Buletin

OP SELAMAT 18: ENAM KESALAHAN TRAFIK TIADA KOMPAUN, SETEL TERUS MAHKAMAH

Pengguna jalan raya yang dikesan melakukan enam kesalahan utama melalui Op Selamat 18 sempena Aidilfitri bermula 29 April hingga 8 Mei depan, tidak akan lagi dikenakan kompaun, sebaliknya perlu menyelesaikan kes itu di mahkamah.

Enam kesalahan itu ialah:-

  • Memandu melebihi had laju ditetapkan
  • Tidak mematuhi lampu isyarat.
  • Memandu di lorong kecemasan.
  • Memotong di garisan berkembar.
  • Memotong barisan.
  • Menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, berkata berdasarkan hasil Op Selamat 17 sempena sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini, masih ramai pengguna jalan raya didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Justeru, kita menggunakan Op Selamat 17 sebagai panduan. Kita sudah mengklasifikasikan enam kesalahan utama yang tidak akan dikompromi, dengan pesalah akan dibawa terus ke mahkamah.

“Masyarakat perlu akur dan berhati-hati. Kita perlu imbangkan antara keselamatan diri dengan kegembiraan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Mat Kasim memaklumkan, Op Selamat 18 akan dilancarkan pada 26 April ini, manakala operasi dijadualkan bermula 29 April hingga 8 Mei depan, dengan mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi.’

Mengenai Jelajah Op Selamat 18 pula, beliau berkata, program itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di 47 stesen minyak PETRONAS seluruh negara.

“Seramai 222 anggota dari Bukit Aman dan negeri akan terbabit dalam program jelajah ini bersama kakitangan PETRONAS.

“Mereka akan berkonvoi dan menjalankan advokasi sambil menyantuni masyarakat mengenai kepentingan mematuhi peraturan demi keselamatan diri serta keluarga, di stesen minyak PETRONAS yang terpilih,” katanya. – BH

Google ads
Back to top button