
OMODA C3 DIPERKENALKAN – SUV KOMPAK TERBAHARU DENGAN REKA BENTUK FUTURISTIK
Chery baru-baru ini memperkenalkan OMODA C3, SUV kompak terbaharunya, kepada dunia buat kali pertama di di Wuhu, Anhui, China.
Model ini menarik perhatian ramai dengan reka bentuk agresif dan futuristik, yang dikatakan mengambil inspirasi daripada robot ikonik Jepun, Gundam.
Dari segi luaran, OMODA C3 mempertaruhkan pendekatan rekabentuk yang dinamik dan berani. Gril hadapan tampak lebih tebal dan terserlah, manakala lampu utama serta DRL berbentuk C memberikannya identiti visual moden.

Sentuhan rekaan ini menghasilkan sebuah SUV bukan sahaja tampak bergaya, malah juga menyerlahkan karakternya yang sporty.
Menambahkan lagi tarikannya, pilihan warna luaran Stellar Blue, seolah-olah menyerap tenaga terus dari O-UNIVERSE, menjadikan keseluruhan kenderaan ini kelihatan hidup seperti sebuah mecha.
Dibina menggunakan platform baharu, OMODA C3 menawarkan saiz badan lebih padat berbanding OMODA 5, menjadikannya lebih sesuai untuk persekitaran bandar.

Selain itu, pelbagai pilihan warna menarik ditawarkan, termasuk kombinasi dua tona untuk mereka yang ingin tampil lebih menonjol.
Walaupun Chery belum mendedahkan sepenuhnya perincian teknikalnya, OMODA C3 dijangka menggunakan trenkuasa petrol dan elektrik sepenuhnya, melengkapkan komitmen Chery untuk menawarkan lebih banyak pilihan mesra alam di pasaran global.
Dengan penampilan global ini, Chery dilihat semakin serius dalam memperkukuhkan jenama OMODA sebagai pilihan utama dalam segmen SUV kompak di seluruh dunia.