
DENZA, MAYBANK JALIN KERJASAMA STRATEGIK – PEMBIAYAAN SERENDAH 1.75%
BYD Malaysia Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan elektrik premium DENZA di Malaysia, telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malayan Banking Berhad (Maybank).
Kerjasama strategik merupakan satu langkah penting ke arah memperluas akses kepada mobiliti mampan di pasaran tempatan.
Melalui kerjasama ini, Maybank dilantik sebagai rakan pembiayaan pilihan untuk model-model DENZA dan akan menawarkan pelan pembiayaan istimewa termasuk kadar serendah 1.75% menerusi pakej Accelerated Repayment Package.

Selain itu, pelanggan juga bakal menikmati proses permohonan yang dipercepatkan, satu kelebihan besar bagi mereka yang ingin memiliki EV tanpa kerumitan birokrasi.
Solusi Kewangan Lebih Mudah untuk EV Premium
Gabungan antara teknologi EV mewah dari DENZA dan kekuatan Maybank dalam penawaran kewangan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada kenderaan elektrik dengan lebih mudah.
Kolaborasi ini turut menyokong matlamat negara dalam mempercepatkan peralihan kepada mobiliti rendah karbon.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao, berkata, “Kerjasama dengan Maybank sebagai panel pembiayaan rasmi membolehkan kami menawarkan lebih banyak pilihan fleksibel kepada pelanggan DENZA.”
“Dengan kadar kompetitif dan kelulusan yang dipercepatkan, kami yakin ia akan mempercepatkan peralihan ke arah penggunaan EV di Malaysia.”
Selain aspek pembiayaan, BYD Malaysia dan Maybank juga merancang pelbagai inisiatif termasuk acara eksklusif dan kempen promosi bersama untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat jangka panjang penggunaan EV terhadap alam sekitar.
Langkah ini dilihat bukan sahaja sebagai strategi pemasaran, tetapi juga satu usaha bersama untuk memacu pertumbuhan ekosistem EV di Malaysia, sejajar dengan perkembangan infrastruktur pengecasan serta dasar kerajaan yang semakin menyokong kenderaan elektrik.