facebook, sebanyak 20 unit motosikal BMW R 1250 RT telah selesai di pasang livery khas PDRM.
Difahamkan, motosikal berkenaan akan digunakan sebagai jentera pengiring Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Untuk rekod, BMW R 1250 RT merupakan motosikal jenis ‘grand tourer’ yang turut ditawarkan BMW Motorrad Malaysia untuk pasaran tempatan dengan harga jualan sekitar RM142k.
BMW R 1250 RT ini dipacu enjin boxer bersesaran 1,254cc yang berupaya menjana 136hp dan 143Nm.